1.0 Pendahuluan
Perbincangan tamadun dan ketamadunan oleh para sarjana tamadun banyak bertitik tolak daripada perbincangan istilah. Terdapat beberapa istilah yang dikaitkan dengan tamadun. Antara istilah yang sering digunakan ialah ‘civilization’ dalam bahasa Inggeris, tamadun dan peradaban dalam bahasa Melayu, maddana, umran dan hadarah dalam bahasa Arab. Setiap istilah ini mempunyai maksud dan tafsirannya tersendiri. Peristilahan ini memberi kesan kepada definisi tamadun. Selain ini, definisi tamadun juga berbeza antara seorang sarjana dengan sarjana yang lain kerana mereka memberi tafsiran tamadun berdasarkan disiplin ilmu masing-masing. Ini menghasilkan definisi tamadun yang pelbagai berdasarkan dimensi yang berbeza. Bagi ahli antropologi, tamadun dikaitkan dengan kebudayaan. Ahli arkeologi pula menegaskan, tamadun dihubungkan dengan peninggalan bahan-bahan bukti (artifak) yang boleh digunakan oleh sejarawan dalam menyusun kisah sejarah masyarakat lampau.
Bagi para sarjana Muslim Islam, tamadun bermula dengan pengutusan para nabi dan rasul. Pembentukan masyarakat bertamadun menurut acuan Pencipta manusia adalah tujuan utama perutusan mereka. Para nabi dan rasul diberi amanat untuk meluruskan jalan kehidupan manusia dan menjadikan manusia umat yang bertamadun. Masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang memiliki seluruh tingkat kemajuan kehidupan yang meliputi aspek spiritual dan material. Islam telah membekalkan asas-asas yang kukuh dan sumber yang mantap untuk manusia membina tamadun.
Menurut Islam, tamadun sesebuah bangsa itu akan terbina apabila wujudnya nilai-nilai baik dan mulia dalam sesebuah masyarakat. Seandainya sesebuah masyarakat mengabaikan nilai-nilai baik atau menyalahi matlamat utama pembinaan tamadun, maka masyarakat tersebut akan mengalami zaman keruntuhan.
1.1 Peristilahan Tamadun
Peristilahan tamadun yang sering memenuhi diskusi para sarjana ketamadunan terdiri daripada istilah-istilah berikut:
• ‘Umran
• Hadharah
• Madaniyah
• Tamadun
• Civilization
• Peradaban
1.1.1 Istilah Umran dan Hadarah
Istilah umran dan hadarah diperkenalkan oleh Ibn Khaldun (14M) dalam karya beliau yang terkenal berjudul Muqaddimah. Beliau menggunakan dua istilah ini untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun. Istilah umran digunakan untuk menerangkan sifat-sifat fizikal tamadun; iaitu kawasan tanah yang didiami secara tetap dan aspek-aspek pembangunan yang wujud di satu-satu kawasan. Manakala hadarah pula merujuk kepada kehidupan yang menetap (M.A.J. Beg, 1982a, , 1982b). Oleh itu, istilah umran digunakan untuk maksud pembangunan dan kuantiti penduduk sebagai hasil daripada kewujudan tamadun. Ini bermakna apabila organisasi sosial terbentuk maka bilangan penduduk bertambah besar. Sehubungan itu, tamadun akan terhasil.
Ibn Khaldun juga menentukan beberapa kriteria utama masyarakat yang bertamadun. Antaranya seperti berikut:
• Aspek keagamaan
• Organisasi sosial
• Sistem perhubungan
• Sistem perundangan
• Bandar
• Aspek kesenian – senibina, seni khat dll.
Ibn Khaldun tidak meninggalkan peranan agama dalam pembentukan masyarakat bertamadun. Malah bagi beliau, agama memainkan peranan penting. Demikian juga peranan penting yang dimainkan oleh sistem perundangan kerana sistem ini mampu menghasilkan keadilan. Nilai keadilan amat besar pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun. Bandar juga merupakan salah satu asas yang penting dalam pembinaan masyarakat yang bertamadun kerana kota atau bandar merupakan pusat pemerintahan dan kekuasaan. Oleh itu, pembangunan bandar mestilah menggunakan perancangan yang baik dan rapi. Antara faktor penting yang mesti diambilkira dalam perancangan sesebuah bandar adalah seperti berikut:
• Udara yang bersih
• Kemudahan asas yang lengkap seperti terusan sebagai jalan perhubungan
• Sumber makanan asasi
• Berhampiran dengan sumber binaan
• Kawasan penternakan (M.A.J. Beg, 1982a; 1995)
.
1.1.2 Istilah Madaniyah
Istilah madaniyah diperkenalkan oleh Muhammad Farid Wajdi (19M) dan Syeikh Muhammad Abduh (20M) (M.A.J. Beg, 1982b). Istilah ini juga merujuk kepada makna tamadun. Perkataan madaniyah diambil daripada perkataan madinah yang bermaksud bandar, kota atau city. Kota merupakan pusat peradaban atau tamadun. Ini jelas menunjukkan kaitan yang rapat antara keempat-empat perkataan ini. Keempat-empat perkataan ini juga sama dengan maksud perkataan civitas dalam bahasa Latin. Oleh itu, civitas dan madinah menjadi pusat dan lambang kemunculan tamadun.
1.1.3 Istilah Tamaddun
Istilah tamaddun yang mempunyai maksud yang sama dengan civilization telah diperkenalkan oleh Jurji Zaydan, seorang penulis Arab (M.A.J. Beg, 1982b).
1.1.4 Istilah Civilization
Dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunapakai untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun ialah civilization. Istilah ini diambil daripada perkataan Latin civitas yang bermaksud kota, di mana kota merupakan salah satu faktor penting kewujudan sesebuah tamadun (Beg, 1982). Civilization juga dihubungkan dengan perkataan civil yang bermaksud keadaan masyarakat yang mempunyai tahap kehidupan yang tinggi (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003).
Para sarjana barat pula telah memberi beberapa gambaran berikut bagi masyarakat yang bertamadun.
i. Collingwood:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang mencapai tahap kehidupan civil iaitu kehidupan sopan. Masyarakat civil ini akan melahirkan masyarakat bandar iaitu masyarakat yang mempunyai kehalusan budi.
ii. Samuel Johnson:
Masyarakat yang bertamadun ialah suatu keadaan yang bertentangan dengan kehidupan biadab (barbaric). Masyarakat ini telah mencapai tahap kesopanan yang tinggi.
iii. Gordon Childe (sejarawan):
Pencapaian material adalah lambang ketamadunan. Civilization mempunyai persamaan dengan revolusi perbandaran. Pengukuran tamadun adalah berdasarkan kepada kewujudan bandar. Beliau menyamakan erti tamadun dengan revolusi bandar kerana apabila berlakunya revolusi bandar di satu-satu kawasan, maka akan lahirlah satu tamadun baru di kawasan berkenaan.
iv. Edward L. Farmer:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang memiliki unit kebudayaan yang besar yang mengandungi norma-norma sosial, tradisi dan institusi yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke generasi. Beliau juga memasukkan beberapa ciri berikut bagi menggambarkan masyarakat yang bertamadun iaitu:
• Penempatan kekal
• Revolusi pertanian
• Stratifikasi sosial
• Kewujudan agama
• Urbanisasi
• Pengkhususan kerja
• Sistem tulisan.
v. Darcy Riberio (Ahli antropologi):
Proses kehidupan bertamadun melibatkan aspek-aspek berikut:
• Penyebaran teknologi pertanian – berakhirnya corak kehidupan nomad.
• Wujud aktiviti perternakan dan pengkhususan kerja berasaskan kelompok kemahiran.
• Revolusi bandar – pertumbuhan bandar dan negara, wujud stratifikasi sosial.
• Penggunaan peralatan tembaga dan gangsa.
• Wujudnya sistem tulisan, angka, kalendar dan lain-lain.
• Revolusi pengairan
• Revolusi penghasilan inovasi teknologi berasaskan besi
• Revolusi penternakan
• Revolusi perdagangan
• Revolusi teknologi
• Revolusi industri
vi. E.B. Taylor (ahli antropologi):
Tamadun merangkumi keseluruhan pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang diusahakan oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
vii. Albert Schwetzer (ahli falsafah Jerman):
Tamadun merupakan keseluruhan kemajuan hasil daripada tindakan dan pemikiran manusia yang membawa kepada penyempurnaan kerohanian seseorang individu (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003; M.A.J. Beg, 1982b).
1.1.5 Istilah Peradaban
Peradaban merupakan istilah dalam bahasa Melayu yang sering dikaitkan dengan masyarakat yang bertamadun. Menurut Kamus Dewan, masyarakat yang beradab atau bertamadun ialah masyarakat yang memiliki tingkat kemajuan dalam kehidupan jasmani dan rohani. Tamadun dinyatakan sebagai satu keadaan masyarakat yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran sama ada aspek sosial, budaya, politik dan lain-lain yang tinggi (Kamus Dewan, 2002).
Pada dasarnya, istilah-istilah di atas merujuk kepada satu keadaan yang memiliki dua aspek pencapaian iaitu material dan spiritual dalam kehidupan. Kedua-dua pencapaian ini membentuk pencapaian asas dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Antara pencapaian tersebut ialah seperti berikut:
• Kehidupan beragama
? Pembentukan kota sebagai pusat pemerintahan atau pembinaan tamadun.
? Kehidupan menetap.
? Kemunculan dan perkembangan ilmu dan kemahiran.
? Tahap kehidupan yang tinggi iaitu kehidupan hadarah bukannya badawah.
? Kemajuan rohani dan jasmani.
1.2 Masyarakat Maju
Pada masa kini, penggunaan istilah masyarakat maju lebih dominan daripada istilah masyarakat bertamadun. Masyarakat maju diertikan sebagai masyarakat yang mempunyai tahap kemajuan sains dan teknologi serta ekonomi yang berasaskan perindustrian. Justeru itu, muncul beberapa istilah khusus untuk menggambarkan tahap kemajuan sesebuah negara yang diukur dari aspek pembangunan. Pencapaian ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu:
* Negara-negara maju (yang telah membangun). Antara negara-negara yang termasuk dalam kategori ini ialah:
? Amerika Syarikat
? Britain
? Perancis
? Kanada
? Australia
? New Zealand
? Jepun
* Negara-negara yang mempunyai ekonomi yang stabil dan pembangunan yang pesat dalam jangka masa yang agak lama seperti:
? Republik Rakyat China
? Mexico
? India
? Malaysia
? Thailand.
* Negara-negara yang mempunyai rekod pembangunan yang kurang pesat, iaitu:
? Benua Afrika
? Amerika Tengah
? Wilayah-wilayah Caribbean (kecuali Jamaica dalam kategori kedua)
? Arab
? Asia Tenggara (kecuali Singapura – kategori pertama, Filipina, Malaysia, Brunai dan Thailand – kategori kedua).
76% negara-negara dunia termasuk dalam kategori ini. Oleh sebab itulah negara–negara ini disebut juga sebagai negara ‘Two-Thirds World’ kerana ? daripada negara-negara dunia termasuk dalam kategori ini iaitu negara yang tidak membangun.(Wikipedia)
* Negara-negara yang tidak membangun atau negara yang sentiasa berhadapan dengan siri peperangan yang panjang atau suasana politik yang tidak stabil. Negara-negara ini di sebut juga sebagai ‘failed states’. Antara negara-negara tersebut ialah :
? Haiti
? Somalia
? Sudan
? Burma
? Korae Utara (Wikipedia).
Selain itu, pembahagian negara juga dibuat berdasarkan pengkelasan dunia iaitu:
? Negara-negara Dunia Pertama
? Negara-negara Dunia Kedua
? Negara-negara Dunia Ketiga
? Negara-negara Dunia Keempat
? Negara-negara Dunia Kelima
Negara-negara Dunia Pertama disebut juga negara yang telah membangun (Developed countries) seperti negara-negara Liberal Barat. Negara-negara Dunia Pertama ialah negara yang mempunya pencapaian yang tinggi dalam semua aspek, seperti berikut:
? Kemudahan infrastruktur yang moden (fizikal dan institusi)
? Tahap kehidupan
? Most Economically Developed Countries (MEDCs)
? Negara-negara perindustrian
? Pendapatan per kapita
? Human Development Index (HDI)
? Gross Domestic Product (GDP) per kapita
Negara-negara Dunia Kedua ialah negara-negara Kesatuan Soviet (USSR). Walau bagaimanapun istilah ini sudah tidak digunakan lagi sejak tahun 1991 apabila USSR runtuh dan negara-negara dibawah kesatuannya berjaya mendapat kuasa otonomi masing-masing. (Wikipedia).
Istilah Negara-negara Dunia Ketiga mula digunakan oleh seorang ahli demografi bernama Alfred Sauvy yang merujuk kepada Third Estate. Kebanyakan negara yang termasuk dalam kategori ini ialah negara-negara yang mendapat kemerdekaan daripada penjajah. Negara-negara ini disebut juga sebagai negara yang sedang membangun (Developing Countries), The South. Negara-negara yang termasuk dalam kategori ini ialah negara yang mempunyai kriteria berikut:
? Less Developed Countries (LDCs)
? Least Economically Developed Countries (LEDCs)
? Undeveloped Nations
? Non-Industrialized Nations Or Not Technologically Advanced As OECD Countries (Organisation for Economic Co-operation and Development)
? Tahap kehidupan yang rendah
? Indeks Pembangunan Manusia (HDI) yang sederhana ke rendah
Negara-negara yang sedang membangun meliputi 8 buah negara Islam yang disebut Developing 8 (D-8 atau Developing Eight) iaitu:
i. Iran
ii. Indonesia
iii. Malaysia
iv. Pakistan
v. Bangladesh
vi. Turki
vii. Mesir
viii. Nigeria
Antara objektif pengenalan D-8 ialah untuk meletakkan negara-negara dalam ekonomi dunia, membuka ruang untuk hubungan dagang, menaikkan taraf hidup dan memberi peluang untuk membuat keputusan di peringkat antarabangsa. Kerjasama utama termasuklah dalam pengurusan kewangan, perbankan, pembangunan luarbandar, sains dan teknologi, pembangunan manusia, pertanian, sumber tenaga, persekitaran dan kesihatan. (Wikipedia)
Ukuran klasifikasi negara-negara ini kepada beberapa blok adalah berdasarkan beberapa pencapaian berikut:
? Tahap pembangunan ekonomi yang rendah.
? Tahap hidup yang rendah – Dari segi pencapaian pendidikan, penjagaan kesihatan, dll.
? Negara yang tidak berasaskan perindustrian tetapi berasaskan pertanian dan penternakan.
? Perkembangan sektor perindustrian yang tidak setara dengan perkembangan penduduk.
? Indeks Pembangunan Manusia yang rendah (Human Development Index – HDI) - Pendapatan per kapita yang rendah
? Pertumbuhan penduduk yang tinggi (Wikipedia).
Walaupun terdapat beberapa istilah yang digunapakai, tetapi istilah yang signifikan dari segi penggunaannya ialah “negara membangun” dan “negara yang sedang membangun” atau Third World. Dominasi istilah “negara atau masyarakat maju” berbanding istilah “tamadun” amat berkait rapat dengan kejayaan barat mendominasi kemajuan dunia keseluruhannya dari pelbagai aspek. Hal ini bertambah kukuh dengan adanya teknologi canggih ciptaan barat seperti teknologi komputer yang menjadi tunggak asas pelebaran teknologi maklumat ke seluruh dunia. Selain itu, matlamat hidup hari ini yang bertumpu pada aspek ekonomi dan keselesan hidup mengukuhkan penggunaan istilah masyarakat maju. Semua negara dan masyarakat di dunia enggan di kategorikan sebagai sebagai masyarakat mundur, sebaliknya mereka lebih bersedia diberi sandaran sebagai masyarakat maju apatah lagi masyarakat moden.
1.3 CIRI-CIRI TAMADUN
Masyarakat yang bertamadun memiliki beberapa ciri yang menggambarkan masyarakat maju. Antaranya ialah penempatan kekal, revolusi pertanian, stratifikasi sosial, kehidupan beragama, urbanisasi, sistem tulisan, organisasi politik dan pengkhususan kerja.
1.3.1 Penempatan kekal
Penempatan kekal merupakan salah satu perkara asas dalam mewujudkan masyarakat bertamadun. Penempatan kekal memungkinkan pembinaan kota dan bandar. Bermula dari kota dan bandar muncul pula unsur-unsur pembentukan tamadun yang lain. Penempatan kekal akan dipilih berdasarkan lokasi yang mempunyai ciri-ciri berikut:
• Kemudahan perhubungan seperti lembah sungai dan pesisir pantai atau telok.
• Tanah yang subur bagi mewujudkan revolusi pertanian.
• Kawasan yang selamat untuk penternakan.
Contoh penempatan kekal pada sejarah awal masyarakat bertamadun ialah Tamadun Mesir yang bertempat di Lembah Sungai Nil, Tamadun Sumeria di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates, Tamadun India di Lembah Indus, Tamadun Cina di Lembah Sungai Kuning dan Tamadun Melayu di pesisir Selat Melaka dan Selat Sunda.
1.3.2 Revolusi Pertanian
Revolusi pertanian merubah pertanian sebagai satu sumber sara hidup kepada pertanian bentuk komersil. Revolusi ini merupakan salah satu bentuk peningkatan dalam tamadun. Revolusi ini juga mampu meningkatkan taraf kehidupan melalui kegiatan berikut:
• Pengumpulan kekayaan daripada hasil perkembangan industri pertanian dan penternakan.
• Revolusi pertanian adalah pra syarat penting mewujudkan peluang pekerjaan bagi menambah produktiviti dan melahirkan revolusi perdagangan.
1.3.3 Stratifikasi Sosial
Stratifikasi sosial turut menjadi aspek penting dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Kewujudan stratifikasi sosial dalam masyarakat bertamadun berdasarkan pembahagian tugas dan tanggungjawab secara tidak langsung. Sebagai contohnya, pengkelasan masyarakat bermula dengan pemilikan tanah pertanian yang mewujudkan penempatan kekal dan seterusnya dapat mengumpul kekayaan. Pemilikan tanah melahirkan golongan pemilik atau tuan tanah yang kuat berusaha dan berpengaruh. Beberapa tuan tanah telah membentuk satu kelompok golongan atasan, sementara buruh sebagai golongan pekerja atau hamba yang membentuk golongan bawahan. Pengkelasan masyarakat seperti ini telah melahirkan satu sistem kelas masyarakat yang di kenali dengan feudalisme. Dalam sistem ini, golongan atasan merupakan golongan minoriti, sementara golongan bawahan merupakan golongan majoriti.
Dalam masyarakat perindustrian hal ini tetap berlaku. Dalam lembaran sejarah Barat, tuan-tuan kilang merupakan golongan atasan yang mempergunakan sepenuhnya buruh atau pekerja kilang. Aktiviti tuan-tuan kilang bertambah rancak apabila wujudnya sistem kapitalisma di Barat yang memberi hak kebebesan individu. Stratifikasi sosial baru yang muncul di Barat telah memberi satu pergolakan dalam masyarakat yang mendorong kepada pemikiran baru Karl Marx yang berusaha untuk mencorakkan satu stratifikasi sosial yang tidak memberi kebebesan hak individu. Pemikiran Karl Marx dikenali dengan komunisma. Stratifikasi sosial baru yang dianjurkan oleh Karl Marx memberi kuasa kepada negara, bukan individu . Semua rakyat adalah sama. Rakyat berkerja untuk negara, bukan untuk tuan-tuan tanah atau tuan-tuan kilang. Stratifikasi sosial dalam bentuk ini dapat mengatasi pergolakan masyarakat yang dicetuskan oleh tuan-tuan kilang. Namun dalam pengalaman Soviet Union, stratifikasi sosial bentuk ini masih tetap melahirkan pergolakan yang lebih dahsyat. Kini Soviet Union bukan lagi satu kesatuan negara, sebaliknya negara-negara kecil yang telah mempunyai kuasa otonomi masing-masing. Dengan kata lain, stratifikasi soisal komunisma yang dianjurkan oleh Karl Marx menemui jalan buntu. Perkembangan ekonomi selanjutnya yang banyak berkaitrapat dengan teori kapitalisma melahirkan golongan pedagang yang mempengaruhi perubahan sosial masyarakat kerana mereka merupakan golongan yang boleh mencorak masyararakat ke arah masyarakat maju.
Walau apapun bentuk kelas dalam masyarakat, stratifikasi sosial pasti wujud, hanya bentuk dan hak dalam masyarakat yang berbeza.
1.3.4 Kehidupan beragama
Kehidupan beragama merupakan salah satu ciri masyarakat bertamadun. Dalam tamadun Islam, Ibn Khaldun menetapkan aspek ini sebagai perkara asas. Manakala sarjana Barat yang turut memasukkan aspek agama sebagai salah satu ciri masyarakat bertamadun ialah Edward L. Farmer manakala R.A. Buchanan pula menyebut wujudnya upacara agama yang kompleks adalah ciri-ciri kerahiban (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003). Hal ini bukan sahaja wujud semasa lahirnya Tamadun Islam yang menjadikan agama sebagai teras masyarakat bertamadun, namun tamadun silam juga banyak membuktikan aspek agama wujud dalam pembinaan tamadun. Ini dapat dilihat dengan adanya perkara berikut:
• Kepercayaan
• Pemikiran tentang kuasa ghaib yang mengawal kehidupan
• Peninggalan bangunan keagamaan
1.3.5 Urbanisasi
Kewujudan bandar atau kota yang menjadi pusat tamadun mencetuskan proses pembandaran atau urbanisasi. Oleh itu, urbanisasi merupakan salah satu ciri tamadun kerana bandar bertindak sebagai pusat pertemuan dan kegiatan masyarakat. Revolusi bandar merupakan salah satu proses yang amat penting dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat bertamadun. Kelahiran kota dan negara adalah hasil daripada revolusi bandar. Dalam tamadun silam, muncul juga kerajaan yang berbentuk “negara kota” atau city-state. Kemunculan kota telah mewujudkan beberapa aspek dan institusi penting dalam pembinaan tamadun seperti berikut:
• Penempatan kekal
• Pembentukan pusat pemerintahan iaitu kota, kerajaan dan pertumbuhan tamadun.
• Institusi keagamaan
• Institusi pendidikan
• Institusi pemerintahan
• Institusi ekonomi.
1.3.6 Pengkhususan kerja dan inovasi teknologi
Peningkatan dalam kehidupan memberi kesan kepada peningkatan keperluan untuk memenuhi kehidupan. Justeru itu, lahirlah inovasi dan daya kreativiti serta pengkhususan kerja. Maka dengan ini akan wujudlah pelbagai aktiviti berdasarkan bidang khusus. Antara bidang yang muncul pada tahap awal masyarakat bertamadun adalah seperti berikut:
• Perekonomian
• Pertukangan
• Seni bina
• Teknologi logam
Perkembangan ini melahirkan tenaga mahir dalam pelbagai bidang. Antara bidang yang muncul pada tahap awal adalah seperti berikut:
• Perkapalan
• Pembinaan pelabuhan dagang
• Penyediaan mata wang
• Penciptaan alat pengangkutan
Selain mencetuskan kemahiran teknologi, muncul juga perkembangan yang meningkatkan daya kreativiti dan karya-karya estetika seperti berikut:
• Seni lukis
• Seni ukiran
• Seni hiasan
• Seni tenunan dan anyaman
• Seni seramik
1.3.7 Sistem Tulisan
Tulisan merupakan salah satu bukti penting kewujudan sesebuah tamadun yang dapat dipelajari dan disaksikan oleh genarasi kemudian. Sistem tulisan dapat dilihat pada tugu-tugu peringatan, bangunan keagamaan, makam, lembaran kertas, wang syiling dan lain-lain. Sistem tulisan lahir dan berkembang berdasarkan perkembangan sesebuah tamadun. Pada peringkat awal, sistem tulisan adalah dalam bentuk simbol, dan seterusnya berkembang membentuk sistem nombor dan tulisan.
1.3.8 Organisasi Politik Dan Pemerintahan
Kewujudan sistem politik dan pemerintahan merupakan ciri yang perlu ada dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun. Kesatuan politik dan budaya mewujudkan keutuhan tamadun. Antara bentuk pemerintahan yang wujud dalam tamadun ialah:
• Homogeneous (serba sama). Kuasa pemerintah dalam bentuk ini tidak dipersoal oleh rakyat. Contohnya, pemerintahan Firaun di Mesir dan Kerajaan Byzantine.
• Heterogeneous (pelbagai bangsa), iaitu tamadun yang mempunyai banyak pemerintahan seperti tamadun Mesopotamia dan Greek yang mempunyai beberapa buah pemerintahan dan negara-kota (city-states). Begitu juga Tamadun Islam yang mempunyai pelbagai bahasa, bangsa dan budaya.
• Monarchy atau beraja. Raja menjadi lambang ketamadunan kerana raja dikaitkan pada sesuatu kekuatan seperti pada Tamadun Mesir, raja berkonsep Tuhan dan Tamadun Melayu pula, raja mempunyai konsep daulat.
• Oligarchy atau demokrasi. Demokrasi memberi ruang kepada sekumpulan yang memegang kuasa seperti sami dan cerdik pandai agama (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003).
1.4 KONSEP TAMADUN ISLAM
Konsep Tamadun Islam menyentuh beberapa aspek yang menetapkan world view Tamadun Islam. Penetapan aspek ini menjadi pembeza wajah antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Aspek-aspek tersebut adalah seperti berikut:
1.4.1 Definisi Tamadun Islam:
Berikut dikemukakan pelbagai definisi tamadun yang diutarakan oleh para sarjana Tamadun Islam.
i. Ibn Khaldun
Beliau menjelaskan Tamadun Islam sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asas kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.
ii. M. A. J. Beg
Beliau membuat kesimpulan bahawa tamadun merupakan pencapaian manusia dalam bentuk kata-kata, skrip, kesenian, senibina, agama, undang-undang dan politik.
iii. Prof. Dr. Ahmad Shalaby
Tamadun Islam terbahagi kepada dua. Pertama, peradaban Islam tulen yang menjadikan Islam sebagai sumber. Kedua ialah peradaban yang dibangunkan oleh kaum muslimin dalam pelbagai bidang ilmu seperti matematik, perubatan, astrologi, muzik dan lain-lain. (1975:26)
vi. Professor Syed Naquib Al-Attas
Beliau telah mentafsirkan Tamadun Islam sebagai satu keadaan kehidupan masyarakat yang telah mencapai tahap kehalusan tatasusila dengan mempunyai kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat.
v. Syed Qutb
Tamadun Islam ialah segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat dalam seluruh dimensi kehidupan seperti dalam sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah, serta bercirikan nilai-nilai moral Islam (1989:112). Menurut beliau, Tamadun Islam tidak boleh lari dari sibghatu’Llah atau acuan Allah (Ibid: 129). Beliau mengambil contoh pencapaian tamadun yang telah di asaskan oleh Rasulullah SAW. Tamadun Islam telah mencapai kemuncak keagungan dan terus berkembangan pada zaman kemudiannya.
vi. Said Hawa
Melalui karyanya al-Islam beliau menyatakan bahawa tamadun secara umum terbahagi kepada dua kategori sahaja iaitu Tamadun Islam dan Tamadun Jahiliyah. Tamadun Islam ialah segala aspek kemajuan yang tegak di atas kebudayaan Islam serta hasilnya juga relevan dengan kebudayaan Islam. Manakala Tamadun jahiliyah pula ialah segala kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebendaan tanpa mengambil kira aspek kerohanian dan moral.
vii. Lain-lain.
Ahmad Fauzi Haji Morad, Ahmad Tarmizi Talib, Aimini Amir Abdullah dan Zarina Mohammad menyatakan bahawa tamadun merangkumi kebudayaan, peradaban, kemajuan (kebendaan dan kerohanian) dan sopan santun. Manusia tidak akan dapat mencari satu etika tamadun jika tidak mempunyai masyarakat yang bermoral. Kemajuan Tamadun Islam tidak terbatas hanya kepada kemajuan kebudayaan semata-mata. Malah ia merupakan kemajuan yang berjalan serentak dengan kerohanian. Seterusnya, mereka menyatakan bahawa Tamadun Islam ialah meletakkan al-Din sebagai pembentukan tamadun manusia.
Ringkasnya, Tamadun Islam meliputi seluruh pencapaian dalam kehidupan manusia. Pencapaian-pencapaian dan kemajuan-kemajuan yang dibangunkan oleh manusia berjalan selaras dengan konsep Islam sebagai al-Din.
1.4.2 Aspek-aspek Penting Tamadun Islam
Terdapat tiga aspek penting dalam Tamadun Islam, iaitu:
i) Aspek manusia.
Aspek manusia berkisar dalam tiga persoalan pokok, iaitu dari mana kita berasal, kenapa kita diwujudkan dan ke mana kita akan pergi. Jawapan kepada persoalan-persoalan ini akan menentukan hala tuju dan pembentukan Tamadun Islam.
ii) Aspek masyarakat.
Aspek masyarakat melibatkan perkara-perkara berikut:-
(a) Hak untuk hidup.
(b) Hak untuk bebas.
(c) Maruah dan hak peribadi.
(d) Hak berfikir, beragama dan mengeluarkan pendapat.
(e) Keadilan dan kehakiman.
iii) Aspek sejarah.
Aspek sejarah dalam Tamadun Islam merupakan satu mekanisma panduan, teladan dan sempadan. Pengajaran dari fakta sejarah akan mendorongkan seseorang melakukan atau meninggalkan suatu perbuatan. Kepentingan aspek ini terbukti pada sebahagian kandungan al-Qur’an yang memaparkan sejarah umat yang silam dan juga sejarah para nabi (anbiya’). Sebagai contohnya, Surah Maryam menceritakan kisah Maryam yang merupakan ibu kepada Nabi Isa AS. Demikian juga surah Ali Imran menceritakan kisah keluarga Imran yang juga salasilah keluarga Nabi Isa AS. Surah Ibrahim memaparkan kisah Nabi Ibrahim AS termasuk kisahnya dibakar oleh Namrud, namun tidak terbakar. Kisah Nabi Musa dengan Firaun, Nabi Lut dengan umatnya, Nabi Nuh dilanda banjir besar, Nabi Ayob dtimpa penyakit, Nabi Syuib dengan tanamannya, Nabi Harun menjadi teman Nabi Musa, Nabi Khaidir dan nabi-nabi yang lain termasuk yang tidak dinyatakan namanya dengan jelas. Semua kisah sejarah ini bukan sekadar dipaparkan untuk memenuhkan al-Qur’an tetapi untuk dijadikan iktibar dan teladan perjalanan manusia hari ini dan akan datang.
Aspek-aspek manusia, masyarakat dan sejarah akan melahirkan tamadun agung, iaitu tamadun yang menepati matlamat penciptaan manusia, menghormati hak-hak asasi manusia dan menjadikan peristiwa silam sebagai dorongan ke arah penciptaan tamadun yang lebih dinamik.
1.4.3 Asas Tamadun Islam
Tamadun Islam terikat dengan beberapa perkara penting yang menjadi asas pembinaan tamadun. Antaranya ialah akidah, syariah, akhlak dan ilmu. Empat asas ini dikuti dengan asas keadilan, semangat kejiranan, toleransi dan kebebasan beragama sebagai pra-syarat Tamadun Islam. (Mahyudin Hj.Yahya :1998:15). Asas-asas ini menjadikan Tamadun Islam tetap unggul walaupun tidak terbina di atas tapak sejarah awal Islam iaitu di Semenajung Tanah Arab, khususnya di bumi Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah.
* Akidah
Akidah merupakan satu konsep kepercayaan yang akan membentuk iman kepada Allah SWT, para rasul, para Malaikat, Kitab-kitab, Hari Akhirat dan Qada’ Qadar Allah. Keyakinan kepada konsep tauhid kepada Allah memberi kesan dalam kehidupan manusia. Tauhid merupakan falsafah kehidupan dalam Islam dan menjadi asas kepada kelahiran tamadun. Keimanan kepada Allah SWT akan mengubah dan membentuk pandangan manusia terhadap Tuhan, sesama manusia dan alam semesta.
Zaman Nabi Muhammad SAW merupakan zaman kegemilangan Tamadun Islam, sama ada dalam aspek politik, pentadbiran mahupun ekonomi. Umat Islam telah berjaya membentuk sebuah kerajaan Islam yang kukuh di Kota Madinah dengan berasaskan akidah. Akidah yang mantap telah membentuk sistem nilai, iaitu suatu sistem yang mengawal sifat dan bentuk ketamadunan.
* Syariah
Syariah merangkumi ibadah dan muamalah. Ibadah ialah peraturan-peraturan untuk melakukan peribadatan dan ketaatan kepada Allah SWT. Ia juga meliputi perilaku melaksanakan kebaikan kepada sesama manusia dan alam. Muamalah pula ialah peraturan perhubungan sesama manusia yang meliputi aspek akhlak, politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Aspek syariah dalam Tamadun Islam dilihat sebagai pemangkin kepada keutuhan dan kecemerlangan tamadun. Ia juga menjadi pembeza antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Melaksanakan keadilan pula adalah prinsip penting dalam perlaksanaan syariat Islam. Ia menjadi lambang kesucian agama Islam. Pelaksanaan keadilan merupakan asas bagi setiap penyusunan masyarakat dan negara. Oleh itu, jika akidah boleh diibaratkan sebagai sumber inspirasi dalam menggerakkan tamadun, syariah pula adalah sebagai penunjuk jalan, penentu kaedah dan perlaksanaan Tamadun Islam. (Azhar, 2000: 129)
* Akhlak
Akhlak merupakan mekanisma yang menggerakkan umat Islam menjadi umat yang bertamadun tinggi. Tanpa akhlak, Tamadun Islam yang dibina tidak mempunyai sebarang erti. Oleh itu, dalam ajaran Islam, akhlak merupakan pelengkap kepada akidah dan syariah. Imam al-Ghazali menjelaskan akhlak merupakan suatu kebiasaan yang terdapat dalam diri manusia. Seseorang akan melakukan dengan mudah dan tidak perlu berfikir untuk menghasilkan perbuatan dan tingkah laku. Sekiranya tingkah laku seseorang itu indah dan terpuji ia dinamakan akhlak yang baik (akhlak mahmudah), tetapi jika perbuatan atau tingkah laku itu keji ia dinamakan akhlak yang buruk (akhlak mazmumah). (Aboebakar Atjeh, 1985:13)
Nilai akhlak sebagai satu unsur pembinaan tamadun sudah ada dalam tamadun-tamadun silam seperti Tamadun Yunani atau lain-lain tamadun. Walau bagaimanapun, nilai-nilai murni dalam nilai akhlak disempurnakan oleh Nabi Muhamad SAW. Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”.
Nilai paling utama dalam kehidupan manusia ialah nilai baik yang akan membentuk akhlak seseorang dan ia tidak ditentukan oleh akal manusia, sebaliknya oleh wahyu Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya. Nilai yang diketengahkan oleh ajaran Islam terbukti lebih sesuai dengan fitrah manusia. Oleh kerana itu, nilai dalam akhlak Islam mampu merentasi sempadan, masa dan geografi. Akhlak Islam amat berperanan membantu keutuhan sesebuah tamadun dalam rangka manusia melaksanakan amanah sebagai khalifah di dunia. Segala bentuk perlakuan yang berasaskan ajaran Islam membawa penganutnya mengamalkan akhlak yang mulia.
* Ilmu
Kelahiran Tamadun Islam juga berasaskan ilmu pengetahuan yang disarankan oleh firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq (ayat Iqra’). Ia merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Penekanan kepada ilmu pengetahuan yang bermula dari peringkat awal telah membangkitkan kesedaran pentingnya pembinaan tamadun berasaskan pengetahuan. Sejarah kegemilangan Tamadun Islam telah berjaya dicipta kerana penghayatan ummah terhadap budaya ilmu dalam kehidupan seharian. Selain daripada kejayaan melahirkan tenaga-tenaga mahir dan professional dalam pelbagai bidang, masyarakat Islam juga mempunyai pegangan agama yang teguh, pemikiran yang tinggi dan akhlak yang luhur.
Ilmu merupakan elemen penting yang menjadi pemangkin pergerakan manusia. Penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan menjadikan masyarakat Islam mampu melakukan penelitian, pengkajian dan menghasilkan penemuan baru atau teknologi. Antara contoh intelektual Islam yang menjadi pemangkin budaya ilmu pengetahuan dalam masyarakat seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Ibnu Maskawayh, Ibn Batutah, Ibnu Khaldun, al-Farabi, al-Kindi, al-Khawarizmi, al-Ghazali, al-Biruni dan al-Battani. Selain itu, para ulama Islam turut berkembang kerana pemilikan ilmu. Contohnya, Imam Shafie, Imam Maliki, Hanafi dan Hambali. Mereka semua adalah intelektual Islam yang menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber utama ilmu mereka.
Pelbagai pencapaian yang berjaya dihasilkan merupakan puncak kemampuan akal dan kejayaan manusia. Kejayaan ini menjadi dasar untuk membentuk sesuatu tamadun bagi memenuhi keperluan kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain. Oleh itu, dalam menangani era teknologi dan globalisasi hari ini, umat Islam harus bersedia untuk memiliki segala kepakaran yang diperlukan demi mempertingkatkan martabat umat Islam dan mengelak dari bergantung dengan pihak lain. Umat Islam wajib berusaha memiliki pelbagai kepakaran, sama ada kepakaran ilmu agama yang terus berkembang dan berubah, mahupun kepakaran ilmu dunia yang berbentuk kemahiran dan daya cipta. Kepakaran ilmu dunia akan menyebabkan umat Islam disanjung dan dijadikan rujukan, sementara kepakaran ilmu agama akan menjadikan umat Islam umat yang teguh dengan dasar agamanya yang menganjurkan keseimbangan antara kebahagiaan dunia dan akhirat.
Oleh itu, dapat ditegaskan bahawa semua yang terkandung dalam ajaran Islam menjadi asas pembinaan tamadun kerana peningkatan dari aspek spiritual (ma’nawi) akan mendorong kebangkitan fizikal. Kebanyakan tamadun dunia lain juga terbina dengan berasaskan kepercayaan agama. Keteguhan kepada pelaksanan agama menjadi faktor kepada peningkatan dan kemusnahan sesebuah tamadun. Sebaliknya, tamadun yang mula menyeleweng dari dasar agama akan mempercepatkan keruntuhan sesebuah tamadun. Berbeza dengan Islam sebagai din yang dipelihara oleh Allah melalui cara yang dapat dikaji mahupun tidak. Penjagaan dari Allah SWT menjadikan Tamadun Islam mampu bertahan lama sehingga kini. Hanya, pada masa kini umat Islam kurang menghayati konsep Tamadun Islam sehingga mereka leka dengan kepalsuan Tamadun Barat yang hanya menumpukan kepada kemegahan dunia tanpa menggabungkan dengan kebahagian akhirat. Umat Islam hari ini dibelenggu pelbagai masalah, kurang menghayati agama, ketinggalan dalam menguasai ilmu dan teknologi hari ini. Kesungguhan menghayati Islam, berdisiplin tinggi serta menguasai pelbagai ilmu khususnya sains dan teknologi boleh memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menandingi Tamadun Barat hari ini.
1.4.4 Sumber Tamadun Islam
Sumber Tamadun Islam terbahagi dua, iaitu sumber wahyu dan sumber sekunder. Sumber wahyu terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
* Al-Qur’an.
Al-Qur’an mrupakan mukjizat yang diwahyukan oleh Allah SWT melalui Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW dan membacanya dikira sebagai ibadah. Al-Qur’an mengandungi keseluruhan ajaran Islam yang merangkumi konsep ketuhanan, sistem perundangan, alam ghaib, nilai moral, fakta-fakta sains, sejarah dan lain-lain lagi. Al-Qur’an sebagai mukjizat tetap terpelihara daripada sebarang bentuk usaha penyelewengan dan penambahan.
Al-Qur’an sebagai sumber yang dapat disaksikan hingga ke hari ini sentiasa menyeru umat Islam melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan serta membangunkan alam untuk kebaikan bersama. Selain itu, al-Qur’an menekankan aspek keadilan dan segala prinsip-prinsip sosial. Ahmad Shalaby (1997:95) menegaskan, al-Qur’an al-Karim mengandungi asas-asas yang kukuh dan sistem yang teguh bagi pendirian agama, tamadun dan dunia. Beliau menegaskan:
“Andainya kita dapat mentafsirkan asas-asas ini dengan sebaiknya nescaya terbentuklah suatu sistem yang sempurna dan sesuai untuk manusia seluruhnya di pelbagai zaman dan tempat”.
* Al-Sunnah.
Selain al-Qur’an, sumber kedua yang menjadi sumber Tamadun Islam ialah sunnah atau hadis Nabi Muhammad SAW. Al-Sunnah ialah segala yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan dan pengakuan serta sifat atau akhlak dan riwayat hidup baginda sebelum dan sesudah dilantik menjadi Rasul.
Sumber ini diterima sebagai sumber yang benar dan berautoriti dalam Tamadun Islam. Sunnah bukan sekadar bertindak sebagai penafsir dan pengulas yang paling sahih walaupun kesahihannya mengambil tempat kedua selepas al-Qu’ran, malah dari sudut lain, adalah tidak mungkin untuk melihat agama Islam sebagai sesuatu yang sempurna tanpa bantuan dan penjelasan al-Sunnah. Walau bagaimanapun, haruslah diingat bahawa sunnah yang diterima sebagai sumber autoriti ini hanyalah sunnah yang sahih sahaja. Sunnah dalam bentuk ini sahaja yang boleh diterima pakai sebagai sumber, sementara Sunnah yang sebaliknya tidak diterima. (Azhar 2000:103) Untuk mempastikan Sunnah yang sahih dan sebaliknya, para ulama hadith telah berjaya membentuk satu ilmu khusus yang dikenali dengan ilmu Mustalah al-Hadith. Hadis atau Sunnah menjadi sumber penting kerana ia bukan sahaja menggambarkan keseluruhan agama Islam, namun turut memaparkan secara jelas kandungan al-Qur’an yang menjadi pegangan orang Islam.
* Sumber-sumber sekunder
Selain daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, terdapat sumber lain yang berperanan sebagai pengukuh kepada penjanaan Tamadun Islam. Antaranya ialah ijtihad, ijmak ulama’, al-Qias, Masalih al-Musalah dan al-Istihsan. Kesemua sumber ini dihasilkan oleh pemikir Islam yang berusaha mencernakan Islam dalam kehidupan seharian umat Islam yang semakin kompleks. Pemikiran intelek dan ulama Islam yang melahirkan pelbagai kaedah Islam tetap berdasarkan firman Allah dalam al-Qur’an dan hadith Nabi SAW.
Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadis yang mendorong manusia belajar dan menggunakan akalnya atau memperkembangkan semangat intelektualisma. Contohnya, ialah ayat-ayat yang disudahi dengan ungkapan yang bermaksud ‘Apakah kamu tidak menggunakan akal’, ‘Apakah kamu tidak berfikir’ dan lain-lain lagi. Ayat-ayat ini mengandungi maksud supaya umat Islam menggunakan akal untuk memerhati dan mempelajari alam sekeliling. Di samping itu, terdapat juga mekanisma lain yang kewujudannya merupakan manifestasi kepada sumber-sumber ini seperti pembentukan pentadbiran yang berkesan selari dengan ajaran Islam, monumen-monumen indah yang melambangkan keagongan Islam dan ketinggian ilmu-ilmu Islam sehingga menjadi rujukan kepada pembinaan tamadun lain. Tidak dinafikan juga keindahan seni Islam seperti seni kaligrafi, seni bunyi, seni tampak dan sebagainya turut menarik perhatian dan minat masyarakat dunia.
* Tamadun lain
Islam bersifat terbuka kepada semua tamadun dan tidak menolak segala kebaikan yang dihasilkan oleh tamadun-tamadun lain. Elemen ini membolehkan Tamadun Islam berkembang tanpa sempadan masa dan geografi serta bertoleransi terhadap agama dan budaya lain. Tamadun Islam telah berkembang ke luar dari Semananjung Tanah Arab sampai ke Eropah, Alam Melayu dan Tanah Besar Cina. Ketamadunan yang telah dicapai oleh bangsa-bangsa di luar Semenanjung Tanah Arab ini tetap dipelihara oleh Tamadun Islam, bahkan diperkembangkan lagi melalui aktiviti penterjemahan, penyelidikan dan penambahbaikan dengan memasukkan unsur-unsur Islam. Sebagai contohnya, ilmu astronomi, aljebra dan perubatan daripada tamadun Yunani, Cina dan India disesuaikan dengan ajaran Islam dan telah dikembangkan oleh para sarjana muslim.
Ringkasnya, semua bentuk pembangunan atau kemajuan dalam sesebuah masyarakat yang berteras Tamadun Islam hendaklah dibentuk dalam acuan sumber-sumber tersebut.
1.4.5 Ciri-Ciri Khusus Tamadun Islam
Ciri-ciri tamadun yang dikemukakan oleh para sarjana Barat seperti wujudnya penempatan, kemunculan kota atau bandar, peningkatan kualiti hidup, wujudnya organisasi, bahasa dan penggunaan tulisan dan adanya daya reka cipta, turut terkandung dalam masyarakat Islam yang menjadi penunjang Tamadun Islam. Bahkan ciri-ciri Tamadun Islam lebih luas daripada yang dinyatakan. Namun ciri-ciri khusus Tamadun Islam tersebut jarang diketengahkan. Ciri-ciri khusus Tamadun Islam yang akan dipaparkan di bawah menggambarkan keistimewaan dan nilai tersendiri dan nilai sebenar Tamadun Islam. Ciri-ciri ini menjadi penentu sebab Tamadun Islam diterima oleh semua bangsa yang ada di dunia, walaupun pada asalnya Tamadun Islam bermula pada bangsa Arab. Tamadun Islam diterima oleh masyarakat India sehingga melahirkan era Kesultanan Delhi di India yang berjaya dimantapkan oleh oleh Dinasti Babur sehingga terbinanya Taj Mahal yang menjadi mercu tanda Islam di India. Tamadun Islam diterima oleh masyarakat Cina pada zaman Dinasti Ming. Tamadun Islam diterima oleh masayrakat Melayu di pelbagai pulau dan daratannya. Tamadun Islam diterima oleh masayrakat Eropah seperti di Sepanyol sahingga terbinanya Istana al-Hamra’ di Granada. Ringkasnya, kebanyakan bangsa di dunia boleh menerima Tamadun Islam kerana ciri-ciri khusus ini. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:
* Rabbani
Ciri rabbani menunjukkan Tamadun Islam di dasari oleh nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan. Menerusi ciri ini, umat Islam sedar hakikat keberadaannya di dunia ini adalah sebagai khalifah Allah yang diamanahkan untuk membangunkan setiap wilayah yang diduduki. Sumber, matlamat dan tujuan kehidupan manusia berteraskan ketetapan Allah SWT yang terkandung dalam al-Qur’an. Selain itu, ciri ini juga menjadikan umat Islam sedar bahawa tujuan penciptaan manusia adalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT. Perhubungan manusia dengan Allah SWT merupakan matlamat tertinggi dalam Tamadun Islam. Sementara perhubungan manusia sesama manusia dan alam lainnya adalah pelengkap hubungan dengan Maha Pencipta. (lihat surah al-Taubah: 24, al-Zukhruf: 59) Ciri ini juga menjadi bukti semua bangsa adalah sama dalam masyarakat Islam. Pembezanya hanyalah iman dan takwa, bukan warna kulit, pangkat, keturunan dan kekayaan. Oleh itu, ciri ini merupakan tunggak utama Tamadun Islam dan asas perbezaan Tamadun Islam dengan tamadun lain.
* Keseimbangan dan kesederhanaan.
Kesimbangan bermaksud seimbang antara dua keadaan yang bertentangan. Konsep keseimbangan dalam Tamadun Islam merangkumi kerohanian (spiritual) dan kebendaan (material), tanggungjawab ibadat kepada Allah dan urusan kehidupan dunia, kepentingan individu dengan masyarakat dan keseimbangan nilai spiritual dengan material.
* Universal
Tamadun Islam tidak terikat kepada bangsa tertentu, tempat dan tempoh tertentu, bahkan Tamadun Islam milik seluruh manusia yang berpegang kepada Din al-Islam. Ini bermakna Tamadun Islam sesuai dengan segala bangsa dan situasi. Ia juga menepati keperluan dan peredaran zaman. Tamadun Islam berpegang kepada konsep ummah dan tidak disandarkan kepada sesuatu bangsa atau kawasan tertentu. Dengan ciri ini terbukalah ruang kepada semua bangsa di dunia untuk membentuk masyarakat Islam dan membina tamadun sejagat.
* Ideal dan realistik
Islam sentiasa meletakkan manusia di tingkat kesempurnaan yang paling tinggi dan dapat dicapai dengan memberi landasan kukuh kepada seluruh kegiatan agar tidak bercanggah dengan ajaran Allah SWT. Ciri realistik mengambil kira kehidupan manusia di alam sejagat dengan kepercayaan bahawa alam sejagat merupakan suatu hakikat yang berlaku di dunia nyata. Dunia nyata adalah antara bukti kewujudan Allah SWT yang Maha Pencipta.
* Tetap dan anjal
Tamadun Islam mempunyai prinsip yang tetap dan tidak berubah pada sasaran dan matlamat pembinaan tamadun, tetapi anjal dari sudut cara dan teknik pelaksanaanya. Islam memberi kebebasan dari sudut merealisasikan tamadun pada setiap bangsa yang berbeza dengan mengambil kira matlamat yang harus di capai, bukan kemajuan dari sudut kebendaan semata-mata.
* Menyeluruh
Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk aspek akidah, syariat (undang-undang) dan akhlak. Demikian juga hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Ia juga merupakan satu seruan keadilan untuk semua manusia, sama ada Islam atau bukan Islam, musuh atau lawan dan mempunyai hubungan keluarga ataupun tidak. Dari aspek kehakiman, Tamadun Islam telah terbukti dapat mengembalikan hak kepada yang empunya, sebagaimana yang berlaku dalam sejarah Islam. Tamadun Islam juga menyentuh aspek kenegaraan yang meliputi hubungan dalam negara mahupun antarabangsa.
1.4.6 Matlamat Tamadun Islam
Para sarjana Tamadun Islam telah merumuskan matlamat Tamadun Islam seperti berikut :
* Menjaga hubungan baik antara makhluk dengan Khaliq
Penjagaan hubungan baik dalam Tamadun Islam terbentuk melalui keimanan yang mantap, akidah yang lurus dan pengabdian kepada Allah SWT semata-mata seperti yang terkandung dalam konsep tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Hubungan dengan Allah merupakan hubungan ubudiyyah dan sama sekali tidak menyamai dengan sebarang hubungan lain.
Menjaga hubungan dengan Allah merupakan matlamat terakhir dan kemuncak hubungan-hubungan yang lain. Pada hakikatnya, hubungan dengan manusia dan alam lainnya akan kembali kepada perhubungan yang kudus dengan Pencipta Alam, iaitu Allah SWT seperti yang dapat difaham pada surah at-Taubah:24. (Amir A.Rahman,1991:4).
* Menjaga hubungan baik sesama manusia.
Manusia tidak dapat hidup bersendirian, lebih-lebih lagi dalam membina tamadun dan kemajuan. Justeru itu Islam menggariskan peraturan dalam membina hubungan tersebut dengan menghayati segala sifat terpuji dan menjauhi sifat tercela. .Sifat yang dituntut oleh Islam antaranya saling membantu pada perkara takwa dan kebaikan dan tidak membantu pada perkara dosa dan keburukan seperti yang terakam pada surah al-Maidah: 2. Selain itu, Tamadun Islam menjaga kesejahteraan sesama manusia dengan mengharamkan tuduh menuduh, mengumpat, mengeji, mencuri dan lain-lain. Masyarakat Islam ialah masyarakat yang universal. Ia terbuka kepada seluruh umat manusia. Sifat universal ini memerlukan wujudnya masyarakat yang saling berkomunikasi dengan baik dan berdisiplin seperti pada surah surah al-Hujurat:13.
* Menjaga hubungan antara makhluk dan alam
Dalam membina tamadun, Islam membentuk manusia supaya menjaga hubungan yang baik dengan makhluk lain. Sebagai contohnya, Islam mengharamkan pembunuhan binatang tanpa sebab yang diharuskan atau membunuh haiwan dengan cara yang zalim dan kejam. Antara penentuan garisan yang telah ditentukan oleh al-Qur’an sebagai sumber utama Tamadun Islam dalam menjalin hubungan harmoni antara makhluk dengan alam dapat dilihat pada firman Allah seperti berikut:
a) Hubungan dengan binatang, surah Yasin:72,
b) Hubungan dengan tumbuh-tumbuhan, surah an-Nahl:10 -11.
c) Hubungan dengan laut, surah an-Nahl:14.
d) Hubungan dengan cakerawala, surah Ibrahim: 32 - 33.
Terdapat hampir 500 ayat al-Qur’an yang menyentuh persoalan alam sekitar dan tanggungjawab mengurusnya. Demikian juga Sunnah Rasulullah SAW banyak memberi petunjuk yang menekankan kepentingan memulihara alam sekitar (Mohd Zuhdi, 2002:127) .
* Menjaga kewarasan akal
Akal merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia. Keistimewaan manusia berbanding makhluk lain terletak pada akal yang sempurna dan waras. Dalam membina kemajuan dan peradaban, akal yang waras mestilah dijaga dan diarahkan untuk tujuan yang murni dan baik, bukan untuk membawa kemusnahan kepada diri sendiri dan manusia lain. Justeru itu, Islam mengharamkan segala perbuatan merosakkan akal seperti mengambil minuman yang memabukkan, penagihan dadah dan seumpamanya seperti yang terakam dalam surah al-Maidah: 32.
* Menjaga diri dan nyawa
Nyawa merupakan kurnia Allah SWT untuk memberi peluang dan bekalan kepada manusia mengabdikan diri kepada-Nya. Lantaran itu, dalam membina tamadun dan kemajuan, ajaran Islam menekankan penjagaan nyawa manusia. Justeru jiwa dan nyawa manusia milik mutlak Allah SWT, sedangkan manusia adalah pemilik secara nisbi sahaja, maka mereka mestilah memelihara nyawa sendiri dan orang lain. Penekanan ini menyebabkan Islam mengharam membunuh diri dan melakukan pembunuhan kepada orang lain seperti dalam surah an-Nisa’:29. Sehubungan itu, dalam membina kemajuan dan peradaban, Islam juga mengharamkan tujuan kemajuan adalah untuk kemusnahan seperti pembinaan senjata nuklear dan kimia untuk membunuh orang lain atau membawa kehancuran.
* Menjaga zuriat dan keturunan
Islam mengambil berat aspek penerusan zuriat dan keturunan dengan menekankan perkembangan keturunan yang baik selaras dengan kemajuan. Keturunan yang baik mestilah melalui perkahwinan. Sehubungan itu, Islam mengharamkan segala bentuk pergaulan bebas dan perbuatan zina. Islam juga mensyariatkan undang-undang yang tegas bagi kesalahan zina. Syariat ini bertujuan untuk memastikan zuriat dan keturunan manusia terpelihara sesuai dengan kemuliaan manusia sebagai khalifah Allah seperti yang dapat difaham pada surah al-Isra’:31 dan surah an-Nur:2.
* Menjaga keselamatan harta
Islam tidak menegah pengumpulan harta dan usaha untuk mencari kekayaan. Namun Islam menekankan matlamat dan usaha tersebut mestilah selari dengan kehendak Islam, seperti mencari hasil yang halal dan membelanjakan harta untuk tujuan yang baik dan diharuskan oleh syarak. Dalam membina tamadun, Islam menekankan keselamatan harta. Justeru itu, Islam tidak membenarkan sebarang bentuk penindasan dan pencerobohan terhadap harta orang lain seperti mencuri, merompak atau urus niaga yang berasaskan riba seperti yang dapat dilihat pada surah al-Qashash:77 dan surah al-Maidah:38.
Oleh itu, selain bermatlamat menjaga hubungan manusia dengan Pencipta, sesama manusia dan alam sekitar, Tamadun Islam juga bermatlamat menjamin keselamatan nyawa, akal, tubuh badan, harta dan keturunan. Semua objektif ini hanyalah untuk memperoleh keredaan Allah SWT dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa konsep tamadun menurut perspektif Islam ialah paduan antara pembangunan material dan spiritual atau antara kebendaan dan kerohanian dan antara memenuhi tuntutan fitrah manusia yang bersifat jasad dan roh. Inilah yang melayakkan Tamadun Islam menjadi tamadun yang universal. Selain itu, kita akan dapat melihat perbezaan yang ketara antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain seperti Tamadun Barat. Tamadun Barat lebih menonjolkan aspek pencapaian kebendaan atau material sebagai ukuran bagi menentukan sesebuah masyarakat itu bertamadun atau sebaliknya, manakala Tamadun Islam mengimbangi antara pembangunan material dan spiritual. Kesyumulan Tamadun Islam diinspirasikan dari sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Bukanlah kebaikan kepada kamu orang-orang yang meninggalkan kepentingan duniawi untuk akhirat. Dan tidak ada kebaikan bagi kamu orang-orang yang meninggalkan kepentingan akhirat untuk dunia, akan tetapi paling baik bagi kamu yang mengambil dari ini dan ini” (kedua-duanya secara sepadu).
(Riwayat Bukhari)
Kesepaduan dalam Tamadun Islam berlaku tanpa pengabaian mana-mana aspek, jika berlaku pengabaian akan membawa kepada kepincangan dan kecacatan. Malah pada pandangan Islam ia tidak memenuhi maksud Tamadun Islam yang sebenarnya.
1.5 KONSEP TAMADUN BARAT
Tamadun Barat diasaskan kepada pemikiran yang bersumberkan Tamadun Greek Yunani dan Rom purba yang muncul pada tahun 2000 S.M. Kedua-dua tamadun ia banyak memberi inspirasi kepada kemunculan dan kekuatan Tamadun Barat. Ini menjadikan Tamadun Barat tegak atas landasan idealisme sekular yang mementingkan pemikiran logik sebagaimana Tamadun Yunani yang lebih menekankan keagungan manusia dari faktor ketuhanan.
Pemikir dan golongan intelektual Yunani telah mencorakkan masyarakat Yunani ke arah pemisahan agama dari kehidupan keduniaan. Tokoh utama dalam zaman ini adalah Socrates, Plato dan Aristotale. Socrates dalam dialognya telah menegaskan bahawa “pada hakikatnya tidak ada nilai moral dan spiritual yang mutlak”. Oleh itu, manusia hendaklah bergembira sepenuhnya dalam kehidupan dunia. Inilah matlamat utama kehidupan manusia, iaitu keseronokan pancaindera dan memenuhi runtunan hawa nafsu dan syahwat kehaiwanan. Mereka bergantung sepenuhnya kepada pemikiran akal tanpa merujuk atau dibantu oleh ajaran ketuhanan. Sehubungan ini, Abu Hassan Ali an-Nadawi (1984) telah menjelaskan ciri-ciri khusus Tamadun Yunani seperti berikut:
i. Percaya kepada apa sahaja yang dapat dicapai oleh panca indera.
ii. Kurang rasa keagamaan dan kecintaan melampau kepada kehidupan dunia.
iii. Fanatisme kebangsaan yang melampau.
Oleh itu, pemikiran dan keinginan manusia menjadi sumber, rujukan dan matlamat utama dalam pembangunan dan pembinaan tamadun Barat. Idealisme sekular merupakan tema yang dominan dalam Tamadun Barat.
1.5.1 Sejarah Tamadun Barat
Kemunculan Tamadun Barat bermula dengan kebangkitan masyarakat Eropah yang tidak senang dengan pemerintahan golongan gereja Katolik yang menindas, mengongkong dan menzalimi rakyat yang inginkan perubahan. Golongan gereja tidak menerima sebarang bentuk perubahan kecuali suatu idea dan kehendak yang muncul daripada golongan gereja sendiri. Akibatnya, muncul aliran baru dalam agama kristian iaitu Protestan. Sementara itu, para pemikir dan pemimpin revolusi muncul dengan slogan baru yang berbunyi Give it to Ceaser what it is and give it to God what everythings belongs to God. Penafian hak gereja dalam seluruh sistem pemerintahan bermula apabila gereja diketepikan dan dianggap sebagai hak peribadi dan bukan lagi hak masyarakat dan negara.
Pergerakan para pemikir bertitik tolak dari fenomena ini yang membentuk satu corak baru dalam masyarakat Barat iaitu kehidupan berasaskan kepada alam nyata yang ada di dunia. Corak ini termaksud dalam istilah sekularisma. Sekularisma menjadi titik tolak kepada zaman peralihan di barat daripada zaman gelap kepada zaman Renaissance. Zaman Renaissance yang bererti zaman “menghidupkan kembali Tamadun Yunani” menunjukkan pembinaan masyarakat baru Barat adalah berasaskan sejarah Tamadun Yunani yang berlandaskan logik akal.
Pengaliran Tamadun Islam ke Eropah sejak abad ke-9 hingga abad ke-12 M menjadi faktor utama pembukaan minda masyarakat Barat yang datang ke Sepanyol dan Pulau Sicily yang berada di bawah kekuasaan Tamadun Islam di Eropah. Mereka datang untuk menimba ilmu pengetahuan yang dipelopori oleh para sarjana Islam. Kesedaran yang timbul telah mencetuskan “Zaman Peralihan” dan kemudiannya Zaman Renaissance di Barat. Zaman ini telah menyebabkan pemikiran masyarakat terbuka luas dan secara tidak langsung menimbulkan permusuhan terhadap gereja yang berakhir dengan kejatuhan golongan gereja.
Gerakan Renaissance di Barat atau dikenal juga gerakan pencerahan selepas melalui zaman kegelapan hakikatnya adalah suatu gerakan untuk melepas diri dari unsur-unsur kerohanian dan cengkaman pihak gereja kerana ajarannya tidak lagi mampu menangani dan menyelesaikan masalah masyarakat, terutama dalam soal-soal hidup seharian dan perkembangan ilmu pengetahuan termasuk penyelidikan sains dan teknologi. Akhirnya lahir fahaman sekular yang memisahkan urusan kehidupan harian dengan persoalan agama. Asas masyarakat baru ini adalah pemikiran materialistik, rasionalistik dan fizikal masyarakat Yunani dan Romawi purba.
Sejurus berlakunya Renaissance, muncul Revolusi Perindustrian di Perancis yang membangkitkan pemikiran masyarakat Barat untuk maju dalam bidang sains dan teknologi. Penciptaan demi penciptaan telah diterokai oleh saintis Barat. Antaranya, teknologi perindustrian, kereta, kapalterbang, telefon dan lain-lain. Kilang-kilang yang menggerakkan perindustrian tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Keadaan ini menyebabkan masyarakat mula mengagungkan sains moden barat. Pengetahuan dalam sains dan teknologi memberi jawapan kepada segala permasalahan dunia yang sebelum zaman ini hanya disandarkan kepada gereja. Kejayaan menjawab segala masalah ini mendorong ke arah pemikiran yang lebih ke hadapan yang akhirnya saintis Barat berjaya mencipta roket untuk membawa angkasawan mereka menjelajah angkasa lepas dan akhirnya mendarat di bulan.
1.5.2 Perbezaan Tamadun dan Tamadun Islam
Latarbelakang di atas membuktikan terdapat perbezaan yang jelas antara Tamadun Barat dan Tamadun Islam yang bertitik tolak dari perbezaan latar belakang kemunculan tamadun dan asas yang menggerakkan dua tamadun penting dunia. Antara perbezaan tersebut adalah seperti berikut :
Tamadun Islam
Tamadun Barat
Asas:
Berasaskan tauhid yang tegak pada aqidah, syariah dan akhlak. Aqidah ialah keyakinan kepada Allah dan lain-nya yang terangkum dalam Rukun Iman. Syariah ialah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah yang meliputi segala aspek kedihupan, seperti politik, undang-undang, ekonomi, pendidikan dan sosial. Akhlak pula ialah perlakuan yang berasaskan kepada akhlak Rasulullah SAW.
Berasaskan logik, panca indera dan materialisme. Logik bersumber kepada akal manusia. Pancaindera manusia yang lima memberi maklumat kepada akal untuk ditafsirkan. Materialisma merupakan kesan pemikiran yang berjaya menghasilkan sesuatu dalam bentuk barang atau benda.
Sumber asasi:
Mutlak kerana ia bersumber wahyu dari Allah yang disampaikan kepada manusia pilihan lagi maksum yang akan menerima utusan-Nya, iaitu Nabi Muhammad SAW.
Wahyu dari Allah dikenal sebagai al-Qur’an yang kemudiannya ditulis dan dikumpulkan dalam satu naskhah. Sumber ini telah ditafsirkan oleh Rasulullah untuk direalitikan dalam kehidupan masyarakat manusia.
Pemikiran manusia semata-mata yang sentiasa berubah-ubah, tanpa kepercayaan kepada agama dan kuasa ghaib
Cendikiawan dan intelektual memainkan peranan yang besar. Ini melahirkan ramai tokoh pemikir Barat seperti Herbert Spencer, Karl Marx, C. Darwin, Isacc Newton dan lain-lain.
Matlamat:
Keampunan dan keredaan Allah di samping kebahagiaan dunia dan akhirat.
Keseronokan hidup dunia semata-mata dan kepuasan segelintir manusia.
Kedudukan agama:
Islam satu cara hidup yang menyeliputi segala aspek kehidupan.
Pembaharuan dalam Islam berlaku berdasarkan agama dan bukan agama mengikut perubahan. Walaupun begitu Islam berprisip tetap dan fleksibel dan tidak rigid.
Agama sebahagian daripada kebudayaan dan tertakluk kepada kebudayaan. Kebudayaan sentiasa mengalami perubahan dan agama juga dicorak oleh perubahan dan pembaharuan.
Konsep kemajuan:
Islam menekankan kedua-dua aspek kerohanian dan kebendaan. Kerohanian dicapai melalui pengamalan perintah Allah sementara kebendaan di capai melalui penggunaan akal yang berteraskan kepada Firman Allah.
Kemajuan dalam Islam bersifat lengkap. Pembangunan dan kemajuan adalah alat dan matlamat pembangunan dalam Islam adalah manusia. Islam menolak konsep matlamat menghalalkan cara.
Tamadun Barat melihat perkara-perkara keduniaan hanya kehidupan dunia semata-mata. Segala urusan tidak ada kaitan dengan agama.
Tamadun ini juga menitikberatkan aspek kebendaan dengan mengenepikan aspek kerohanian. Oleh itu, ia mengabaikan aspek kemajuan dari sudut kerohaniaan atau spiritual. Kemajuan berdasarkan keuntungan semata-mata dan berpegang kepada konsep “matlamat menghalalkan cara”.
Ringkasnya, kejayaan renaissance di Eropah telah menyebabkan berkembangnya fahaman sekular secara meluas. Masyarakat Eropah melakukan perubahan dalam kehidupan dengan berasaskan fahaman ini. Akhirnya fahaman ini telah mendominasi pemikiran dan kehidupan Barat. Fahaman Barat yang berteraskan sekularisme telah melahirkan pelbagai ideologi di Barat seperti Modenisme, Rasionalisme, Liberialisme, Kapitalisme, Pragmatisme, Kolonialisme dan Materialisme. Ideologi ini begitu berkembang dalam pelbagai aspek kehidupan mereka terutamanya ekonomi, politik dan sosial.
1.6 JATUH BANGUN TAMADUN DARI PERSPEKTIF ISLAM
Islam menganggap tamadun bertitik tolak dari ajaran agama. Demikian juga kelahiran sesebuah tamadun berpunca daripada Islam sebagai agama yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Islam telah memberi sinar kepada masyarakat untuk menyempurnakan tamadun yang dibina. Tidak dinafikan semasa perutusan Rasulullah SAW, masyarakat Arab sudah mencapai beberapa kemajuan. Justeru, kedatangan Islam telah memisahkan masyarakat Arab daripada amalan jahiliah kepada amalan bijaksana berlandaskan Islam. Pengabaian nilai-nilai agama, intelektual dan ketiadaan pimpinan yang berwibawa menjadi tanda awal dan mempercepatkan keruntuhan sesebuah tamadun yang dibina, walaupun bangunan kukuh yang didirikan masih tersergam indah. Hal ini terjadi kerana pembangunan fizikal semata-mata yang bersifat material tidak dapat menjamin keabadian sesebuah tamadun.
1.6.1 Keagamaan
Faktor agama yang bertunjang kepada tauhid merupakan aspek teras dalam pembinaan Tamadun Islam. Dalam usaha membina sebuah masyarakat bertamadun melalui penyampaian dakwah, Rasulullah S.A.W. menekankan aspek iman, Islam dan ihsan serta mempraktikkan unsur ini dalam kehidupan masyarakat Islam.
Sebagai pemimpin yang berwawasan dan berjiwa besar baginda telah berjaya membina satu generasi yang memiliki iman yang kental dan sanggup berjuang berhabis-habisan demi mempertahankan Islam. Generasi ini tidak gentar dengan sebarang kemungkinan, hanya mengharapkan mati syahid apabila berada di medan juang. Walaupun jumlah mereka kecil berbanding pihak lawan. Ketinggian nilai-nilai keimanan telah memberi kesan besar pada kejayaan pembinaan Tamadun Islam yang berpusat di kota Madinah. Kota Makkah juga dapat dikuasai sepenuhnya dan dibersihkan dari unsur-unsur tamadun yang bercanggah dengan Islam.
Dalam pembinaan tamadun, Islam memaparkan kisah-kisah sejarah silam sebagai iktibar. Kesemua kisah yang diulang kembali oleh al-Qur’an memaparkan kesan buruk dan kemusnahan tamadun akibat sesebuah masyarakat cuba menyalahi landasan agama tauhid yang telah disampaikan kepada mereka. Selain ini mereka juga mengingkari ajaran yang disampaikan oleh para nabi. Sebagai contohnya, ketinggian tamadun yang didirikan oleh Firaun, kaum ‘Ad dan kaum Thamud telah mengalami kehancuran kerana keingkaran kepada Allah Yang Maha Esa.
1.6.2 Nilai-nilai akhlak
Ketinggian nilai-nilai akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW merupakan kunci kejayaan dalam pembentukan Tamadun Islam. Prinsip dan nilai murni yang dipaparkan dalam kepimpinan Rasulullah SAW dapat menjadi pedoman kepada generasi berikutnya untuk membina satu tamadun bangsa yang gemilang.
Akhlak memainkan peranan yang sama penting dalam pembinaan dan keutuhan sesebuah tamadun. Apabila nilai-nilai akhlak diabaikan, tamadun sesuatu bangsa akan menemui kehancuran sebagaimana yang berlaku ke atas umat Nabi Luth. Dengan penuh gaya mencabar kaum Nabi Luth, memomokkan kenabian Nabi Luth dan memaparkan akhlak buruk yang menyalahi tabie manusia.
1.6.3 Politik dan pemerintahan
Politik dan pemerintahan turut memainkan peranan yang penting dalam menentukan bangun jatuh sesebuah kerajaan dan ketamadunan sesuatu bangsa. Politik yang stabil dan kepimpinan yang berwibawa akan dapat mengekalkan sesebuah tamadun. Sebaliknya, kepincangan dan kelemahan kepimpinan akan mempercepatkan berakhir sesebuah kerajaan yang dibina oleh tamadun sesebuah bangsa.
Sejarah membuktikan bahawa kepimpinan yang berdaya maju, pemerintahan yang adil dan perpaduan dalam politik telah meninggikan tamadun sesuatu bangsa. Sebaliknya, apabila pemimpin mementingkan diri sendiri, berfoya-foya, melakukan penyelewengan, rasuah berleluasa di kalangan para pegawai kerajaan, keruntuhan akhlak dan moral akan melemahkan pemerintahan dan benteng pertahanan negara mudah dimusnah.
Pembentukan Kerajaan Islam Madinah menjadi bukti bahawa Islam dapat dipraktikkan secara menyeluruh dalam kehidupan harian. Tamadun Islam yang dibina oleh Rasulullah S.A.W. di Madinah menjadi titik tolak kepada pembinaan tamadun Islam seterusnya.
Para khalifah Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah berjaya membina tamadun Islam dengan wujudnya pelbagai bidang kemajuan. Kemajuan yang dapat dicapai dalam pelbagai bidang terutamanya bidang keilmuan adalah hasil daripada usaha pemimpin yang amat berwibawa. Khalifah Harun al-Rashid dan al-Makmun adalah antara pemerintah Abbasiyyah yang sangat menekankan aspek keilmuan. Sumbangan mereka yang terpenting ialah pembentukan Baitul Hikmah, yang merupakan sebuah perpustakaan besar. Kegiatan keilmuan yang aktif di Baitul Hikmah telah menghidupkan peranan perpustakaan. Ini merupakan mutiara yang amat bernilai dalam sejarah tamadun Islam. Demikian juga, gandingan mantap Sultan Mansor Syah dan Bendahara Tun Perak dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka telah menjadikan Melaka sebagai pusat Tamadun Islam di Asia Tenggara yang terunggul.
Sejarah juga memaparkan bahawa keadaan politik yang kacau bilau, kelemahan pentadbiran, pergolakan dalaman menjadi faktor keruntuhan sesebuah kerajaan. Suasana ini dapat dilihat pada kejatuhan Kerajaan Bani Umayah, Kesultanan Melayu Melaka, kerajaan-kerajaan Islam di Andalus dan Kerajaan Uthmaniyah di Turki. Pergolakan dalaman dan kelemahan pemerintahan menyebabkan tamadun yang dibina penuh gemilang menemui titik penamat.
1.6.4 Sosial
Kestabilan sosial antara individu dan masyarakat dengan berteraskan ilmu, kemajuan dan minda yang mempunyai gagasan boleh meningkatkan martabat bangsa dan meninggikan tamadun yang dibina. Hal inilah yang dapat kita saksikan semasa pemerintahan awal Islam, terutamanya di zaman Rasulullah S.A.W. Walaupun kuantiti umat Islam kecil berbanding dengan orang bukan Islam, namun mereka mampu membina masyarakat yang berkualiti. Gambaran masyarakat sebegini dapat dilihat pada komuniti Muhajirin dan Ansar yang berpusat di Madinah. Pembinaan Tamadun Islam yang ditunjangi oleh sosial secara harmoni antara dua kelompok ini mampu mengembangkan tamadun ke seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, malah terus berkembang ke seluruh dunia timur dan barat.
Sebaliknya, sistem sosial yang longgar kerana kerapuhan jatidiri sehingga masyarakat dibuai dengan kelekaan kerana kemewahan dan gemar kepada hiburan yang berlebihan dan bebas (budaya hedonistik) mengundang keruntuhan sosial dan memberi pengaruh besar kepada keruntuhan sesebuah tamadun.
1.6.5 Ekonomi
Faktor ekonomi juga adalah antara faktor yang membantu mengembangkan lagi sesebuah tamadun. Sejarah membuktikan masyarakat yang bertamadun tinggi mengamalkan ekonomi perdagangan, pertanian, penternakan bertaraf antara bangsa, walaupun mereka bermula dari kegiatan ekonomi sara diri.
Sebagai contoh, masyarakat Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka berjaya membina satu pusat perdagangan bertaraf antara bangsa di Pelabuhan Melaka. Pelabuhan ini berjaya menjadi pusat persinggahan para pedagang Arab, India, Cina dan bangsa Eropah. Walaupun kemudiannya, kegiatan perdagangan import eksport yang rancak di Pelabuhan Melaka telah beralih ke Singapura setelah keutuhan Tamadun Melayu Melaka mengalami keretakan.
1.6.6 Penguasaan bidang keilmuan
Penguasaan pelbagai bidang ilmu-ilmu dan kemunculan sains dan teknologi memantapkan lagi pembinaan dan penerusan sesebuah tamadun. Kelahiran para sarjana dan kepelbagain kegiatan keilmuan mendorong ke arah pembinaan pusat-pusat intelektual. Lembaran sejarah mencatatkan Baghdad, Andalus, Melaka dan Patani adalah antara pusat intelektual yang terkenal.
Apabila penguasaan politik sesebuah kerajaan mula runtuh, pusat-pusat intelektual yang diwujud pada sesebuah kerajaan tidak akan runtuh, tetapi sebaliknya ia akan berpindah ke wilayah lain yang aman. Sejajar itu juga terbina pula kerajaan baru ditempat perletakan pusat intelaktual yang dipindahkan. Sejarah di Alam Melayu dapat disaksikan sebagai contoh. Apabila peranan Melaka sebagai pusat intelektual telah berakhir, maka peranan ini telah diambil alih oleh Kerajaan Acheh Darussalam.
Demikian juga dengan penguasaan bidang sains dan teknologi. Situasi masa kini menunjukkan bidang ini amat penting dalam penerusan tamadun bangsa. Perkembangan dewasa kini membuktikan penguasaan Barat terhadap tamadun dunia ialah kerana kemajuan yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi.
BAB 2
INTERAKSI ANTARA TAMADUN
2.0 Pendahuluan
Manusia merupakan pembangun sesebuah tamadun, sesuai dengan hakikat kejadiannya sebagai al-insan madaniyyun lil tab’iyy. Oleh itu, tamadun mempunyai ciri-ciri dan nilai-nilai sejagat sesuai dengan fitrah dan keperluan asas kehidupan manusia. Manusia sudah difitrahkan hidup dengan mempunyai pegangan dan kepercayaan. Namun kepercayaan antara kelompok manusia adalah berbeza. Perbezaan wujud pada sudut fahaman dan anutan serta cara melahirkan ketundukan dan kepatuhan, kesan dari latar belakang, persekitaran dan pengalaman hidup yang berbeza. Perbezaan ini merangkumi persoalan falsafah dan konsep sesuatu pegangan dan kepercayaan. Dalam konteks Malaysia, perbezaan tetap wujud walaupun etnik yang berbeza ini sama-sama berada dalam satu unit politik yang sama. Persamaan ini pula merujuk kepada persamaan persoalan pokok, iaitu mempunyai pegangan dan kepercayaan serta amalan-amalan dari sesuatu kepercayaan. Contoh persamaan yang jelas ialah kepercayaan dan pegangan keseluruhan Tamadun Asia kepada kuasa ghaib. Kuasa ini memberi kesan kepada kehidupan manusia di alam nyata seperti sihat, sakit, aman, malapetaka, miskin dan kaya. Namun antara setiap tamadun mempunyai tafsiran dan kepercayaan masing-masing terhadap kuasa ghaib. Kuasa ghaib ini di katogerikan kepada dua tanggapan, iaitu kuasa ghaib yang terasing dan tidak sama dengan alam dan kuasa ghaib yang berada di alam. Dalam perbincangan teologi, hal ini dikenali dengan kuasa yang trancendent (tanzih). Tanggapan kedua terhadap kuasa ghaib ini adalah immanent (tashbih).
Melalui perbezaan dan persamaan ini, negara-negara di Asia telah berjaya mewujudkan interaksi antara pelbagai tamadun yang berjiran sejak beberapa dekad silam dan terbukti dapat terjalin secara harmonis. Sebagai contohnya, interaksi antara Tamadun Cina dan Islam terjalin melalui Laluan Sutera dan Tamadun India dengan Alam Melayu melalui laluan lautan Hindi. Antara tamadun-tamadun ini tidak wujud satu pertembungan yang bersifat konflik seperti yang diistilah oleh S. Huntington sebagai Clash of civilization. Satu ciri sepunya yang dikongsi bersama dan berfungsi membangun tamadun-tamadun besar Asia ialah kerana dasar pembinaannya berteras kepada nilai keagamaan dan etika. Sebaliknya, pasti berlaku konflik lantaran perbezaan nilai yang ketara antara dua tamadun seperti pertembungan tamadun moden yang jelas didominasi oleh Tamadun Barat dengan Tamadun Timur yang berteras nilai tradisional. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa selepas kedatangan penjajah Barat ke beberapa negara di Asia sejak abad ke 16 masihi telah mencetuskan rangkaian konflik hingga masa kini.
Kerencaman tamadun dan budaya di Asia walaupun pernah tercalar oleh beberapa konflik dalaman seperti konflik antara agama dan etnik di India, Sri Langka dan lain-lain wilayah, tidak bererti perbezaan lebih dominan berbanding persamaan yang wujud antara tamadun-tamadun ini. Sejarah ketamadunan Asia telah membuktikan wujud interaksi antara tamadun yang membawa kepada perkongsian ilmu dan teknologi, pertukaran nilai dan budaya serta perpaduan peringkat nasional.
Dalam sejarah Malaysia, Perlembagaan Malaysia menjadi sumber rujukan dan bukti utama wujudnya interaksi antara tamadun. Selain itu, kedudukan Malaysia di tengah-tengah laluan perdagangan dan kebudayaan Asia telah mendedahkan negara ini kepada pelbagai pengaruh yang tercerna hasil interaksi dengan tamadun-tamadun berhampiran. Justru itu, pengaruh Tamadun Islam, China, India dan juga tamadun pribumi jelas ketara dan memberi kesan besar kepada nilai dan budaya masyarakat Malaysia, tanpa menafikan hak ketuanan Melayu sebagai bangsa peribumi dan bangsa yang menunjang ke arah pembinaan dan perkembanagn tamadun negara ini.
2.1 INTERAKSI ANTARA TAMADUN
2.1.1 Kepimpinan
Faktor ini merupakan faktor terpenting yang mempengaruhi interaksi antara tamadun di Asia. Ini kerana seandainya pemimpin atau raja bersikap adil dan toleran, maka interaksi akan berlaku dalam aman dan damai. Fenomena sebaliknya akan berlaku seandainya pemimpin bersikap kuku besi dan tidak bersikap toleransi kepada rakyat jelata. Sejarah telah membuktikan dua sikap berbeza di kalangan para pemimpin seperti contoh di bawah:
* Nabi Muhammad SAW: Tidak menyekat orang Yahudi dan Kristian dalam pemerintahan Madinah, sebaliknya hak mereka dilindungi undang-undang.
* Kerajaan Islam Ghaznawi, Delhi dan Moghul di India: Bertoleransi kepada penganut Hindu malah pegawai dilantik dari kalangan mereka.
Terdapat juga contoh pemimpin yang tidak bertoleransi seperti yang dapat dilihat pada Sultan Shamsuddin Altamish di India yang bertindak keras terhadap penganut Hindu. Demikian juga dengan Han Wu Ti dalam Dinasti Han telah melaksanakan dasar memihak kepada cendikiawan Konfusianisme berbanding sami Buddha.
2.1.2 Sikap Golongan Agama
Faktor ini menjadi tunggak kepada kelangsungan hidup beragama secara harmoni. Golongan ini wujud dalam setiap masyarakat beragama tamadun Asia. Golongan agama dalam Tamadun Islam dimiliki oleh para ulama. Tamadun India yang berteras kepada agama Hindu disandang oleh minoriti kasta Brahmin. Golongan agama dalam kepercayaan Buddha pula didokong oleh sami. Golongan agama dalam fahaman Krisitian pula dikuasai oleh paderi.
Kesemua golongan agama berusaha mewujudkan suasana harmoni dan memberi penekanan sifat keinsanan. Sebagai contohnya, sikap dan akhlak mulia yang dipamerkan ulama Islam di Alam Melayu memudahkan berlakunya interaksi dan Islamisasi. Mereka telah berjaya memberi tasawwur Islam (pandangan Islam) yang sebenar kepada penduduk Alam Melayu. Mereka juga telah membentuk pendidikan formal dengan mendirikan beberapa institusi yang dikenali dengan pelbagai nama seperti pondok, pesantren, madrasah dan dayah (Acheh). Hasilnya, muncul ramai ulama di rantau Alam Melayu seperti Hamzah Fansuri, Abdul Rauf al-Singkeli dan lain-lain.
Walaupun ada sikap sesetengah golongan agama yang mencetuskan konflik namun tragedi ini tidak mengguris sedikit pun martabat agama dalam pemikiran masyarakat Asia. Agama dan golongan penguasanya tetap berada pada kedudukan yang tinggi. Antara contoh sikap golongan agama yang mencetuskan konflik seperti tindakan Paus Urban II sama ada mengadakan perjumpaan besar-besaran dengan penganut Kristian di Perancis pada tahun 1095 M. Beliau menyeru penganut Kristian supaya memerangi orang Islam yang dikatakan bertindak zalim pada penganut Kristian. Demikian juga sikap seorang pemerintahan Dinasti Han yang menangkap dan memenjarakan segolongan sami dan penganut Buddha. Kedua-dua tindakan pemimpin ini telah mencetuskan konflik dalam masyarakat.
2.1.3 Kedudukan Geografi
Kedudukan geografi melibatkan bentuk muka bumi dan kemudahan perhubungan dalam sesebuah masyarakat bertamadun. Sejarah membuktikan kedudukan geografi memainkan peranan sebagai pembentuk interaksi antara tamadun. Contoh berikut memperlihatkan peranan geografi:
i. Cina: Interaksi antara tamadun asing pesat berlaku kerana terdapat 2 laluan iaitu laluan sutera yang menggunakan jalan darat dan jalan laut. Laluan perhubungan ini telah menyebabkan Cina mampu menjalin interaksi dengan negara Arab sejak tahun 3 Masihi lagi. Laluan sutera darat ini telah menghubungkan Cina dengan Khurasan, Samarqand, Xinjiang hingga ke Peking. Laluan laut pula merentasi Laut Arab ke Benua Kecil India, Kepulauan Melayu hingga ke Canton di tenggara Cina. Laluan ini membolehkan kedua negara ini berinteraksi dan menjalankan aktiviti perdagangan. Terdapat catatan mengatakan kapal-kapal Cina telah pun sampai di Teluk Parsi dan berdagang di Pelabuhan Siraf pada 5 Masihi.
ii. Pelabuhan Melaka – Kedudukan geografi yang strategik dan terlindung dari angin monsun menjadikan pelabuhan ini tempat tumpuan dan persinggahan para pedagang. Semasa singgah di pelabuhan ini para pedagang telah menjalankan aktiviti perniagaan di pelabuhan Melaka.
2.1.4 Perkahwinan
Perkahwinan juga memainkan peranan penting dalam pembentukan interaksi antara tamadun Asia. Contoh yang jelas dapat dilihat pada lembaran sejarah dan salasilah masyarakat di rantau Alam Melayu. Penduduk tempatan telah menjalinkan interaksi dengan pedagang Arab sahingga terdapat sebilangan pedagang yang telah berkahwin dengan gadis tempatan kerana telah bermukim di pelabuhan Alam Melayu dalam beberapa waktu sementara menunggu angin monsun. Secara tidak langsung perkembangan ini telah menjurus ke arah proses Islamisasi kerana bagi membolehkan wanita tempatan berkahwin dengan pedagang Arab yang beragama Islam, wanita tersebut mesti diislamkan terlebih dahulu. Sejarah turut mencatatkan, perkahwinan ini tidak sahaja mengislamkan gadis tempatan yang dikahwini pedagang Arab, tetapi kaum keluarga gadis turut menerima Islam. Selain itu, perkahwinan bukan sahaja berlaku di kalangan rakyat jelata, malah juga berlaku di kalangan golongan bangsawan dan pemerintah. Sebagai contohnya, perkahwinan Megat Iskandar Shah dengan Puteri Pasai.
2.1.5 Perdagangan
Aktiviti perdagangan turut menjadi faktor penjalin interaksi antara tamadun. Sebagai contohnya hubungan perdagangan yang berlaku antara Arab dan Cina melalui jalan darat dan laut. Hubungan telah terjalin sejak 3 Masihi lagi dan semakin rancak pada abad 8 Masihi. Pedagang Arab dan Parsi telah membuat penempatan seperti di Kwang Cho (Canton), Chang Chow dan Chuan Cow. Mereka juga telah mendirikan masjid di Guangzhou dan Guanzhou. Situasi ini membuktikan berlaku Islamisasi di wilayah ini.
Contoh lain ialah interaksi yang terjalin antara tamadun Alam Melayu di Asia Tenggara dengan negara Arab. Jalinan ini berlaku secara tidak langsung apabila pedagang Arab yang menuju ke Cina terpaksa singgah ke Alam Melayu untuk menunggu angin yang sesuai sebelum ke Cina atau pulang ke Arab. Persinggahan ini telah menghasilkan interaksi baru di rantau Alam Melayu. Hal yang lebih menguntungkan ialah berlakunya proses Islamisasi di pelabuhan ini sebagaimana catatan Marco Polo tentang pengislaman Perlak pada tahun 1292 M. Para pedagang telah berjaya menarik minat penduduk Perlak terhadap Islam dan akhirnya mereka bersediaanutan baru ini. Kejayaan para pedagang yang boleh dikatakan sebagai “serampang dua mata” banyak bergantung kepada keyakinan mereka kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "Sampaikan dariku walaupun satu ayat." Selain itu, wujud juga interaksi antara Tamadun India dengan rantau Alam Melayu sejak kurun pertama masihi lagi. Kesan interaksi ini menyebabkan nama wilayah Asia Tenggara dicatat dalam kitab Ramayana seperti isrilah Suvarnadvipa yang bermaksud “Semenanjung Emas” dan Suvarnabhumi yang bermaksud “Bumi Emas”.
2.1.6 Misi Politik
Faktor misi politik turut menggalakkan berlakunya interaksi dalam suasana harmoni sebagaimana yang dapat dilihat pada hubungan diplomatik antara Alam Melayu dengan Cina. Berdasarkan catatan sejarah Melaka hubungan diplomatik dengan Cina telah terjalin sejak tahun 1404 M. Pada tahun-tahun berikutnya, Melaka telah menerima beberapa utusan dari Cina yang kemudiannya Melaka telah membalas utusan tersebut. Tujuan Melaka mengadakan hubungan baik dengan Cina adalah untuk mendapat perlindungan dari ancaman Siam. Persetujuan Cina terbukti dengan penghantaran Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam ke Melaka. Dasar perlindungan Cina terhadap negeri-negeri di rantau Alam Melayu yang bertujuan politik secara tidak langsung menggalakkan Islamisasi di rantau Alam Melayu. Perlindungan ini juga memberikan impak yang sama kepada negeri-negeri di Kepulauan Melayu yang lain seperti Kedah, Johor, Kampar dan sebagainya.
2.2 PERSAMAAN DAN PERBEZAAN
Di antara persamaan dan perbezaan antara tamadun adalah merangkumi aspek-aspek berikut:
2.2.1 Teologi/ketuhanan dan kerohanian
Semua tamadun menekankan konsep ketuhanan dan mempunyai dokrin serta amalan-amalan tertentu sama ada berbentuk spiritual mahupun ritual. Begitu juga dari sudut kepercayaan lain seperti kehidupan selepas mati, kepercayaan terhadap pembalasan perbuatan manusia di dunia dan lain-lain yang bersangkutan dengan perbuatan manusia. Perbezaan yang ketara berpunca daripada manifestasi ketuhanan yang ada pada setiap agama.
Konsep ketuhanan dalam tamadun Islam adalah tauhid. Konsep tauhid dalam Islam berbeza dengan manoteisme dalam agama Kristian dan Hindu. Tauhid menekankan kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa. Syirik adalah lawan kepada kepercayaan Tauhid dan ditolak oleh Islam. Dalam tamadun Islam, hak kebebasan beragama adalah terpelihara seperti tercatat dalam Perlembagaan Madinah. Perkhabaran ini disampaikan terus dari Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Katakanlah: Dialah Allah Yang Esa. Allah tempat bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada satupun yang setanding dengan-Nya.”
(al-Ikhlas: 1-3)
Pada peringkat awal, agama Kristian merupakan agama samawi yang mempercayai Tuhan yang Esa (tauhid). Namun ia telah dipengaruhi oleh unsur-unsur khurafat dan pemujaan kepada Isa al-Masih apabila Paul menganut Kristian pada tahun 38 M. Sebelum menerima agama Kristian, beliau merupakan penentang kuat agama dan penganut Kristian (An-Nadawy, 1984:32). Ini merupakan titik peralihan dalam pengajaran agama Kristian (Ahmad Shalaby, 1978: 67) Hal ini dirakamkan dalam Bible atau al-Kitab1, bab kisah para rasul 9: 19b-20:
”Ketika itu juga ia memberitakan Jesus di rumah-rumah ibadat, dan mengatakan bahawa Jesus adalah anak Allah.”
Sehubungan itu, muncul fahaman baru dalam ajaran Kristian. Kepercayaan monoteisme dalam agama Kristian telah diubahsuai berasaskan kepada Trinity atau Tri-Tunggal yang terdiri daripada tiga oknum iaitu Tuhan anak, Tuhan bapa dan Roh al-Kudus (Ahmad Shalaby, 1978: 82-83) yang bersatu menjadi satu. Inilah yang dikatakan ”Tiga dalam satu dan satu dalam tiga.”
Demikian juga teologi agama Hindu. Moniteisme dalam agama Hindu berasaskan kepada Trimurti iaitu menempatkan tiga dewa yang menjadi sembahan mereka, (A. Rahman Abdullah, 1989:25) iaitu:
1. Brahma - Dewa pencipta sebagai sumber kepada semua kewujudan.
2. Vishnu - Dewa pemelihara.
3. Siva - Dewa pemusnah
Pada asasnya, penganut Hindu mempercayai kewujudan satu Tuhan yang agung iaitu Brahma (M. Arif Kasmo, 1999). Namun penyembahan terhadap Tuhan Yang Satu tidak dapat dipertahankan kerana agama Hindu membolehkan Tuhan digambarkan dalam pelbagai bentuk dan penjelmaan dewa sehingga melahirkan pelbagai bentuk patung sembahan. Malah ada yang berpendapat konsep ketuhanan dalam agama Hindu adalah bersifat Politeisme.
Konsep hidup selepas mati dalam Islam merupakan sebahagian daripada kepercayaan terhadap hari akhirat. Manusia akan diadili dan diperlihatkan segala amal semasa di dunia. Allah berfirman yang bermaksud:
”Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah pun nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.”
(al-Zalzalah: 7-8)
Pada masa ini segala perbuatan manusia yang baik akan dibalas baik seperti menikmati kehidupan syurga. Manakala yang durhaka kepada Allah SWT akan dibalas dengan keburukan seperti kesengsaraan hidup di neraka. Allah berfirman yang bermaksud:
”Sesungguhnya orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepad Tuhannya.”
(al-Bayyinah: 6 - 8).
Doktrin karma yang merupakan doktrin asas dalam agama Hindu mempunyai persamaan dengan doktrin karma dalam agama Buddha yang berkaitan rapat dengan konsep re-inkarnasi (kelahiran semula atau penjelmaan semula). Karma merupakan konsep pembalasan setimpal terhadap usaha dan perlakuan manusia ”yang baik dibalas baik, yang jahat akan menerima balasan buruk” (Azhar Mat Aros dll, 2000:63). Inilah yang disebut sebagai hukum karma dalam masyarakat Melayu.
Terdapat perbezaan dalam konsep re-inkarnasi dalam agama Hindu dan Buddha. Konsep re-inkarnasi dalam agama Hindu membawa maksud seseorang itu akan menjelma semula selepas kematiannya dalam bentuk manusia. Konsep ini berasal dari penjelmaan semula dewa-dewa Hindu. Dalam ajaran agama Hindu, kehidupan merupakan kesengsaraan dan kelahiran semula yang berulang-ulang mengundang kesengsaraan selagi mereka tidak mencapai mokhsya. Kelahiran semula yang berulang-ulang dan terus menerima kesengsaraan dikenali sebagi Samsara. Penganut Hindu mengharap terlepas dari rantaian reinkarnasi dengan mencapai tahap mokhsa (M. Arif Kasmo, 1999).
Peringkat pertama ajaran Buddha berpusat kepada ajaran untuk melenyapkan karma, memutuskan lingkaran Samsara dan seterusnya mencapai Nirwana. Cara untuk mencapai pembebasan mutlak dari lingkaran Samsara terdapat pada doktrin Aryasatyani yang disebut sebagai Empat Kebenaran Utama (A. Rahman Abdullah: 23), iaitu:
* Hidup adalah penderitaan.
* Penderitaan disebabkan keinginan memenuhi keperluan dunia.
* Penderitaan dapat dihapuskan dengan menindas hasrat atau kehendak.
* Cara menyingkirkan hasrat adalah melalui Astamarga atau Jalan Lapan Lapis.
Dalam aspek perbuatan manusia yang mengaitkan dosa dan pahala, Islam meletakkan konsep taubat kepada Allah SWT sebagai jalan pengampunan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan dengan syarat-syarat tertentu. Manakala dalam agama Kristian pengampunan boleh didapati dengan jalan membuat pengakuan dihadapan seorang padri di gereja.
Dalam konteks Malaysia, hak-hak kebebasan beragama telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 11 (1) yang menyebutkan seperti berikut:
”Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) untuk mengembangkan agamanya.”
Sehubungan itu, untuk mewujudkan suasana bersatu padu walaupun rakyatnya terdiri dari pelbagai kaum dan kepercayaan, Malaysia wajar menetapkan Rukun Negara 1 (Kepercayaan kepada Tuhan) kerana kewujudan Tuhan diakui oleh semua agama.
2.2.2 Undang-undang atau peraturan hidup bermasyarakat
Undang-undang merujuk kepada peraturan-peraturan hidup yang wujud dalam masyarakat, sama ada secara lisan mahupun secara bertulis. Undang-undang ini dihormati dan dipatuhi oleh setiap ahli dalam masyarakat. Semua tamadun mempunyai undang-undang dan peraturan dan perbezaannya hanyalah dari segi sumber, penguatkuasaan dan beberapa persoalan pokok lain.
Tamadun Islam mempunyai sumber asas yang hakiki iaitu bersumberkan wahyu dalam bentuk al Quran dan al Sunnah. Sifatnya yang kekal, memiliki kekuatan dan ketahanan dalam menempuh tentangan zaman. Di samping sumber ijtihad para cendikiawan muslim, terdapat sumber lain yang diperakui daripada tamadun terdahulu yang menepati sifat keterbukaan tamadun Islam.
Dalam konteks hidup bermasyarakat, Islam menggalakkan hidup saling kenal mengenal antara satu sama lain seperti yang termaktub dalam pengertian surah al-Hujurat: 13 yang bermaksud :
” Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya).”
Malah diskriminasi adalah merupakan satu jenayah. Di bawah konsep hidup bersama dan saling mengenali ini lahir dasar-dasar lain seperti kebebasan beragama, hak keselamatan, keadilan dan perundangan yang semuanya dijamin oleh pemerintah. Inilah yang diamalkan oleh negara Islam Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW dan prinsip ini kekal hingga ke hari kiamat (Idris Zakari, 2003: 29-46).
Manakala sumber undang-undang dan peraturan hidup dalam tamadun lain terletak pada pemikiran para pujangga dan cerdik pandai di kalangan mereka. Contohnya, Tamadun Cina berasaskan kepada falsafah Kung Fu Ze dan Taoisme serta ajaran Gautama Buddha. Pemikiran mereka mengandungi beberapa peraturan, tata cara atau perilaku seseorang dalam kehidupan dan persekitaran. Dalam hal ini, Kung Fu Ze menekankan konsep kesederhanaan atau jalan tengah sebagai dasar panduan bagi perhubungan dan kesusilaan. Dalam masyarakat, kasih sayang ditujukan kepada sekelian manusia.
Dalam Tamadun Melayu, orang Melayu telah mengenal Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka lebih sepuluh abad yang lalu (Undang-Undang Melaka, 2003) seterusnya diikuti oleh undang-undang negeri yang lain. Orang Melayu juga memiliki peraturan hidup bermasyarakat yang disebut sebagai hukum adat atau sistem nilai Melayu (Ali Taib & Hashim Musa, 1978: 84). Hukum adat orang Melayu tidak menyimpang daripada kehendak syara’. Seperti kata perbilangan Melayu:
“Adat bersendi hukum’
Hukum bersendi kitabullah”
Dalam konteks hidup bermasyarakat, orang Melayu masih kental dengan semangat perpaduan dan saling tolong menolong antara satu sama lain. Perasaan persaudaraan dan sikap saling bantu membantu ini tergambar dalam melakukan kerja-kerja berat secara bersama. Bak kata pepatah Melayu:
Serasa sepenanggungan
Ke bukit sama didaki
Ke lurah sama dituruni
Yang berat sama di pikul
Yang ringan sama dijinjing
Hati gajah sama di lapah
Hati kuman sama dicicah
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat
Inilah gambaran kehidupan bermasyarakat di kalangan orang Melayu yang amat sesuai dengan cara hidup Islam seperti yang terakam dalam beberapa surah al Quran di bawah :
Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(al Hujurat : 10)
” Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara”
(ali Imran : 103)
” dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)”.
(al Maidah : 2)
Fenomena ini telah menjadi budaya dalam kehidupan seharian, malah jati diri bangsa Melayu (Hamdan Hassan & Sofian Mohamad, 1978:17-40).
Dalam konteks Malaysia, penggunaan undang-undang syara’ terletak dalam bidang kuasa negeri-negeri yang meletakkan raja sebagai ketua agama seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan. Bagi negeri-negeri yang tidak beraja dan wilayah-wilayah persekutuan kuasa agama terletak di bawah bidang kuasa Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua agama. Ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 (3) dan Undang-Undang Anak Negeri yang masih diamalkan dikalangan masyarakat bumiputera Sabah dan Sarawak. Dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia, walaupun berbilang kaum dan keturunan serta kepercayaan, sikap berbaik-baik dan saling menghormati antara satu sama lain menjadi kunci perpaduan bagi meneruskan tamadun bangsa. Amalan berbudi bahasa dan saling menghormati kini dijadikan slogan Negara, “Berbudi bahasa amalan hidup kita”. Anjuran amalan hidup begini tiada tentangan daripada pelbagai kaum di Malaysia
2.2.3. Etika
Etika merupakan perilaku atau tingkah laku yang baik, disanjung dan diambil berat oleh setiap tamadun Asia. Perbezaan dari sudut sumber dan pandangan sarwa jagat setiap tamadun boleh dilihat pada aspek-aspek berikut:
i. Aspek politik dan Pemerintahan
Kebanyakan tamadun tradisional di dunia menekankan aspek moral dan akhlak sebagai asas politik dan kerajaan. Islam meletakkan politik dan kepimpinan sebagai suatu perkara penting dalam cara hidup Islam atau ad-Din. al-Qur’an dan al-Sunnah merupakan rujukan dalam pemerintahan dan kepimpinan. Prinsip utama yang diberikan penekanan oleh Rasulullah SAW ialah prinsip syura, ‘adalah, musawah dan hurriyah. Oleh itu, pemimpin dilantik dari kalangan individu yang layak dan mampu melaksanakan keadilan dan menunaikan amanah kepimpinan. Amanah ini merupakan tunggak kepada kesejahteraan masyarakat. Sistem syura yang diamalkan membawa keadilan sejagat. Konsep mesyuarat atau syura ini telah diteruskan oleh para khalifah selepas kewafatan Nabi SAW.
Konsep dewaraja telah diamalkan dalam tamadun awal masyarakat Melayu. Raja merupakan manusia suci yang mesti dihormati dan dipatuhi (A. Rahman Abdullah:26-27). Lanjutan itu, konsep daulat dan kesetiaan kepada raja mengambil tempat selepas kedatangan Islam. Raja dianggap sebagai wakil Tuhan atau dikenal sebagai khalifah dalam Tamadun Islam (lihat al-Baqarah, 2:30) Konsep kesetiaan kepada raja melahirkan kata-kata “Pantang Melayu derhaka”. Penderhakaan merupakan jenayah paling berat dalam budaya Melayu seperti hukuman yang diterima oleh Hang Jebat. Dalam tradisi Islam, raja atau pemerintah dituntut supaya berlaku adil dan menjauhi kezaliman. Trajedi yang berlaku terhadap Megat Seri Rama seperti mana yang digambarkan dalam sejarah “Sultan Mahmud Mangkat dijulang” perlu dijadikan sempadan. Hubungan raja dengan rakyat digambarkan dengan kata-kata; “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah” (A. Aziz Deraman, 2005:111-142). Contoh pembesar atau pegawai kerajaan yang baik dibawakan oleh Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu yang patuh dan setia kepada raja. Demikian juga kesetiaan Tun Perak kepada Sultan Melaka.
Selepas melalui era penjajahan lebih empat abad lamanya (1511-1957M), Tanah Melayu telah wujud sebagai sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1957. Negara ini mengamalkan sistem politik dan pemerintahan Raja Berperlembagaan, iaitu Raja sebagai payung negara dan rakyat berlindung di bawahnya. Yang Dipertuan Agong merupakan pelindung kepada hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang tercatat pada Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan. Ia kemudiannya diikat kukuh dengan kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua kaum yang ada di Malaysia.
Dalam Tamadun Cina, ajaran Konfusius telah memberi garis panduan hubungan antara pemerintah dengan rakyat. Pemerintah mesti berperanan sebagai bapa kepada rakyatnya. Maknanya, seorang raja mesti memiliki moral yang tinggi kerana berfungsi sebagai pelindung kepada rakyat. Jika sebaliknya yang berlaku, mandat ini akan ditarik balik oleh Tien (Tuhan), namun rakyat tidak dianjurkan supaya menentang raja. Seorang pengikut Konfusius menyifatkan raja umpama kapal manakala rakyat umpama air (Azhar Mad Aros.: 70). Di sini wujud konsep bantu-membantu antara satu sama lain dan raja mesti bersikap adil terhadap rakyat.
Tamadun Barat mengamalkan sistem demokrasi dalam pemerintahan selepas berada dalam pemerintahan bersifat otokrasi atau sistem beraja yang bersifat monarki yang berlanjutan. Ia diambil dari sistem demokrasi Yunani yang berkonsepkan pemimpin dilantik oleh orang ramai, dikalangan orang ramai dan untuk orang ramai (Ahmad Rashidi Hasan, 2005: 44). Ini adalah kesan dari gerakan Renaissance (1350-1600M) yang wujud dalam tamadun Barat.
ii. Aspek pendidikan
Pendidikan merupakan aspek terpenting dalam setiap tamadun. Ia bertujuan membentuk peribadi seseorang individu dan menghapus kejahilan yang boleh menghalang peningkatan minda dan intelektual masyarakat. Menyebar dan mencari ilmu pengetahuan merupakan tugas manusia yang dipandang mulia oleh setiap tamadun.
Dalam Tamadun Islam, pendidikan Islam berteraskan tauhid. Proses pendidikan bermula pada peringkat seawalnya, iaitu sejak kelahiran seseorang hinggalah ke saat kematian. Ia bukan saja melibatkan proses pemindahan dan pembudayaan ilmu seperti yang terkandung dalam surah al-‘Alaq: 1-5, tetapi turut menjurus kepada proses mendidik roh, akal dan jasad yang mampu melahirkan seorang insan berakhlak mulia, intelektual dan profesional. Elemen ini amat penting dan merupakan pra-syarat bagi seorang manusia yang akan berfungsi sebagai penggerak tamadun.
Dalam Tamadun Melayu, isu pendidikan begitu ketara apabila orang Melayu menerima Islam. Wujud dua institusi pendidikan Islam terawal di kalangan orang Melayu, iaitu rumah alim ulama’, tuan guru dan juga istana. Institusi ini menainkan peranan penting dalam pembentukan budaya ilmu masyarakat Melayu. Pada zaman seterusnya, institusi pendidikan lebih beroperasi ditempat yang disediakan khusus untuk melaksanakan pendidikan masyarakat Melayu, iaitu di madrash, surau, pondok, pesantren, dayah dan lain-lain.
Pada masa pemerintahan British, anak-anak bangsawan Melayu mendapat pendidikan di institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh British seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1905. Pendidikan di sekolah ini tidak berteraskan pendidikan Islam. Dengan kata lain, sekolah ini menggunakan kurikulum yang berbeza dari pendidikan yang rata-rata diterima oleh sebahagian besar masyarakat Melayu. Tahap tertinggi pendidikan di sekolah ini ialah menyambung pelajaran ke institusi pendidikan di Barat terutamanya di London. Bagi masyarakat Melayu bawahan, mereka masih tetap mendapat pendidikan tertinggi dalam sistem pendidikan Islam. Mereka berpeluang meneruskan pengajian ke universiti di Timur Tengah seperti Universiti al-Azhar di Mesir, Universiti Madinahmahupun institusi pengajian tinggi di Mekah (Abdullah M. Zin, 2005:18)
Pendidikan Barat di Alam Melayu bermula dengan tertubuhnya sekolah-sekolah bercorak keagamaan ala-barat. Sekolah pertama adalah Sekolah St. Paul di Melaka yang didirikan oleh Francis Xavier pada tahun 1550-1553 M (Khoo Kay Kim, 1992:62). Selain itu, terdapat banyak lagi sekolah-sekolah missionari yang didirikan seperti Sekolah Methodist, Convent, St. John, St Teresa, St. Gabriel dan lain-lain.
Ajaran agama Buddha dan Hindu turut menekankan aspek pendidikan yang berlaku melalui proses ”mencari diri sendiri” (self-discovery). Ilmu dan amalan kerohanian juga merupakan elemen penting dalam melahirkan seorang yang baik.
iii. Aspek ekonomi
Kelangsungan sistem ekonomi dalam tamadun awal manusia menjadikan moral sebagai paksi utama. Dari fahaman ini muncul hak-hak kehidupan yang seimbang antara ekonomi dan moral. Nilai yang hampir sama wujud dalam semua tamadun. Antaranya menolak amalan rasuah, penipuan dan penindasan. Sebagai gantinya amalan-amalan murni dalam kegiatan ekonomi seperti membuat kebajikan, bersedakah dan membela golongan miskin dan lemah amat dianjurkan.
Kegiatan ekonomi dalam Islam turut berfungsi untuk mempertingkatkan akhlak individu dan masyarakat. Konsep halal dan haram serta untung rugi banyak dibicarakan di dalam al-Qur’an. Ini bertujuan untuk menjelaskan pentingnya konsep ini diambil kira dalam kehidupan seharian. Penipuan, riba dan bentuk-bentuk penyelewengan lain adalah ditegah dalam Islam. Walaupun terdapat banyak batasan mengenai kegiatan ekonomi dalam Islam, Rasulullah SAW tetap menekankan kepentingan aktiviti ekonomi melalui sabdanya yang bermaksud “Sembilan persepuluh rezeki adalah daripada sumber peniagaan dan perdagangan”.
Zakat pula merupakan unsur ekonomi Islam yang berfungsi memberi jaminan sosial kepada masyarakat Islam. Zakat tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah atau zakat badan yang berfungsi untuk membersih diri, tetapi juga zakat perniagaan dan lain-lain. Ia merupakan satu bentuk kebajikan dalam masyarakat Islam terutama kepada golongan yang berhak menerimanya yang terdiri daripada 8 asnaf. Malah zakat mampu mempertingkat kualiti kehidupan golongan fakir dan miskin dan menjana ekonomi mereka di samping umat Islam seluruhnya. (Norsiah Sulaiman, 2004:84-85). Pelbagai sektor ekonomi digalakkan oleh Islam termasuk pertanian, penternakan, pembuatan, perlombongan, perindustrian dan aktiviti import dan eksport yang hasilnya menjadi sumber pendapatan negara Islam yang terkumpul di dalam institusi kewangan umat Islam yang dikenali sebagai Baitulmal.
Ajaran Buddha menganjurkan Jalan Lapan Lapis (eight fold path). Ia bertujuan supaya manusia dapat menjalani hidup dalam keadaan suci dan bersih daripada sebarang runtunan hawa nafsu yang disebut sebagai Astamarga.
Tamadun Cina yang dipengaruhi kuat oleh falsafah Konfusius memandang rendah kepada golongan pedagang kerana menganggap golongan ini sentiasa terlibat dengan penipuan dan keuntungan yang dilihat sebagai elemen-elemen buruk. Justeru itu, fahaman ini lebih memberi perhatian kepada golongan petani.
Tamadun Barat yang berasaskan pemikiran sekular dan ideologi manusia memperkenal sistem ekonomi kapitalis yang lebih mengutamakan keuntungan material dan kebangkitan individu atau kumpulan tertentu sebagai kuasa pasar. Sistem ini berdasarkan teori Adam Smith (1723-1790M). Bagi Smith, sistem pengeluaran sesebuah negara terdiri daripada tiga unsur iaitu sumber alam, sumber manusia dan stok barang (kapital) yang ada. Hal ini jelas dibicarakan dalam bukunya Wealth of Nation (1776) yang menghuraikan secara terperinci pertumbuhan ekonomi kapitalis (Boediono, 1982:14). Pengamalan sistem ekonomi kapitalis telah mendorong ke arah penubuhan institusi kewangan atau bank di Barat seawal tahun 1587M.
Dalam konteks Malaysia, negara ini mengamalkan ekonomi konvensional, namun ekonomi Islam telah mula dilaksanakan dalam bidang kewangan Islam apabila tertubuhnya Bank Islam Malaysia Berhad dibawah Akta Bank Islam 1982. Selanjutnya Takaful Islam telah diwujudkan di bawah Akta Takaful 1984, Pajak Gadai Islam (al-Rahn), Sekuriti Islam dan Bon Islam. Hari ini sistem muamalat Islam telah diterima sebagai suatu sistem yang diterima pakai oleh semua kaum di Malaysia.
iv. Aspek kekeluargaan
Aspek kekeluargaan dan masyarakat diterima oleh hampir semua tamadun di dunia. Tamadun Islam meletakkan institusi keluarga sebagai asas pembentukan sebuah masyarakat. Apabila masyarakat baik, maka wujudlah ummah dan negara yang baik. Sumber masyarakat baik adalah al-Qur’an, Sunnah Rasul-Nya dan ijtihad para ulama’. Tamadun Islam menetapkan darjat manusia semua adalah sama di sisi Allah SWT. Kelebihan seseorang ádalah ketaqwaannya kepada Allah SWT dan juga pemilikan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Oleh kerana itu, tidak ada kelebihan orang Arab dari orang ajam (bukan Arab)
Ajaran Konfusius yang menjadi asas Tamadun Cina menekankan pentingnya hubungan kasih sayang dan hiraki kuasa dalam hubungan sesama manusia. Kasih sayang mewujudkan hubungan harmoni dalam masyarakat. Konfusius memperkenalkan konsep Li yang menekan lima jalinan hubungan sesama manusia seperti berikut:
* Hubungan maharaja dengan rakyat
* Hubungan bapa dengan anak
* Hubungan abang dengan adik
* Hubungan suami dengan isteri
* Hubungan kawan dengan kawan
Tamadun India yang diasaskan kepada agama Hindu membahagikan manusia kepada empat golongan atau tingkat tertentu iaitu golongan Brahmin, Kesatriya, Vaisya dan Sudra.
Kekeluargaan dalam Tamadun Melayu pula berasaskan kepada fahaman ajaran Islam. Hubungan yang terjalin antara ahli keluarga begitu erat. Ibu, bapa, anak-anak dan sanak saudara menjalankan tugas dan memahami tanggungjawab masing-masing. Fahaman mengenai setiap tanggungjawab amat berkait rapat dengan ajaran agama Islam. Sebagai contohnya, tanggungjawab bapa mencari rezeki dan memberi perlindungan kepada keluarga terlaksana dengan jayanya. Demikian juga tanggungjawab ibu mendidik anak ditunaikan dengan sempurna.
v. Aspek Kesenian dan Kebudayaan
Maksud hadis yang mengatakan ”Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan” menjadi titik tolak seni Islam. Islam percaya bahawa kesan dari kehidupan beragamalah yang melahirkan seni dalam Islam. Oleh yang demikian, karya seni dalam Islam merupakan kefahaman muslim terhadap keindahan syurga yang tidak mampu dinukilkan. Keindahan yang paling hebat ini adalah untuk menyatakan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT sebagai Maha Pencipta. Seni bina dalam Tamadun Islam juga telah mampu melahirkan banyak seni bina indah seperti masjid di serata dunia sehingga menjadi mercu tanda kegemilangan Tamadun Islam hingga ke hari ini. Begitu juga dengan seni khat yang mempunyai pelbagai jenis seperti Khat Kufi, Nasakh, Thuluth dan Farisi mampu mempesonakan sesiapa saja.
Perbezan seni Islam dengan seni dari tamadun lain terlihat pada falsafah seni Islam yang berteras tauhid walaupun terhasil pada pelbagai aneka karya seni. Contohnya, seni Barat lahir dari penghayatan terhadap konsep ketuhanan yang digambarkan dalam bentuk pahatan patung-patung. Tamadun Barat yang bersandar pada Tamadun Yunani berpegang pada fahaman kesempurnaan Tuhan dan manusia yang dicernakan pada karya seni terutama seni arca dan seni pahatan. (Ahmad Rashidi Hassan, 2005:48-49). Malah pada zaman Renaissance, penghasilan seni masih bertemakan cerita-cerita dari Bible di samping cerita dewa-dewi Yunani kuno. Kebanyakan lukisan dibuat untuk kepentingan gereja (A. Djelantik, 1999:124)
Seni atau keindahan menurut agama Buddha dapat diklasifikasikan kepada empat jenis iaitu keindahan perhiasan, keindahan jasmani, keindahan tingkah laku dan keindahan batin. Menurut Buddha, manusia dapat memiliki keindahan melalui dua Darma indah yang terdiri dari Khanti dan Soracca (A. Djelantik, 1999:192). Dalam Tamadun India, kesenian lahir dari usaha para seniman untuk mewujudkan bentuk dari sesuatu yang tidak berbentuk semasa berlaku kosentrasi diri atau proses meditasi. Gambaran dewa-dewa dihubungkan dengan sikap, warna dan ekspresi tertentu dan gambaran dewa-dewa timbul dalam gambaran fikiran. Akhirnya seniman melukiskan gambaran tersebut dalam media seperti kanvas dan bentuk arca. Dalam ajaran Hindu dan Buddha terdapat kesamaan idea dan pandangan yang mengatakan bahawa dalam fikiran dan gambaran dalam jiwalah yang dapat dikatakan sebagai seni (Ibid:195) . Dalam Tamadun Cina, karya seni rupa merangkumi seni lukis dan seni kaligrafi. Seni lukis Cina menjadikan unsur alam harmoni sebagai tema utama. Penghasilan karya tema ini jelas terpapar pada unsur tumbuh-tumbuhan terutaam pokok buluh, unsur haiwan terutama burung bangau putih dan unsur alam sekitar terutama sungai. Konsep dan teknik keindahan seni ini meresap dalam seni rupa yang lain.
Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan keturunan mempunyai bentuk-bentuk kesenian yang pelbagai. Rakyat Malaysia lahir dari rasa cintakan perpaduan dan keamanan. Pemerintah telah membentuk satu dasar kebudayaan Malaysia yang menetapkan seni dan budaya Malaysia ialah seni dan budaya Melayu, walaupun dasar ini masih menerima seni dan budaya etnik lain. Dasar budaya ini dikenal sebagai Kebudayaan Kebangsaan. Oleh itu, dasar ini menggabungkan semua unsur budaya masyarakat yang ada di Malaysia. (Hamdan Hassan:11-16).
vi. Aspek alam sekitar
Tamadun Islam dan tamadun Asia lain amat menyanjung alam sekitar. Islam menghargai alam sekitar yang merupakan tanda-tanda kewujudan Allah SWT. Seluruh alam dan persekitarannya merupakan amanah kepada manusia sebagai khalifah yang berfungsi sebagai pembangun alam ini seperti yang dapat difaham pada firman Allah dalam surah Hud: 61.
Demikian juga Tamadun Melayu dan masyarakat peribuminya turut menghargai alam sekitar. Malah, bagi masyarakat peribumi Malaysia seperti etnik Iban dan Senoi mereka memuja alam terutama semasa upacara pesta menuai. Mereka percaya wujud unsur-unsur roh yang menyelinap ke dalam semua kejadian alam seperti tumbuh-tumbuhan. Menurut doktrin Hindu, alam semesta ini terdiri dari Jamudvipa. Di tengah-tengah alam semesta terdiri Gunung Meru yang di kelilingi oleh matahari, bulan dan bintang. Sehingga dikatakan Gunung Meru dibawa separuh ke Pulau Jawa dari Jamudvipa, India untuk menjadi tempat tinggal Betara Guru di Pulau Jawa.
Lao Tze telah mengemukakan falsafah tao sebagai suatu kekuatan di mana manusia cuba menjalin dirinya dengan alam. Konsep ini menyamai konsep Wu-Wei dalam aliran Konfusius yang mendorong manusia mengambil jalan pertengahan antara dua aktiviti tertinggi dan istirehat tertinggi. Mereka menafsir bahawa kehidupan yang berlaku di alam ini adalah hasil dari pergerakan alam yang berterusan. Seseorang dianggap dapat berhubung dengan alam apabila dia berjaya menghubungkan dirinya dengan tao melalui pembersihan jiwa atau mengosongkan diri dari dua perkara yang keterlaluan. (Idris Zakaria: 40)
vii. Aspek institusi agama
Setiap agama memiliki institusi tersendiri sebagai pusat kegiatan keagamaan mereka. Institusi-insitutusi ini adalah seperti berikut:
a. Masjid
Ia merupakan institusi agama dalam Islam. Masjid bermaksud tempat sujud atau tempat beribadah kepada Allah SWT. Sebagaimana ibadah dalam Islam amat luas maksudnya, begitu jugalah fungsi masjid. Masjid tidak terbatas sebagai tempat sembahyang semata-mata. Hal ini telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW semasa hayatnya dengan menjadikan masjid tempat segala aktiviti umat Islam. Antaranya, masjid berperanan sebagai tempat bermesyuarat, tempat mengadili masalah masyarakat Islam, tempat menerima dan merawat pejuang Islam yang cedera dan pelbagai fungsi lain. (S. A. H. Mokhtar,1997:116). Kepentingan masjid dalam masyarakat Islam menyebabkan pembinaan masjid merupakan langkah awal semasa Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Justeru itu terbinalah masjid pertama dalam Islam iaitu masjid Quba’. Ini diikuti dengan pembinaan Masjid Nabawi di Madinah, Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Aqsa di Palestin dan Masjid al-Azhar di Mesir.
Dalam bidang pendidikan, masjid merupakan institusi terpenting dalam Islam. Di sini umat Islam memulakan pendidikan awal terutama golongan kanak-kanak. Kanak-kanak dilatih mengaji al-Qur’an, selain latihan di rumah yang dijalankan oleh ibu bapa sendiri. Masjid juga berfungsi sebagai pusat pendidikan pelbagai ilmu Islam dan informasi setempat. Sejarah para ulama awal dalam Islam membuktikan hal ini. Imam Shafie, Imam Maliki dan imam-imam lain menerima pendidikan ilmu Islam yang luas di masjid-masjid utama di atas.Lanjutan dari hal ini, para ulama’ merupakan tenaga pengajar dan tempat rujukan masyarakat dalam pelbagai hal (Ibid:117).
Masjid utama dalam Islam ialah Masjid al-Haram. Ini diikuti dengan Masjid Nabawi, masjid Aqsa dan lain-lain. Keutamaan masjid-masjid ini bergantung kepada pengakuan dan sejarah Islam yang bermula pada zaman Rasulullah SAW. Pada satu sudut yang lain, masjid mempunyai beberapa keistimewaan yang membezakan masjid sebagai tempat ibadat umat Islam dengan rumah ibadat penganut agama lain. Kewujudan masjid juga berada di segenap pelusuk dunia. Justeru itu, masjia terbina dalam pelbagai bentuk seni bina. Kesemuanya bentuk seni bina masjid dapat dibahagi kepada tujuh bentuk, iaitu (Ibid:124-128):
• Maghribi
• Andalusia
• Mesir
• Turki Saljuk
• India
• Iran Safawi
• Turki Uthmani
b. Kuil dan Candi
Kuil merupakan rumah ibadat bagi penganut agama Hindu dan Buddha. Fungsi kuil lebih luas pada peringkat awal perkembangan dua agama ini. Ia menjadi pusat pendidikan yang diperlukan oleh sami-sami Hindu dan Buddha. Golongan Brahmin dalam agama Hindu merupakan sami-sami Hindu yang terpelajar. Mereka adalah golongan yang layak memahami kitab-kitab suci Hindu seperti kitab Veda, Mahabrata dan Ramayana yang ditulis dalam bahasa Sanskrit. Begitu juga dalam agama Buddha, sami-sami Buddha menjadikan kuil sebagai pusat pendidikan dalam memahami ajaran-ajaran Buddha. Sami-Sami Buddha menyampaikan pengajaran mereka dalam bahasa Pali dan Sanskrit.
Candi merupakan bangunan yang dikaitkan dengan aspek keagamaan. Candi yang terkenal di rantau Alam Melayu antaranya ialah Candi Borobudur. Candi ini terletak di kaki Gunung Merapi di kota Jogyakarta, Indonesia yang dibina ketika Dinasti Sailendara sekitar tahun 778-825M2. Candi ini dipenuhi dengan sangkar-sangkar batu berisi patung Buddha.
c. Gereja
Dalam tamadun Barat gereja masih memainkan peranan sebagai tempat ibadat, pusat pemahaman agama Kristian dan juga aktiviti masyarakat setempat. Perkembangan ini akhirnya melahirkan sekolah-sekolah missionary. Dalam bentuk yang formal sekolah missionari mendapat pembiayaan pihak gereja. (Bhg. II: 147-150)
2.3 Nilai dan Kepentingannya
Nilai adalah satu konsep yang diertikan dengan berbagai maksud dan konotasi. Antaranya, nilai bermaksud satu kualiti sama ada baik (positif) mahupun buruk (negatif) yang menghasilkan sesuatu yang dikehendaki. Ia juga bermaksud dasar-dasar moral, prinsip, piawai ataupun suatu ideal yang dijunjung tinggi oleh sesebuah masyarakat.
Secara amnya, nilai akan ditonjolkan secara lisan atau menerusi perlakuan individu atau sesuatu kumpulan. Misalnya, seseorang yang menghayati nilai tanggungjawab akan menunjukkan nilai tersebut dalam percakapan dan perlakuan. Individu ini juga akan mempertahankan nilai tersebut dan akan mengkritik orang lain yang bersikap tidak bertanggungjawab. Nilai juga boleh berubah mengikut peredaran masa ataupun terus unggul mengikut suasana ataupun idealisme sesebuah masyarakat. Contohnya, nilai hormat kepada orang yang lebih tua telah terhakis dalam masyarakat kosmopolitan tetapi ia kekal dan penting dalam masyarakat Timur sama ada yang membangun ataupun yang masih mundur.
Matlamat dan tindakan yang dilaksanakan oleh seseorang juga ditentukan oleh nilai. Ini kerana nilai merupakan satu prinsip atau garis panduan yang disediakan oleh anggota masyarakat untuk menjalani kehidupan. Nilai adalah suatu piawai yang berkekalan, atau dalam pengertian yang luas, suatu piawai yang mengaturkan satu sistem perlakuan. Nilai juga menentukan sesuatu `preference', iaitu sesuatu yang lebih disukai, baik mengenai hubungan sosial, mahupun mengenai matlamat-matlamat serta ikhtiar untuk mencapainya. Nilai juga akan bertindak sebagai ukuran yang membantu individu mengenal pasti kedudukannya dalam sesuatu isu sosial ataupun moral. Tegasnya, nilai bukan sahaja memberi suatu tunjuk arah kepada seseorang tentang bagaimana dia patut berkelakuan terhadap orang lain, malah bagaimana untuk menilai tingkah laku sendiri serta orang lain. Nilai juga berfungsi sebagai dasar untuk menentukan apakah yang harus dicabar, dihujah, diubah atau dipertahankan. (Abdul Rahman Md Aroff, 1999)
Walaupun semua nilai mempunyai ciri dan fungsi am seperti yang disebutkan di atas, namun nilai juga boleh dikategorikan dalam kelompok tertentu seperti berikut;
• Nilai agama (Contoh: Kesucian, kesyukuran)
• Nilai Ekonomi (Contoh: Produktiviti, kejayaan)
• Nilai Etika (Contoh: Kejujuran, pemurah)
• Nilai Estetika (Contoh: Keindahan, keselesaan)
• Nilai Politik (Contoh: Hak asasi, patriotisme)
• Nilai Sosial (Contoh: Kejiranan, budi pekerti)
Sistem nilai dalam Tamadun Islam tersimpul pada satu skema yang tersedia dalam ajaran dan tradisi agama Islam. Sungguhpun wujud kedinamikan dalam hukum-hukum Islam tetapi ia tidak boleh bercanggah dengan sistem nilai yang disepakati oleh majoriti cerdik pandai Islam. Sistem nilai dalam Tamadun Islam terdiri daripada hukum berikut (Azhar Hj Mad Aros, 2002);
• Wajib: Nilai yang dilakukan akan mendapat ganjaran/pahala dan jika ditinggalkan berdosa. Terdapat dalil-dalil atau ayat-ayat al-Qur’an yang jelas mengenai hal ini.
• Sunat: Nilai yang dilakukan akan menghasilkan ganjaran/pahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa.
• Haram: Nilai yang wajib ditinggalkan. Jika dilakukan akan menghasilkan dosa. Terdapat banyak dalil-dalil dari firman Allah dalam al-Qur’an yang melarang melakukan nilai ini.
• Makruh : Perkara yang dibenci. Jika ditinggalkan mendapat pahala dan sekiranya dilakukan tidak berdosa.
• Harus: Nilai yang boleh dilakukan dan boleh ditinggalkan. Hukum ini merupakan hukum asal sesuatu perkara kecuali wujud penjelasan hukum mengenai hal ini.
2.3.1 Nilai Asia dan Nilai Universal
Nilai dalam Tamadun Asia dianggap bersifat kolektif manakala nilai dalam Tamadun Barat dikatakan bersifat individualistik. Kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa nilai kolektif yang menjadi sifat Tamadun Asia ini dipegang kuat oleh masyarakat Timur. Antaranya seperti kesopanan, kasih sayang, sederhana, menghormati tradisi, ketaatan, kesetiaan, menghormati keluarga dan orang yang lebih tua, berpegang kepada agama dan pemaaf. (Kapoor, Blue, Konsky & Drager: 2000)
Nilai universal pula adalah sesuatu yang abstrak. Berdasarkan laporan UNESCO, nilai universal yang patut dicambahkan oleh setiap negara ialah ;
• Nilai kedamaian
• Nilai kebebasan dan hak asasi manusia
• Nilai demokrasi
• Nilai pembangunan
Nilai-nilai universal seperti kebebasan dan hak asasi kemanusiaan yang selalu diwar-warkan oleh pemimpin Barat tidak kurang juga dicurigai oleh pemimpin Asia kerana dianggap cuba melegitimasikan faham liberalisme politik Barat tanpa mengambil kira kelainan budaya yang terdapat di Asia. Sebagai tindak balas terhadap tuntutan Barat yang mahukan dunia bukan Barat menghayati nilai-nilai universal berkenaan, maka lahirlah konsep Nilai Asia.
Konsep Nilai Asia menjadi popular sekitar tahun 1970 an bila ia mula dijadikan retorik oleh pemimpin Asia seperti Lee Kuan Yew dan diikuti oleh pemimpin Asia lain. Menurut Kishore Mahbubani (1998), Nilai Asia merujuk kepada sebuah set pengajaran moral dan sosial yang membawa kepada pembangunan ekonomi yang pesat di negara-negara Asia sejak beberapa dekad yang lepas. Nilai-nilai ini termasuklah “attachment to the family as an institution, deference to societal interest, thrift, conservatism in social mores, respect for authority”.
Konsep Nilai Asia ini telah menerima kritikan termasuk oleh sarjana Asia. Antara kritikan yang kerap dikemukakan ialah ”Nilai Asia sering digunakan sebagai senjata budaya yang menolak liberalisme Barat, malah membawa kepada menghalalkan ideologi politik sektarian dan corak pemerintahan kuku besi.” Ini menjadikan Nilai Asia nampak jelik selepas dilabelkan sebagai satu senjata politik pemimpin Asia yang autoritarian. Namun, kritikan ini tidak dapat menafikan wujudnya satu perbezaan nilai antara negara-negara di Asia dengan negara bukan Asia khususnya Barat.
Pada mulanya perbincangan tentang Nilai Asia lebih kerap di sinonim dengan ajaran Konfusius. Pengaruh tradisi ini telah membangkitkan kekuatan ekonomi dan politik Asia kerana konsep “Demokrasi Konfusian” mencadangkan penerimaan hierarki dalam masyarakat, keperluan dalam keharmonian sosial, rasa hormat pada keluarga dan kerajaan yang bertanggungjawab. Dalam konteks politik menunjukkan keakuran kepada autoriti pemerintah untuk mendapat “kebaikan bersama” sehingga menjadikan rakyat akur dan menerima kedudukan dan hierarki pemerintah.
Nilai yang ditekankan dalam tanggapan seperti di atas sebenarnya hanya terjurus kepada nilai ekonomi yang ada dalam ajaran Konfusius. Falsafah Konfusius dijadikan sandaran dan disesuaikan mengikut kehendak pemuka awal konsep Nilai Asia. Hasilnya, nilai etika dan sosial yang lebih menyeluruh telah diabaikan. Penonjolan nilai-nilai dari tradisi agama Asia yang lain khususnya Islam dan Hindu mula dibicarakan secara lebih meluas kerana setiap agama pada asasnya mempunyai kekuatan masing-masing dalam memperkatakan soal moral, etika, kekeluargaan, politik dan lain-lain.
2.3.2 Nilai-Nilai Universal Asia
Tamadun-tamadun Timur mempunyai keserasian antara satu dengan lain sehingga memudahkan interaksi. Ini disebabkan adanya “nilai-nilai sepunya” antara mereka. Prof. Syed Naquib al-Attas (1972) mengungkapkannya sebagai nilai kesejajaran. Sejak awal tahun 1970 an lagi beliau telah menyeru ke arah sikap terbuka dalam menilai interaksi antara tamadun di Asia khususnya di Malaysia dan menekankan hakikat kepentingan pandangan hidup atau world view yang berteraskan nilai agama dan akhlak dalam sesebuah tamadun. Perspektif tentang adanya nilai-nilai universal yang sejajar dalam tamadun di Asia yang telah disuarakan oleh beliau (1972:70) dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu berbunyi;
“…Keadaan bertumpunya agama-agama agung di dunia ini di Malaysia janganlah hendaknya kita anggap sebagai satu kelemahan besar, satu bibit perceraian masyarakat kita; kita harus mengangapnya sebagai satu keistimewaan dan kebesaran kita di dunia; kita harus tahu bahawa dalam pandangan hidup agama-agama ini semua lebih banyak terdapat titik pertemuan daripada yang terdapat dalam ideologi-ideologi politik, bahawa dalam keluhuran falsafah-falsafah agama-agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, dan ajaran Lao Tzu dan Kung Fu Tze ada terdapat kesejajaran fahaman dalam bidang-bidang penting yang tentu akan dapat membantu ke arah memupuk faham keperibadian Malaysia”
Namun ciri dan identiti khusus setiap agama khususnya aspek teologi akan tetap berbeza. Seperti yang ditekankan oleh Prof. Naquib dalam tulisan beliau, persamaan nilai yang terdapat dalam tamadun-tamadun Asia hanyalah satu kesejajaran dan bukanlah satu keselarian ataupun persamaan yang hakiki. Kesejajaran yang cuba diketengahkan oleh Prof. Naquib ini tidaklah sehingga membawa kepada pluralisme dalam nilai hidup dan agama sehingga semua agama dianggap sama. Perbezaan tetap ada. Ini ditegaskan lagi oleh Osman Bakar (1997);
” … with reference to Asia, it means that Asian cultures do share a set of core human value and at the same time exhibit differences in their value system”
Bagaimanapun pemikiran sempit yang menonjolkan particularism tamadun masing-masing amat tidak sesuai dalam perkembangan dunia hari ini; apatah lagi dalam usaha serius untuk mengadakan interaksi antara tamadun. Hal ini akan menggagalkan dialog ketamadunan yang sedang diusahakan oleh pelbagai pihak.
2.3.3 Nilai-Nilai Universal Tamadun Asia
Nilai-nilai universal dalam Tamadun Asia tertanam dalam ajaran-ajaran keagamaan yang telah berkembang subur di seluruh Asia; sama ada Islam, agama dan kepercayaan dari Tanah Besar China mahupun dari benua India. Nilai-nilai universal dari tradisi keagamaan ini boleh diringkaskan berdasarkan prinsip-prinsip seperti berikut;
• Berlandaskan idea keagamaan
• Menekankan aspek kemanusiaan dan institusi kekeluargaan
• Menekankan tatacara dan etika dalam kehidupan
• Mementingkan kebijaksanaan dalam kepemimpinan
• Menghargai alam sekitar
• Mementingkan ilmu dan orang berilmu
2.3.3.1 Berlandaskan idea keagamaan
Peranan agama dalam semua tamadun Asia sangat penting kerana ia membantu memantapkan struktur sosial dan intelektual sesuatu tamadun. Semua tamadun Asia sama ada berasaskan agama samawi atau budaya, tetap menjunjung tinggi doktrin keagamaan, malah dari agama inilah lahirnya kebudayaan dan sains. Idea ketuhanan yang transcendence (kudus) sama ada dengan panggilan Ti, Brahman atau Sang Hyang Tunggal menyebabkan institusi dan ajaran keagamaan agama lain juga di hormati.
Sebagai contohnya, Tamadun Islam bertunjang dan berpaksikan kepada konsep tauhid. Ini bermaksud tauhid merupakan intipati dalam kehidupan bertamadun masyarakat Islam. Justeru itu, asas dalam Tamadun Islam adalah akidah, syariah dan akhlak. Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen dalam agama Islam. Sumber dalam tamadun Islam adalah sumber naqli iaitu sumber wahyu. Sumber ini menjadi sumber asas, manakala sumber aqli iaitu yang berdasarkan akal merupakan sumber sekunder yang mana ketetapannya mestilah tidak bercanggah dengan sumber naqli. Aspek kerohanian dalam Tamadun Islam amat dipentingkan. Kerohanian (spiritual) dan kebendaan (material) mestilah seimbang dan bersepadu. Kesepaduan ini akan membentuk matlamat Tamadun Islam yang paling utama iaitu mencapai keredaan Allah, manakala material berfungsi sebagai wasilah atau alat penghubung dalam mencapai matlamat utama tersebut.
Contoh lain pula dapat dilihat pada Tamadun Cina. Masyarakat Cina tetap percaya kepada konsep ketuhanan walaupun terdapat pelbagai agama yang menjadi anutan mereka. Antaranya, penyembahan roh nenek moyang, fahaman Konfusius, Daoisme atau Taoisme dan Buddhisme. Kesemua agama ini menekankan konsep ketuhanan dan kerohanian yang menjanjikan balasan baik bagi perbuatan baik dan sebaliknya, kecuali Buddhisme.
Dalam kosmologi Cina terdapat konsep tian yang bermaksud langit, iaitu merujuk kepada dewa yang terpenting. Dewa dalam masyarakat Cina merupakan pembuktian kewujudan Tuhan. Dalam Dinasti Chou, tian merujuk kepada makhluk unggul di langit (supreme being) yang mengatur perjalanan hidup dan nasib seseorang, menentukan keamanan dan kesejahteraan serta memberi balasan baik dan buruk. Ia juga mungkin menyebabkan kemudaratan sebagai hukuman terhadap insan yang berkelakuan salah. Kepercayaan terhadap konsep ini, mendorong masyarakat mereka mengawal tingkah laku bagi mengelakkan dari mendapat balasan dari tian.
Tamadun India juga memperlihatkan hal yang sama mengenai kedudukan agama dan kerohanian yang tinggi dalam masyarakat. Kepercayaan Hindu menekankan konsep ketuhanan dan kerohanian. Antaranya percaya kepada konsep trimurti iaitu percaya kepada ketuhanan Brahma (Tuhan Pencipta), Vishnu (Tuhan Pemelihara) dan Siva (Tuhan Pemusnah).
2.3 3.2 Institusi Kekeluargaan dan Aspek Kemanusiaan
Tamadun Asia begitu sarat dengan elemen “rite de passage” iaitu adat istiadat dari saat kelahiran hinggalah kematian. Hal ini amat dititikberatkan oleh anggota keluarga. Ini menunjukkan bahawa ikatan kekeluargaan sangat ditekankan. Sebagai contohnya, dalam perspektif Islam, soal institusi kekeluargaan diperhalusi oleh ilmu munakahat yang mengatur pembinaan institusi keluarga bermula dari proses mencari jodoh, tanggungjawab suami isteri dan seterusnya.
Selain itu terdapat juga hubungan yang baik dengan Allah (hablum mina’Llah) dan hubungan yang baik sesama manusia (hablum minannas). Hablum minannas diikat dengan ukhuwah Islamiyah, dengan maksud semua umat Islam bersaudara dan sama di sisi Allah kecuali orang yang bertakwa. Islam menetapkan agar umatnya sentiasa menjaga akhlak antara sesama manusia yang merangkumi akhlak dengan ibubapa, guru, kawan, jiran, sesama Islam dan bukan Islam, malah akhlak terhadap musuh Islam juga perlu dijaga. Hubungan yang baik sesama manusia amat perlu dijaga, malah andainya seorang Islam tidak mempunyai hubungan yang baik dengan manusia yang lain walaupun mempunyai hubungan yang baik dengan Allah, dia tidak dikira sebagai ahli syurga.
Dalam konteks pergaulan juga, syariat Islam diturunkan agar kepentingan 5 hak asasi manusia terlaksana iaitu hak beragama, menjaga kewarasan akal, menjaga nyawa, harta benda dan maruah diri. Ini memperlihatkan ajaran Islam menekankan nilai kemanusiaan.
Dalam Tamadun China pula terdapat konsep Ren yang bermaksud kasih sayang. Konsep ini merujuk kepada sifat perikemanusiaan yang dianggap “ekspresi jantung manusia”. Dalam Tamadun Hindu terdapat konsep Ahimsa iaitu belas kasihan yang boleh membawa kepada tiadanya kekejaman terhadap sebarang makhluk sama ada manusia ataupun binatang.
2.3.3.3 Menekankan Tatacara dan Etika Dalam Kehidupan
Etika dalam Islam adalah manfaat daripada penghayatan syariat. Syariat diutuskan Allah kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dan mengatur kehidupan agar harmoni. Syariat Islam mengatur hubungan manusia dengan Allah melalui pengamalan ibadat dan hubungan manusia sesama manusia melalui pelaksanaan muamalat, munakahat dan jinayat. Syariat Islam juga merangkumi akhlak iaitu sistem nilai yang menjamin kehidupan yang beretika. Akhlak Islam bersifat syumul iaitu meliputi akhlak dengan Allah SWT, Rasulullah SAW, sesama manusia terutamanya ibu, bapa, guru, jiran dan termasuk sesama manusia walaupun dengan bukan Islam. Demikian juga akhlak Islam termasuk dengan alam persekitaran seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Penegasan soal etika dalam ajaran Islam menjadi faktor utama Rasulullah SAW diutus oleh Allah kepada manusia. Justeru itu, Rasulullah merupakan model akhlak yang terbaik kepada umat Islam dan manusia seluruhnya. Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud:
”Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah terdapat contoh ikutan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah.”
(al-Ahzab: 21)
Dalam Tamadun Asia lain seperti China terdapat konsep Dao (jalan). Begitu juga pemikiran tentang Li (Tatasusila). Menerusi konsep ini, Konfusius menekankan peraturan akhlak dan peraturan kehidupan berasaskan 3 perkara berikut:
i. Peraturan perhubungan manusia dengan Tuhan.
ii. Peraturan perhubungan manusia dengan manusia.
iii. Peraturan perhubungan politik
Selain itu, Konfusius juga menekankan konsep zhong yong iaitu kesederhanaan. Segala perlakuan manusia perlulah sederhana dan tidak setuju kekerasan sebagai jalan penyelesaian.
Dalam Hinduisme pula ia berpaksikan idea dharma (tanggungjawab) dan karma iaitu doktrin perbuatan; baik akan mendapat balasan yang baik. Demikian juga sebaliknya, buruk dibalas buruk. Masyarakat perlu mematuhi etika yang ditetapkan agar kehidupan barunya lebih baik dan mendapat matlamat dalam mencapai mokhsa.
2.3.3.4 Mementingkan kebijaksanaan kepemimpinan
”Pemimpin adalah khalifah di muka bumi” sinonim dengan kepemimpinan dalam Islam. Politik Islam menggariskan sistem dan corak pemerintahan Islam seperti asas dalam berpolitik adalah tauhid, risalah dan khilafah. Selain itu, prinsip politik Islam adalah keadilan, persamaan, syura dan akauntabiliti. Sumber dalam politik Islam ialah kitabu’Llah dan sunnah rasul-Nya, di samping ijtihad dan ijmak ulama.
Dalam Tamadun China, Konfucius menekankan ajaran moral kepada manusia, antaranya membantu pemerintah yang baik dan sifat baik merupakan satu harta yang paling penting untuk dimiliki oleh setiap pegawai. Dalam hal ini, Raja-raja Chou mengaitkan diri mereka dengan konsep ”anak syurga” dan ”mandat dari syurga”. Ini merujuk kepada maksud raja adalah wakil Tuhan di bumi. Justeru itu mereka perlu memerintah dengan adil dan jika gagal, mandat akan ditarik semula. Selain itu, ajaran Konfusius juga menekankan pemerintahan yang berdasarkan zheng ming, iaitu nama yang betul untuk menjelaskan di antara perkara yang benar dan salah. Ia bermaksud, peranan dan tanggungjawab adalah mengikut nama yang disandang. Tujuannya adalah untuk membezakan antara perkara yang betul dan salah. Pemerintah juga perlu memperbaiki diri sendiri atau zheng ji.
Dalam ajaran Hindu dan Buddha pula, konsep dharma dijadikan panduan tingkah laku yang wajar dari raja kepada rakyat. Dharma menekankan nilai-nilai moral seperti mengawal nafsu dan mengamalkan toleransi.
2.3.3.5 Menghargai alam sekitar
Islam menekankan hubungan yang harmonis dengan alam dan melarang sebarang tingkah laku dan perbuatan yang bersifat fasad. Sehubungan ini, penggunaan alam sekitar dikawal oleh hukum Islam terutamanya konsep Halal dan Haram.
Alam sekitar merupakan anugerah Allah SWT yang diamanahkan kepada manusia untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. Allah berfirman yang bermaksud:
”Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya agar Kami menguji mereka siapakah antara mereka yang terbaik perbuatannya.”
(al-Kahfi: 7)
”Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan dan berlayar di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan meluncurkan bahtera itu membawa orang-orang yang berada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka bergembira kerananya. (Dan apabila) datanglah angin badai dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya) maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata): Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini pastilah kami termasuk orang-orang yang bersyukur.”
(Yunus: 22)
Selain itu, alam merupakan tanda kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Justeru itu, Allah telah menentukan adab dan akhlak manusia dengan alam termasuk makhluk ghaib.
Dalam Tamadun Cina, khususnya ajaran Tao, alam di anggap sebagai “ibu” atau Dao. Ini menunjukkan bumi sebagai entiti yang perlu dimuliakan. Dalam Buddhism dan Shinto pula, hubungan harmonis manusia dengan alam ditekankan melalui konsep Esho Fui, iaitu manusia dan alam saling memerlukan.
Dalam fahaman masyarakat peribumi Malaysia juga terdapat kepercayaan menghargai dan memelihara alam sekitar. Bagi mereka alam mempunyai kuasa ghaib. Mereka percaya petir sebagai penjaga haiwan dan tumbuhan. Justeru itu, peribumi melarang menebang pokok tanpa niat untuk digunakan atau membunuh binatang tanpa niat untuk dimakan. Perbuatan ini akan mengundang kemarahan Tuhan dan akan diturunkan bala bukan sahaja kepada pesalah, malah seluruh komuniti mereka. Kepercayaan ini mendorong mereka menjaga alam sekitar agar berada dalam ekologi yang seimbang.
2.3.3.6 Mementingkan ilmu dan orang berilmu
Konsep ulama dalam Islam berkait rapat dengan ilmu dan orang yang berilmu. Seorang invidu di dalam masyarakat Islam hanya diterima sebagai ulama jika persiapan ilmunya sempurna dan tercermin pada kewibawaan personaliti diri dalam segala aspek. Selaras dengan ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
”Sesungguhnya yang takut kepada Alllah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.”
(al-Fatir: 28)
”Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmuku”
(Taha: 114)
”Katakanlah wahai Muhammad, adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui. Bahawasanya yang mengingati ialah orang-orang yang menggunakan fikirannya (ulul al-bab).”
(al-Zumar: 9)
Ulama memainkan peranan besar dalam Islam. Antaranya sebagai pembimbing umat, penyelesai masalah, pakar rujuk dan model atau contoh tauladan dalam masyarakat Islam. Justeru itu, Rasulullah SAW menegaskan dalam hadithnya yang bermaksud:
”Ulama merupakan pewaris para nabi.”
Dalam ajaran Konfusius, terdapat konsep Jun Zhi (orang budiman) yang bermaksud orang yang berilmu dan tahu akan kewajaran sesuatu. Salah satu tingkat dalam empat perjalanan hidup (Asramas) seorang penganut Hindu pula ialah Bramacarya yang memerlukan pengisian ilmu pengetahuan. Tingkat Asramas yang lain adalah tahap Ghastra, Vanaprahastra, Sanayasa.
Ringkasnya, Tamadun Asia mempunyai satu kekuatan yang telah diwarisi sejak Asia mula didiami oleh kelompok masyarakat. Kekuatan tersebut ialah ”nilai kesejagatan” dan ”bersifat sepunya” antara tamadun-tamadun di Asia. Nilai kesejagatan ini telah membentuk jalinan interaksi harmoni antara tamadun walaupun antara tamadun ini memiliki dasar pegangan agama yang berbeza.
Peranan Islam sangat besar dalam menjadikan nilai-nilai dari ajaran agama diiktiraf sebagai pendorong kepada pembinaan tamadun dalam zaman yang serba moden ini. Umat Islam sebagai ummatan wasata (umat pertengahan) boleh menjadi perantara yang baik dalam berinteraksi dengan tamadun moden mahupun tamadun tradisional. Nilai pertengahan ini juga termasuklah tidak terlalu bersifat kebendaan dan juga tidak menolak dunia secara total. Selain itu, Tamadun Islam juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang dapat dilihat pada nilai-nilai transenden (kudus) yang merentas batas daerah dan budaya. Nilai ini mampu menjadi nilai universal tamadun manusia.
2.4 KESAN INTERAKSI ANTARA TAMADUN DI MALAYSIA
Interaksi antara tamadun di Malaysia wujud kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada tiga bangsa dominan yang berasal dari kelompok Tamadun Asia. Peribumi Melayu mewakili pembina Tamadun Melayu, etnik Cina mewarisi Tamadun Cina dari Tanah Besar Cina dan etnik India mewakili Tamadun India dari Benua Kecil India. Kepelbagaian bangsa yang mendiami Malaysia pasti memberi pelbagai kesan dalam hidup bermasyarakat. Kesan ini dikategorikan kepada kesan positif mahupun negatif.
2.4.1 Kesan Positif
Kesan positif telah wujud sejak dari awal interaksi bangsa di Malaysia yang berlaku sebelum merdeka hinggalah pada zaman kemerdekaan, selepas merdeka dan hingga kini. Kesan ini telah menghasilkan hubungan harmoni antara kaum di Malaysia. Berdasarkan pengalaman ini kerajaan Malaysia telah terdorong menggubal beberapa dasar untuk mengukuhkan lagi jalinan ini. Kesan tersebut adalah seperti berikut:
* Pertambahan bahasa dan kosa kata Melayu dalam pelbagai aspek.
Kosa kata dalam Bahasa Melayu telah bertambah sehari ke sehari sejak berlakunya interaksi antara bangsa. Di bawah merupakan sebahagian contoh kosa kata bahasa Melayu yang wujud hasil interaksi.
Makanan dan buahan
Bakmi, me, mesua, cincau, kueh, bepang, taugeh, kanar, kuaci, kucai, angki (pisang kaki), tauhu, kincam (sayur kering), lai, laici, teh, behon, to’yu, samsu, tamar.
Pakaian dan barang dagangan
Cukin, tocang, lo’ cuan, kekwa (bunga) koyok, cat, gimpai,
gincu, tahil, koyan, d ( 1/10 tahil ), hun ( 1/100 tahil) , 1 inci),
tohar, tokok, angklong, candu, kaci.
Rumah dan peralatan
Loting, pangkin, angloh, loceng, langkan, kangka, bangsal, tongkang, jong, sampan, beca, langca, pongkis, sempua, sia, tanglong, tangsi, takpi, cawan, tekoh, uncoi, dacing, kok (belenggu tengkok haiwan ), cacing, kincir.
Manusia dan ehwalnya
Apek, loki, nyonya, cempiang, taukeh, kongsi, kicak, cinggeh, cincau, ampau, taijin, kuntau, gua, lu, sengse, samsing, lancau, suwe, toa pekong, tokong, tekong, banci, cuak, culai, lancong.
Permainan
Ceki, pakau, capjeki, congkak, cukai, mahjong.
* Kebudayaan
Hasil interaksi antara bangsa turut melahirkan budaya campuran yang diamalkan oleh satu komuniti masyarakat di Malaysia. Antara komuniti tersebut adalah seperti berikut:
i. Budaya Baba-Nyonya
Pada awal kurun ke 17 sekitar tahun 1613 M, komuniti China telah menetap di Melaka. Oleh kerana tiada pendatang Cina dari kalangan wanita mereka berkahwin dengan wanita tempatan. Justeru itu bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam urusan perniagaan tetapi dalam institusi keluarga.Lahirlah satu budaya kacukan yang dipanggil Baba dan Nyonya. Masyarakat Baba dan Nyonya dikenali kerana mereka memperkenalkan diri mereka sebagai Baba atau Peranakan. Selain itu, mereka bertutur dalam bahasa Melayu gaya mereka yang kemudiannya dikenali sebagai bahasa Melayu Baba. Bahasa yang digunakan mereka adalah bahasa dialek Melayu Baba yang diasaskan atas ragam bahasa Melayu pasar. Setiap kawasan mempunyai ragam yang dipengaruhi dialek Melayu tempatan yang berbeza-beza. Bahasa ini berbeza dengan Bahasa Melayu baku. Komuniti ini telah menyerapkan Bahasa Cina dalam perbualan seharian mereka terutama kata pinjaman dari dialek Hokkein yang berkaitan adat, kekeluargaan dan agama. Kata-kata serapan ini terus mengalami penyesuaian dari segi sebutan dan makna. Sebagainya contohnya, lau-teng = loteng, Put-Go = Datuk Uco (nama satu dewa Buddha ). Selain itu, perkataan Melayu juga mengalami perubahan bunyi dan makna. Sebagai, contoh, malaikat = malaikat ( roh nenek moyang ), kawan = kawan (suami ). Komuniti ini tidak banyak menggunakan imbuhan dalam perbualan, sebaliknya hanya menggunakan kata dasar sahaja seperti “Dia tulis surat.” Perkataan “punya” menggantikan partikel milik “nya” seperti ”bukunya” disebut ”dia punya buku”. Ringkasnya, komuniti ini berusaha meniru pelbagai aspek budaya Melayu hingga kepada aspek makanan dan masakan. Justeru itu, masakan Baba dipengaruhi oleh masakan Melayu. Mereka turut meniru gaya makan orang Melayu menggunakan tangan. Generasi yang lebih tua pula berminat menggunakan kain sarung dan kebaya sebagai pakaian seharian.
ii. Budaya China Peranakan
Terdapat dua komuniti Cina Peranakan di Malaysia. Pertama, Cina Peranakan Kelantan yang dikatakan bermula hasil wujudnya hubungan diplomatik negara Cina dengan negeri di Pantai Timur yang berlaku sejak sebelum zaman Srivijaya lagi. Komuniti ini terdapat di tebing sungai Kelantan dan Kuala Kerai di hulu sehingga ke muara Tumpat. Antara kesan interaksi yang berlaku antara mereka dengan penduduk tempatan ialah penyerapan ciri-ciri budaya Melayu di kalangan mereka. Paling ketara ialah penggunaan dialek Kelantan yang fasih dan fesyen pakaian. Wujud juga sifat saling menghormati dan lahir cita rasa yang sama antara mereka dengan penduduk tempatan seperti kegemaran kepada wayang kulit, permainan mahjong, wayang gedek dan menora. Namun ciri budaya Cina asal masih kekal pada mereka khususnya pada aspek agama. Mereka kekal berpegang pada agama asal warisan mereka terutamanya agama Buddha.
Komuniti kedua ialah Cina Peranakan Melaka dan Pulang Pinang. Masyarakat Cina Peranakan dua tempat ini menggunakan bahasa Melayu dan cara hidup Melayu, namun mereka tidak beragama Islam. Kehidupan mereka begitu dekat dengan orang Melayu. Mereka juga mengamalkan adat resam yang mirip adat resam orang Melayu, walaupun masih terdapat ciri budaya Cina lama. Mereka turut percaya kepada makhluk halus atau ghaib dan roh seperti masyarakat Melayu.
* Kesenian
Hasil interaksi antara Tamadun Melayu dan Tamadun Cina di Tanah Melayu pada zaman awal amat ketara pada aspek seni bina. Unsur seni bina Cina diserap dalam pembinaan masjid. Antara ciri khusus serapan ialah pada reka bentuk bumbung masjid yang menyerupai seni bina Pagoda. Contoh yang jelas dapat dilihat pada Masjid Tanjung Kling dan Masjid Tengkera, di Melaka. Demikian juga masjid Kampong Laut di Kelantan, masjid Demak di Jawa Timur dan beberapa tempat lain di rantau Alam Melayu. Malah, identiti reka bentuk masjid pada zaman sebelum Malaysia merdeka adalah bumbung bertingkat yang diilhamkan dari bangunan Pagoda. Reka bentuk bumbung masjid-masjid ini dihasilkan secara bertingkat-tingkat. Sekurang-kurangnya terdapat 3 tingkat bumbung masjid.
* Dasar Pendidikan Negara
Dasar pendidikan di Malaysia digubal setelah mengambilkira aspek masyarakat majmuk yang telah berinteraksi sekian lama secara harmoni. Antara dasar pelajaran tersebut ialah Penyata Barnes, Penyata Fenn-Wu, Undang-undang Pelajaran 1952, Pernyata Razak dan Penyata Rahman Talib. Semua dasar-dasar ini berperanan memupuk perpaduan dan bagi memastikan pengasingan yang wujud dalam sistem pendidikan sebelum ini dimansuhkan dan digantikan dengan sistem yang lebih seragam dan menyeluruh. Keseragaman ini lebih menjamin perpaduan rakyat. Selain itu, dasar ini juga mengambilkira perkembangan pendidikan di Sabah dan Sarawak.
* Dasar Integrasi Nasional
Malaysia telah berusaha membentuk perpaduan antara masyarakat majmuk dan integrasi yang lebih mantap antara penduduk Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah. Sehubungan ini, Dasar Integrasi Nasional digubal untuk melaksanakan proses kewujudan identiti nasional di kalangan kaum yang berbeza kebudayaan, kepercayaan dan penempatan. Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ditubuhkan pada 27 Oktober 1990 dengan objektif berikut:
1. Menggalakkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan integrasi nasional.
2. Memberi bantuan khidmat masyarakat.
3. Membangun masyarakat Orang Asli.
4. Memajukan kepentingan dan penglibatan wanita dalam pembangunan negara.
5. Menyelaras program kependudukan dan pembangunan negara.
Untuk menjayakan kementerian baru ini beberapa jabatan ditubuhkan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Hal Ehwal Wanita dan Yayasan Kebajikan Negara.
* Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan
Interaksi antara bangsa di Malaysia dipadukan melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti yang tercatat pada Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Namun, bahasa-bahasa lain boleh digunakan. Untuk mengukuhkan lagi peranan bahasa Melayu dalam masyarakat majmuk kerajaan telah membentuk Akta Bahasa Kebangsaan pada tahun 1963.
2.4.2 Kesan Negatif
Di samping kesan positif yang tersemat dalam lembaran sejarah masyarakat majmuk di Malaysia, interaksi kaum turut terdedah dengan beberapa kesan negatif. Kesan negatif yang paling penting hingga ke hari ini adalah seperti berikut:
* Jurang ekonomi
Jurang perbezaan ekonomi yang besar antara kaum di Malaysia. Jurang ini berlaku kerana sikap penjajah yang berat sebelah dan tidak mengambil berat aspek kebajikan dan masalah rakyat tempatan. Para petani yang sebahagian besar terdiri dari masyarakat Melayu sentiasa dilindungi oleh kerajaan British melalui dasar utamanya yang bertujuan menempatkan orang Melayu di kawasan luar bandar dan terus menjadikan mereka pembekal makanan kepada masyarakat bandar. Dalam hal ini, orang Melayu digalakkan mengusahakan tanaman sara diri sahaja, sedangkan masyarakat imigran di kawasan bandar terutamanya Cina terus sibuk dan maju dengan kegiatan ekonomi eksport dan import. Ini bermakna, penjajah hanya membenarkan masyarakat Melayu menjadi pekebun kecil sahaja. Jika terdapat perkampungan baru, orang Melayu dikenakan syarat tertentu seperti hanya menanam padi, kelapa dan buah-buahan.
Sehubungan itu, pembangunan kawasan banyak ditumpukan di kawasan yang bersedia menerima perubahan. Ini menyebabkan kawasan Pantai Barat Semenanjung lebih cepat mendapat kemajuan dari kawasan Pantai Timur. Perbandaran yang dicirikan penjajah memberi penumpuan kepada penduduk kaum imigran terutama kaum Cina. Ringkasnya, akibat dasar ‘pecah dan perintah” Inggeris berlaku perbezaan tumpuan sektor ekonomi. Melayu sebagai petani sara diri dan nelayan, Cina di sektor perdagangan dan perlombongan, sementara India di ladang. Ini memberi kesan kepada ketidakseimbangan antara kawasan antara desa dan bandar. Kesan ini berlanjutan hingga zaman pasca-penjajah.
* Jurang Sosial
Jurang ekonomi memberi kesan kepada jurang sosial. Lantaran itu wujud kelompok masyarakat kaya yang banyak terbina dari kalangan masyarakat bandar dan masyarakat miskin yang wujud di kalangan masyarakat luar bandar. Secara tidak langsung, keadaan ini telah mengubah struktur masyarakat Melayu dan peribumi kepada masyarakat yang kompleks dan berkelas. Kelas atasan terdiri sari golongan bangsawan Melayu, saudagar, pengurus dan pengusaha yang terdiri daripada orang asing dan Cina. Kelas pertengahan adalah masyarakat etnik Cina dan sedikit dari golongan India, sebilangan kecil individu Melayu dan lain-lain kaum bumiputera. Kelas bawahan merupakan majoriti masyarakat Melayu dan peribumi. Ini memberi kesan seolah-olah wujud susun lapis dan kelas masyarakat berdasarkan lunas perkauman.
* Pencapaian Tidak Seimbang
Pencapaian yang tidak seimbang juga berlaku dalam aspek penting khususnya pendidikan. Sistem pendidikan penjajah mewujudkan sekolah mengikut kaum dan logistik etnik di Malaysia. Pengasingan sistem pendidikan mula berlaku antara etnik. Masyarakat Melayu dengan pendidikan Melayu, etnik India dengan pendidikan berteras bahasa Tamil dan etnik Cina dengan teras bahasa Mandarin. Sementara komuniti peribumi yang terdiri dari Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak tidak diberikan pendidikan.
BAB 3
ISLAM DAN TAMADUN MELAYU
3.0 PENDAHULUAN
Islam adalah agama universal yang datang dari Allah SWT untuk semua manusia. Ia memberi sinar kepada manusia dalam mencorakkan tamadun ke arah kesempurnaan berdasarkan panduan wahyu Ilahi, di samping tidak mengetepikan peranan akal manusia. Sinar Islam turut dirasai oleh penduduk di rantau Alam Melayu apabila bermula usaha menyebarkan Islam. Usaha ini membuahkan hasil yang dapat disaksikan hingga hari ini kerana tugas penyebaran Islam dipertanggungjawabkan kepada setiap umat Islam, tanpa mengira bangsa, warna kulit, keturunan dan jawatan. Justeru itu, kini umat Islam berada di serata dunia dan terdiri dari pelbagai bangsa dan warna kulit.
Keberadaan Islam di rantau Alam Melayu yang terdiri dari daratan dan kepulauan yang banyak jumlahnya telah berjaya membina satu imej baru kepada masyarakat rantau Melayu. Alam Melayu berjaya menampilkan sebuah tamadun yang gemilang terutama setelah kedatangan Islam ke rantau ini. Umat Melayu berjaya membina kecemerlangan dan kegemilangan dalam pelbagai bidang yang dimulai dengan keagungan pemerintahan, pelaksanaan undang-undang, kesungguhan pendidikan, kerancakan ekonomi dan kemurnian budaya serta sosial. Kejayaan ini berjaya dibina oleh generasi awal berasaskan fahaman agama Islam yang berteras tauhid. Bukti kejayaan tamadun dihuraikan pada perincian bab ini. Walaupun kejayaan yang dibina berdasarkan pencapaian dan kepintaran zaman tersebut yang banyak bergantung kepada bahan alam yang tidak terlalu kompleks teknologi penciptaannya, masyarakat Melayu tetap bergerak aktif dan mampu berinteraksi dan bersaing dengan bangsa Asia lain seperti bangsa Cina dan India. Umat Melayu mampu membina satu jati diri bangsa yang disegani dan menjadi contoh teladan.
3.1 KONSEP TAMADUN MELAYU
Tamadun Melayu merupakan sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang-orang Melayu dan bertempat di suatu wilayah di Asia Tenggara. Wilayah ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Gugusan Kepulauan Melayu, gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia, Nusantara, Alam Melayu dan Tanah Jawi. (TITAS, 2004: 163) Sebelum Perang Dunia II, kawasan ini dirujuk sebagai Asia of the Monsoons, East Indies dan juga Further India atau Hindia Jauh. (Azam Hamzah, 1997: 1)
3.1.1 Istilah Melayu
Istilah Melayu mempunyai maksud yang dalam dan luas. Sebahagian pengkaji menegaskan, pada istilah Melayu terdapat dua pengertian, iaitu “Melayu” dan “kemelayuan”. “Melayu” dimaksudkan sebagai satu rumpun bangsa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu, sementara “kemelayuan” mengandungi erti “nilai anutan” dan “jati diri Melayu” (Tenas Effendy).
Zainal Abidin Borhan (2004) pula menegaskan Melayu merupakan satu masyarakat peribumi atau masyarakat asal rantau ini, rantau atau wilayah kebudayaan yang disebut sebagai Malay Archipelago, Kepulauan Melayu atau Alam Melayu. Kesatuan Melayu ini hidup aman, damai dan rukun lantaran sifat adaptif, akomodatif dan assimilatif. Pengaruh asing yang meresap disaring oleh para genius lokal menjadi sebahagian budaya Melayu. Genius Melayu terdiri daripada para penulis, sasterawan, pedagang, pelayar, pengukir, penasihat pemerintah, alim ulama dan pemerintah.
Kesatuan Melayu begitu mantap di kalangan masyarakat Melayu kerana nilai kemelayuan yang dimiliki. Nilai kemelayuan penuh dengan falsafah yang memberi pengertian kehidupan bangsa Melayu dalam membina jati diri bangsa. (Tenas Effendy)
Tamadun Melayu tidak mengambil kira sumbangan beberapa kerajaan awal Alam Melayu seperti kerajaan Srivijaya di Palembang, Langkasuka di Kedah dan Kerajaan Majapahit di Pulau Jawa yang telah dibina lebih awal daripada Tamadun Melayu, walaupun sejarah membuktikan bahasa Melayu telah mula digunakan lebih awal daripada kemunculan Tamadun Melayu. Ini kerana tamadun awal ini tidak mempunyai rantaian dengan tamadun Melayu yang muncul setelah kewujudan pengaruh Islam di rantau Alam Melayu. Ikatan rantaian ini terputus kerana dasar pembinaan masyarakat pada kerajaan awal mempunyai tunjang yang berbeza dengan tamadun Melayu yang muncul kemudian. Tunjang yang dimaksudkan ialah agama Islam.
Oleh itu, istilah Melayu boleh ditakrifkan berdasarkan kriteria berikut:
> Rumpun bangsa dan bahasanya iaitu Melayu.
> Pelbagai suku yang tergolong dalam Melayu-Indonesia seperti Jawa, Sunda, Madura, Aceh, Minangkabau, Bajau, Murut, Bugis, Sasak, Melanau, Iban, Sulu dan sebagainya. (TITAS, 2004: 163)
3.1.2 Tamadun Melayu
Tamadun Melayu adalah tamadun menyeluruh yang dibangunkan oleh bangsa Melayu berteraskan bahasa Melayu setelah kedatangan dan penerimaan Islam di seluruh rantau Alam Melayu. Pemahaman terhadap Tamadun Melayu sebagai satu tamadun bangsa di rantau Alam Melayu amat bersandar kepada pemahaman terhadap Tamadun Islam. Ini kerana kemunculan Tamadun Melayu bertitik tolak dari penerimaan Islam oleh masyarakat rantau Alam Melayu secara keseluruhannya. Pengajaran akidah Islam oleh para mubaligh Islam di seluruh rantau Alam Melayu secara bertahap-tahap telah membina asas Tamadun Melayu. Situasi ini bertambah mantap apabila para mubaligh berjaya menarik minat pemerintah Melayu. Sedikit demi sedikit pemerintah Melayu beralih kepada kepercayaan Islam. Penerimaan ini memberi kesan yang amat besar kepada pembinaan Tamadun Melayu sebagai satu tamadun yang menghubungjalin suku kaum Melayu yang pelbagai. Sebagai contohnya, Merah Silu di Pasai, Sumatera telah menerima akidah Islam. Demikian juga Parameswara di Melaka telah bersedia menerima akidah Islam dari Syed Abdul Aziz untuk dirinya, keluarganya dan kemudiannya masyarakat Melayu secara bertahap-tahap mengikut jejak pemerintahnya.
Tamadun Melayu terbina dengan nilai falsafah Islam yang tercerna dalam world view masyarakat Melayu. Setiap gerak, tingkah dan usaha orang Melayu disandarkan kepada falsafah Islam. Justeru itu, akar umbi bagi Tamadun Melayu adalah Tamadun Islam. Hal ini menjadi kaitan utama kerana Islam telah berjaya merubah kepercayaan, pemikiran, cita rasa dan tingkah laku masyarakat Melayu di negara dan rantau ini. Menurut Mohd Taib Osman (1988: 2);
“Budaya orang Melayu; persambungan dan perubahan berlaku setiap kali tibanya pengaruh peradaban-peradaban luar, pertamanya daripada peradaban India, kemudian peradaban Islam dan mulai abad yang lalu, kita di Semenanjung secara menyeluruh, daripada peradaban Barat moden. Pada tiap-tiap titik tibanya pengaruh luar itu, terdapat ciri-ciri yang telah sedia memperlanjutkan budaya di samping munculnya ciri-ciri yang mengasaskan perubahan”.
Kehadiran Islam di Alam Melayu telah membawa perubahan besar ke atas nilai dan budaya orang Melayu. Peralihan gaya berfikir, corak sosial, dan interaksi muamalat di kalangan orang Melayu dan masyarakat sekitar telah diungguli oleh nilai tradisi Islam, sehingga unsur-unsur Hindu-Buddha hampir terhakis dalam gaya hidup dan corak pemikiran masyarakat Melayu. Meskipun demikian, masyarakat Melayu tidak menolak sepenuhnya amalan dan nilai tradisi Hindu dan mereka tetap mengekalkan unsur-unsur yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Syed Muhammad Naquib menegaskan bahawa agama Islam telah mengubah jiwa dan fizikal masyarakat Melayu Malaysia dan Indonesia. Manakala Mohd Taib Osman pula berpendapat bahawa kedatangan Islam ke Nusantara telah membawa perubahan sehingga menjadikannya sebahagian daripada dunia Islam (Ismail Hamid, 1991:60). Perubahan-perubahan yang maksudkan oleh kedua-dua tokoh di atas dapat dilihat daripada semua aspek kehidupan seperti bidang bahasa, sastera, intelektual, undang-undang, kepercayaan, politik, adat istiadat dan kesenian.
Tamadun Melayu tidak mengambil kira sumbangan beberapa kerajaan awal Alam Melayu seperti kerajaan Srivijaya di Palembang, Langkasuka di Kedah dan Kerajaan Majapahit di Pulau Jawa yang telah dibina lebih awal daripada Tamadun Melayu, walaupun sejarah membuktikan bahasa Melayu telah mula digunakan lebih awal daripada kemunculan Tamadun Melayu. Ini kerana tamadun awal ini tidak mempunyai rantaian dengan tamadun Melayu yang muncul setelah kewujudan pengaruh Islam di rantau Alam Melayu. Ikatan rantaian ini terputus kerana dasar pembinaan masyarakat pada kerajaan awal mempunyai tunjang yang berbeza dengan tamadun Melayu yang muncul kemudian. Tunjang yang dimaksudkan ialah agama Islam.
3.1.3 Nilai-nilai Asas Kemelayuan
Menurut Tenas Effendy, nilai-nilai asas kemelayuan terangkum dalam “Pakaian Duapuluh lima” atau “Sifat dua puluh lima”. Nilai-nilai ini meresap dan berakar umbi menjadi sifat masyarakat Melayu. Ini menyebabkan anak Melayu “menjadi orang” yang sempurna lahirian dan batiniah. Inilah asas jati diri Melayu. Nilai-nilai tersebut adalah seperti berikut:
i. Sifat tahu asal mula jadi, tahu berpegang pada Yang Satu.
ii. Sifat tahu membalas budi.
iii. Sifat hidup bertenggangan, mati berpegangan.
iv. Sifat tahukan bodoh diri.
v. Sifat tahu diri.
vi. Sifat hidup memegang amanah.
vii. Sifat benang orang.
viii. Sifat tahan menentang matahari.
ix. Sifat tahu menyimak, pandai menyimpai.
x. Sifat menang dalam kalah.
xi. Sifat tahan berkering, mau berbasah.
xii. Sifat tahu unjuk dengan beri, tahu hidup bertenggangan.
xiii. Sifat timbang dengan sukat.
xiv. Sifat tahukan malu.
xv. Sifat berpada-pada.
xvi. Sifat ingat dengan minat.
xvii. Sifat hemat dan cermat.
xviii. Sifat tahu harta berpunya, tahu pinjam memulangkan.
xix. Sifat tahu hidup meninggalkan, tahu mati mewariskan.
xx. Sifat lasak mengekas, tekun mengais.
xxi. Sifat menggulat air setimba.
xxii. Sifat merendah menjunjung tuah.
xxiii. Sifat lapang terbuka tangan.
xxiv. Sifat berbaik sangka.
xxv. Sifat Yang Pucuk.
Nilai-nilai murni ini dikuatkan dengan adanya nilai-nilai yang dipantang oleh orang Melayu. Nilai pantang ini dikenali dengan “Pantangan anak Melayu”. Nilai ini juga berjumlah dua puluh lima sebagaimana nilai “Sifat dua puluh lima“. Kerana itu, nilai ini juga dikenali dengan “Pantangan yang dua puluh lima.“ Pantangan tersebut adalah seperti berikut :
i. Membelakangi syarak
ii. Durhaka kepada orang tua
iii. Membuang adat lembaga
iv. Bermanja-manja
v. Mengada-ada
vi. Berlengah-lengah
vii. Besar kepala
viii. Buta keta atau mata kayu
ix. Bercawat ekor
x. Makan menghabiskan
xi. Bercabang lidah
xii. Jilat menjilat
xiii. Meminta-minta
xiv. Menjilat ludah
xv. Membuang petuah
xvi. Bermegah-megah
xvii. Membabi buta
xviii. Lupakan hutang
xix. Berburuk sangka
xx. Muka tebal atau tebal muka
xxi. Mencampakkan beban di bahu
xxii. Mengoyak baju di badan
xxiii. Menggunting dalam lipatan
xxiv. Menjala angin
xxv. Kerja tak menyudah
Nilai-nilai kemelayuan yang dibentangkan di atas menggambarkan jatidiri Melayu yang murni dan mantap. Jatidiri ini menjadikan masyarakat Melayu mampu menghadapi sebarang cabaran dan kemungkinan.
3.2 Kedatangan Islam ke Alam Melayu
Terdapat pelbagai teori yang diutarakan oleh sejarawan mengenai kedatangan Islam ke Alam Melayu. Para sejarawan tempatan cenderung mengatakan Islam telah datang ke rantau ini sejak abad 7 M dengan usaha para mubaligh dari Semenanjong Tanah Arab. Sebilangan besar sejarawan Barat pula menegaskan kedatangan Islam ke rantau ini berlaku pada penghujung abad 13 M dan di sepanjang abad 14 M, iaitu kira-kira antara tahun 1292 hingga 1390 M. Golongan yang bertanggungjawab membawa Islam pada tahun-tahun ini ialah saudagar-saudagar India dan China. (Azam Hamzah, 1997: 3)
Secara umumnya terdapat tiga teori mengenai kedatangan Islam ke Alam Melayu. Teori-teori tersebut adalah seperti berikut:
3.2.1 Teori Dari India
Teori ini dipelopori oleh Snouck Hurgronje dan mendapat sokongan dari kebanyakan sejarawan orientalis seperti R.O.Winstedt, B. Harrison, Mouquette, D.G.E.Hall, J. Gonda, Marrison, Bousquet, Vlekke dan sebagainya. Snouck menyatakan di dalam bukunya Islam di Hindia Belanda bahawa:
"Setelah sebahagian bangsa India memeluk Islam, maka orang-orang Islam dari India turut mengambil bahagian lalu lintas dan imigrasi di Nusantara, dan mereka itulah yang memasukkan Islam ke wilayah Nusantara."
Antara hujah yang digunakan untuk mengukuhkan teori ini adalah seperti berikut:
1. Batu-batu nisan awal yang dijumpai di Alam Melayu diimport dari Kambay (Kembayat ) Gujerat, India.
2. Peranan penting yang dimainkan oleh pedagang-pedagang Gujerat di Kepulauan Melayu dan kesannya terhadap penyebaran Islam.
3. Tradisi kesusasteraan Melayu mirip kepada tradisi Islam di India.
Selain dari itu, mereka juga bergantung kepada catatan pengembara seperti Marco Polo dan Ibn Batutah yang pernah melawat Alam Melayu sekitar abad 13 dan 14 M. (Mahayudin Hj Yahaya, 1996: 558) Dalam catatan Marco Polo ketika singgah di Sumatera pada tahun 1292 M, beliau menyaksikan penduduk Perlak telah memeluk Islam, sedangkan penduduk samudera lain masih lagi belum menerima Islam. Catatan Ibn Batutah pula menyebutkan beliau telah melawat Pase (Pasai) pada tahun 1345 M dan mendapati penduduknya telah beragama Islam. (Azam Hamzah, 1997: 4)
Hujah golongan ini bertambah kukuh dengan penemuan makam Sultan Malik al-Salleh, pemerintah Pasai yang disebut dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Raja-raja Pasai sebagai pemerintah pertama di Kepulauan Melayu sekitar abad ke-13 M. Penemuan ini meyakinkan mereka bahawa Islam tersebar di Alam Melayu hanya pada sekitar abad tersebut. (Mahayudin Hj Yahaya, 1996: 558)
Teori ini mempunyai beberapa kelemahan. Malah kajian terkini mempunyai hujah yang lebih kukuh untuk menyatakan bahawa interaksi Alam Melayu dengan Semenanjong Tanah Arab telah berlaku lebih awal lagi, khususnya sebelum kemunculan Islam. Antara kelemahan teori ini adalah seperti di bawah:
1. Hujah menyatakan batu-batu nisan yang dijumpai di Kepulauan Melayu menyerupai atau dibawa dari India sebagai bukti Islam dibawa dari India adalah tidak tepat. Ini kerana batu nisan merupakan salah satu barang dagangan yang mungkin diperdagangkan oleh pedagang India.
2. Adalah tidak tepat untuk menyatakan hanya pedagang India sahaja yang berdagang di Kepulauan Melayu sehingga terpaksa menunggu mereka memeluk Islam terlebih dahulu sebelum kawasan ini diislamkan. Malah terdapat juga pedagang lain seperti dari Arab. Ini adalah berdasarkan pendapat J.C.Van Leur bahawa telah ada penempatan Arab di Canton, China sejak abad 4 M lagi. Pedagang Arab yang melalui jalan laut singgah ke pelabuhan-pelabuhan di Kepulauan Melayu untuk mendapatkan bekalan atau menunggu musim angin yang sesuai untuk meneruskan pelayaran sambil berdagang.
3. Tradisi kesusasteraan Islam di kepulauan Melayu mirip tradisi Islam India juga tidak dapat diterima kerana perkembangan tradisi sastera agak lewat, iaitu setelah Islam lama bertapak di kawasan ini. (Mahayudin Hj Yahaya, 1996: 558 )
Selain itu, terdapat juga perselisihan pendapat di kalangan para sejarawan mengenai daerah di India yang memainkan peranan menyebarkan Islam ke Alam Melayu. Daerah-daerah yang menjadi bahan perdebatan adalah seperti berikut:
1. Gujerat
Daerah ini dikemukan berdasarkan kajian G.P. Moquette. Menurut kajian beliau, terdapat persamaan dua batu nisan di Kepulauan Alam Melayu, iaitu batu nisan di Pasai yang bertarikh 1428 M dan batu nisan Maulana Malik Ibrahim di Grisek bertarikh 1419 M dengan batu nisan Umar ibn Ahmad Kazarumi di Gujerat. Teori ini disokong oleh beberapa pengkaji barat yang lain seperti W.P. Stuterheim, J. Gonda dan C.A.O. Van Nieuwenhuijze.
Walau bagaimanapun teori ini juga mempunyai kelemahan yang jelas, antaranya tarikh pengislaman Pasai lebih awal daripada tarikh yang tercatat pada batu nisan yang ditemui. Pasai telah menerima Islam pada tahun 1042 M sedangkan Gujerat ketika itu belum menerima Islam lagi. Selain itu, persamaan batu nisan di Alam Melayu dengan Gujerat boleh menunjukkan batu nisan mudah dipesan dari Gujerat, bukan sebagai bukti Islam disebarkan dari Gujerat. ( S.M. Naquib Al-Attas 1972 : 33 )
2. Benggala
S.Q.Fatimi pula membuat hipotesis Islam berasal dari Benggala. Beliau bersandarkan kajian Tome Pires dalam bukunya berjudul Suma Oriental. Menurut Tome Pires, Malik al-Salih yang merupakan sultan Islam pertama di Pasai adalah seorang pedagang Benggali yang berasal dari Benggala. Berdasarkan pandangan ini, Fatimi menyimpulkan Islam juga berasal dari Benggala. Selain itu, S.Q. Fatimi juga beranggapan pendapat Tomes Pires sejajar dengan tanggapan yang menegaskan Pasai adalah negeri pertama di Alam Melayu yang menerima Islam. Teori ini juga boleh disanggah dengan jawapan berikut:
Pertama: Raja Pasai yang pertama adalah Meurah Giri atau Sultan Mahmud Syah yang mula memerintah pada tahun 1042 M.
Kedua: Asal usul Malik al-Salih dari Benggala juga tidak mempunyai bukti yang kukuh.
3. India Selatan
Pendapat ini dikemukakan oleh Van Ronkel dengan alasan bahawa bentuk-bentuk popular dalam budaya masyarakat Islam di Kepulauan Alam Melayu seperti ciri-ciri mistik, sastera roman dan sebagainya seperti yang terdapat di Indonesia berasal dari India Selatan.
4. Malabar
Antara pendukung teori ini ialah Thomas Arnold. Beliau berdasarkan persamaan mazhab Shafie antara masyarakat Islam Malabar dengan masyarakat Islam di Indonesia.
Kedua-dua teori yang mengatakan Islam berasal dari India Selatan dan Malabar tidak mempunyai asas yang kukuh kerana ajaran Islam yang berkembang di India pada ketika itu memang merupakan fenomena dunia Islam keseluruhannya, sama ada dari segi pemikiran fikah mahupun tasawuf. (Abdul Rahman Haji Abdullah, 1990 : 44-45 )
Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (1990) dalam bukunya Pemikiran Umat Islam Di Nusantara kelemahan terbesar pendukung teori ini ialah anggapan mereka bahawa agama Islam di Alam Melayu hanya bertapak pada abad ke-13 M, sedangkan Islam telah bertapak sejak abad pertama hijrah lagi iaitu sejak 7 masihi lagi. Walau bagaimanapun, tidaklah dinafikan para mubaligh dari India turut memainkan peranan aktif dalam proses Islamisasi di Alam Melayu terutama pada abad ke-13 M.
3.2.2 Teori Dari Cina dan Campa
Teori ini dibahaskan oleh Prof. S.Q.Fatimi dalam bukunya Islam Comes to Malaysia. Pendapat beliau ini berdasarkan fakta perpindahan beramai-ramai orang Islam dari Canton, Cina sekitar tahun 876 M akibat pemberontakan yang mengorbankan seramai 100,000 hingga 150,000 orang Islam di wilayah ini. (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559) Tragedi pemberontakan ini terjadi akibat tanggapan penduduk tempatan yang mengatakan bahawa kedudukan kukuh di kalangan masyarakat Arab-Islam yang bermastautin di Canton boleh mengancam ekonomi dan keselamatan masyarakat Cina. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 39)
Impak peristiwa hitam ini, berlaku penghijrahan masyarakat Arab-Islam Canton ke Kepulauan Melayu. S.M. Naquib turut mempunyai pandangan yang sama terhadap isu penghijrahan ini. Malah menurut beliau, masyarakat Arab-Islam Canton telah berhijrah ke Kedah dan Palembang. Selain itu, terdapat juga sebilangan masyarakat Arab-Islam Canton yang berhijrah ke Campa, Brunei, pantai timur Tanah Melayu (Patani, Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Pulau Jawa sebelah timur. Penghijrahan ini memberi kesan dalam penyebaran Islam di kawasan-kawasan tersebut. (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559)
Seandainya kejadian tersebut dikaitkan dengan bukti-bukti tempatan, memang ada kemungkinan Islam di Alam Melayu datang melalui negara Cina. Kesan awal yang ditemui ialah batu nisan seorang wali keturunan Arab bertarikh 419 H (1028 M) yang ditemui di Pekan, Pahang. Batu nisan ini mengandungi tulisan ayat-ayat al-Qur’an. Demikian juga bukti yang paling terkenal iaitu Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 702 H (1303 M) yang mengandungi tulisan mengenai kewajipan mematuhi hukum Allah S.W.T. seperti hukuman bagi pesalah zina dan sebagainya. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 40)
Selain kesan di pantai timur Semenanjung yang memberi kemungkinan Islam datang melalui Cina, terdapat juga bukti pertapakan Islam di Kedah. Bukti pertama ialah penemuan batu nisan di Langgar, Kedah yang terukir nama Syeikh Abdul Qadir ibn Husain Syah Alam bertarikh 219 H (903M). Bukti kedua pula ialah peranan seorang Arab bernama Syeikh Abdullah Yamani yang berjaya mengislamkan Maharaja Drebar, Raja II pemerintah Kedah dengan nama Islamnya Sultan Muzaffar Syah pada tahun 1136. (Ibid) Selain dari bukti-bukti tersebut terdapat bukti-bukti lain seperti batu nisan seorang puteri Islam di Brunei bertarikh 1048 M, batu nisan Fatimah bt. Maimun bin Hibatu’Llah di Leran, Jawa Timur bertarikh 1082 M. (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559)
Terdapat juga di kalangan sejarawan yang berpandangan wilayah Indo-China sebagai tempat asal penyebaran Islam di Alam Melayu. Islam dikatakan telah berkembang di Campa, Kemboja sejak abad 8 M. Penduduk Alam Melayu dikatakan telah berinteraksi dengan wilayah ini sejak abad 7 M lagi menerusi penaklukan dan perkahwinan, terutamanya perkahwinan keluarga Diraja. Bukti yang menunjukkan Islam terlebih dahulu tersebar di Campa juga melalui penemuan beberapa batu nisan yang mempunyai tulisan Arab bertarikh 1039 M dan sebuah batu peringatan bertarikh 1025 M yang mencatatkan beberapa hukum-hukum Islam. (Azam Hamzah, 1997: 14)
Selain itu, bukti yang jelas bagi pendukung teori ini ialah kesediaan Cina memberi naungan kepada kerajaan Islam melalui hubungan diplomatik. Di samping itu, bukti seni bina juga menjadi hujah untuk mengatakan Islam berasal dari Cina. Bukti seni bina yang menjadi alasan kukuh ialah seni bina masjid terutamanya di Melaka, Kelantan dan Pulau Jawa, Indonesia yang mirip berbentuk pagoda di Cina.
Walaupun bukti-bukti yang dikemukakan tersebut agak menyakinkan, tidaklah bermakna Islam hanya baru diperkenalkan di Alam Melayu pada waktu itu kerana terdapat bukti wujudnya penempatan orang Islam di kawasan ini terutama di bahagian utara Sumatera lebih awal dari tarikh-tarikh tersebut. ( Mahayudin Hj Yahaya 1996 : 559 )
3.2.3 Teori Dari Tanah Arab
Teori yang menyatakan Islam disebarkan terus dari Tanah Arab ke Kepulauan Melayu mendapat sokongan ramai kerana teori ini mempunyai asas yang lebih kukuh. (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559 ) Teori ini didokong oleh kebanyakan sarjana Alam Melayu seperti Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof. Dr. Hamka, Prof. Caesar Adib Majul dan sebagainya. Teori ini kemudiannya turut disokong oleh sarjana Barat seperti Niemann dan Pijnappel. (Azam Hamzah 1997: 6).
Teori ini menyatakan Islam dibawa ke Alam Melayu sejak abad pertama hijrah berdasarkan wujudnya aktiviti perdagangan dengan pedagang Arab sejak zaman pra-Islam lagi. (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559) Ini menunjukkan pada ketika itu orang Arab telah mengetahui kedudukan dan kepentingan Alam Melayu dan kemungkinan besar hubungan tersebut berlanjutan selepas kedatangan Islam.
Abdul Rahman Haji Abdullah mengukuhkan teori Islam berasal dari Tanah Arab dengan membahagikan peringkat-peringkat kedatangan Islam di Kepulauan Alam Melayu kepada tiga peringkat. Peringkat-peringkat tersebut bermula dengan tahap persinggahan, pertapakan dan penyebaran secara meluas.
Tahap Persinggahan
Kedatangan Islam ke rantau Alam Melayu pada tahap ini ialah kerana faktor perdagangan. Menurut Prof. Hamka, orang Arab telah belayar ke Alam Melayu sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. untuk membeli rempah dan kapur barus yang tidak terdapat di tempat lain, kecuali di Sumatera. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 26) Selain dari keperluan barangan tersebut yang menghasilkan hubungan secara langsung dengan Tanah Arab, wujud juga hubungan secara tidak langsung apabila pedagang Arab dan Parsi menjalankan kegiatan perdagangan dengan Cina. Pada umumnya, orang Arab menggunakan jalan laut melintasi pantai India dan Kepulauan Melayu. Semasa dalam pelayaran, sebahagian daripada mereka telah singgah di pusat-pusat perdagangan di laluan laut, termasuklah di Kepulauan Melayu (Ibid). Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan catatan I-Tshing, seorang pengembara Cina yang menyebut pada tahu 671 M, beliau belayar dari Canton ke Sumatera dengan sebuah kapal kepunyaan saudagar Arab. Bukti ini juga menunjukkan kemungkinan merekalah antara orang yang awal mengislamkan penduduk Alam Melayu (Azam Hamzah 1997: 7) .
Mengenai tarikh bermulanya hubungan Arab dengan negara Cina, terdapat catatan Cina yang menunjukkan pada abad 4 M sudah terdapat penempatan orang Arab dan Parsi di negara Cina. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 28) Ini menunjukkan bahawa hubungan Arab-Cina telah berlaku sebelum kelahiran Islam lagi. Kepentingan Alam Melayu sebagai kawasan perdagangan bagi orang Arab terus kekal selepas kemunculan Islam pada abad 7 M. (Ibid) Apabila orang Arab telah menerima Islam maka bermulalah pertapakan Islam di kawasan Alam Melayu (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559).
Hujah ini dikuatkan lagi dengan peristiwa `Am al-Wufud atau ”Tahun Perutusan” yang berlaku pada tahun 630 M. Dalam peristiwa ini, bangsa Arab dari segenap pelusuk telah menyatakan pengislaman mereka terhadap Rasulullah S.A.W. yang akhirnya seluruh Semenanjung Tanah Arab telah menganut Islam termasuklah Yaman. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 32) Pengislaman Yaman sekitar tahun 630-631 M di atas usaha Sayyidina Ali bin Abi Talib memberi impak besar terhadap proses Islamisasi di Alam Melayu. Ini kerana sebahagian besar para pedagang yang berdagang ke rantau ini terdiri dari kalangan masyarakat Islam Yaman, selain dari Hadramaut dan Oman. Mereka telah menyebarkan Islam semasa singgah di pelabuhan-pelabuhan rantau Alam Melayu (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559)
Selain itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa Islam tersebar ke kepulauan Melayu pada tahun 30 Hijrah/561 M, iaitu pada zaman Sayyidina Uthman ibn Affan (644-656 M). Ketika ini utusan rasmi telah dihantar ke Cina. Oleh sebab tempoh perjalanan mengambil masa sekitar 4 tahun, mereka turut diutus ke Pulau Jawa dan pulau-pulau sekitarnya ( Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 33 ).
Berdasrkan bukti-bukti di atas bolehlah dikatakan bahawa orang Arab Islam telah singgah di rantau ini sejak zaman Rasulullah S.A.W. dan Khulafa’ al-Rasyidin lagi iaitu pada abad 7 M.
Tahap Pertapakan
Tahap ini berlaku pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah dan Abbasiyah. Pada tahun 674 M, iaitu pada zaman Muawiyah ibni Abi Sufyan dikatakan sudah terdapat penempatan orang Arab-Islam yang dikenali Ta-shih3 di pantai barat Sumatera dan di Pulau Jawa. Menurut catatan sejarah, Muawiyah pernah menghantar utusan ke Pulau Jawa untuk mengadakan hubungan perdagangan. Selain itu, beliau turut mengutus surat kepada Raja Srivijaya di Jambi bernama Lokitavarman untuk menyarankan supaya beliau menganut agama Islam serta menjalin hubungan dagang dengan Damsyik. Hubungan tersebut diteruskan oleh Sulaiman bin Abd Malik (715-717 M). Baginda telah menghantar angkatan yang mengandungi 35 buah kapal ke Muara Sabak di Jambi untuk menjalankan perdagangan lada.
Bagaimanapun usaha dakwah dikatakan hanya berjaya semasa pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz (717-720 M). Beliau telah berjaya mengislamkan raja Srindravarman (pengganti Lokitavarnam) menganut Islam pada tahun 718 M dan kerajaannya dikenal dengan nama Sribuza Islam. Dikatakan juga pada tahun 726 M, Raja Jay Sima yang merupakan putera Ratu Sima, seorang pemimpin di Pulau Jawa telah memeluk Islam.
Terdapat juga kegiatan dakwah yang dilakukan oleh orang perseorangan terutamanya akibat pergolakan politik di zaman Bani Umaiyah dan Abbasiyyah. Sebahagian golongan Syiah melarikan diri ke Alam Melayu dan menjalankan kegiatan dakwah di sini. Pada zaman pemerintahan Abd al-Malik bin Marwan (685-705M ) dikatakan telah ada golongan Syiah di Kepulauan Sila iaitu Pulau Sulu, Sulawesi dan Kalimantan. Di zaman al-Makmun pula, satu rombongan dakwah seramai 100 orang di bawah pimpinan Nakhoda Khalifah telah tiba di Perlak pada 800 M yang ketika itu diperintah oleh Meurah Sharh Nuwi daripada keturunan Parsi. Salah seorang pendakwah bernama Ali bin Muhammad bin Jafar al-Sadiq telah berkahwin dengan adik Meurah Sharh Nuwi bernama Puteri Makhdum Tanshuri. Hasil perkahwinan ini lahirlah Sayyid Abd al-Aziz yang menjadi raja pertama Kerajaan Perlak pada tahun 840 M dengan gelaran Sultan Sayyid Maulana Abd al-Aziz Syah. (Ibid)
Tahap Penyebaran Islam secara meluas
Penyebaran Islam di Alam Melayu berlaku secara meluas selepas abad 13 M, khususnya setelah banyak wilayah di Alam Melayu menerima Islam hasil dari proses dakwah dan asilmilasi antara para pedagang yang turut bertindak sebagai da’ie dengan masyarakat tempatan (Wan Kamariah Leman & Salmah Hussain 2006: 13).
Pada tahap ini, dunia Islam amnya dan Asia Barat khususnya mula menghadapi cabaran luaran dan dalaman. Cabaran luaran bermula sejak abad 11 hingga 13 M. Pada masa ini, umat Islam diancam oleh Gerakan Salibiyyah dari Barat yang membangkitkan semangat untuk membebaskan semula Baitul Maqdis. Demikian juga keruntuhan Baghdad ke tangan Mongol dari Monggolia pada tahun 1258 M. Cabaran dalaman pula terlihat pada kebangkitan kaum Syiah, terutamanya puak ghulah (ekstrem). Cabaran ini merupakan cabaran yang paling besar bagi umat Islam kerana lahir banyak perselisihan di kalangan sesama umat Islam. Tragedi yang paling dahsyat ialah tindakan mereka mengundang Hulagu Khan untuk menyerang Baghdad. Walau bagaimanapun, dalam kehancuran tersebut terdirilah kerajaan Ayyubiyah di Mesir pada tahun 1171 M setelah menewaskan kerajaan Fatimiyyah. Setelah itu, muncul pula kerajaan Mamluk, kerajaan Turki Uthmaniyyah di Asia Kecil dan kerajaan Delhi dan Monghul di India. Pergolakan politik dalam dunia Islam ini turut memberi impak ke atas proses Islamisasi di Alam Melayu dalam bentuk ibadah dan tarekat (Abdul Rahman Hj Abdullah 1990: 41).
Terdapat beberapa pendakwah yang memainkan peranan pada tahap ini. Antaranya Syeikh Ismail al-Siddiq yang telah diutuskan oleh Syarif Mekah dari Tanah Arab ke Alam Melayu dengan disertai oleh Faqir Muhammad dari Malabar. Dalam misi dakwah ini, mereka telah berjaya mengislamkan wilayah Barus atau Fansur, Lamri, Haru dan Samudera di Pulau Sumatera. Menurut sesetengah pengkaji sejarah, Syeikh Ismail berperanan menukar pegangan masyarakat Alam Melayu dari Islam aliran Syiah kepada mazhab Shafii yang menjadi mazhab rasmi kerajaan Mekah di bawah pemerintahan Mamluk ketika itu. Semasa Melaka diperintah oleh Raja Kecil Besar (1424–1444 M) yang merupakan pemerintah Melaka ketiga, baginda telah berjaya diislamkan oleh seorang makhdum dari Jeddah bernama Sayyid Abd al-Aziz dan menggunakan nama dengan nama Sultan Muhammad Syah. Baginda kemudianya melantik Sayyid Abd al-Aziz sebagai kadi pertama di Melaka. Jawatan ini diperturunkan kepada keturunan Sayyid Abdul Aziz berikutnya, seperti Kadi Yusuf pada zaman Sultan Mansur Syah (1456 – 1477 M) (Ibid).
Dalam proses Islamisasi di Kepulauan Melayu ini juga tidak dapat dinafikan peranan golongan sayyid dari Hadramaut yang berpegang kepada mazhab Shafie. Golongan ini dikatakan mula tiba ke Alam Melayu sekitar abad 16 M hingga abad 20 M dan mempunyai pengaruh yang kuat (Ibid).
Walaupun kelihatan seolah-olah kegiatan dakwah hanya digerakkan oleh pendakwah dari luar Alam Melayu, namun hal ini berlaku pada zaman awal pertapakan Islam di Kepulauan Alam Melayu. Bermula pada abad 16 dan 17 M peranan tersebut telah diambil alih oleh pendakwah dan tokoh-tokoh tempatan. Malah, pada masa ini telah berlaku hubungan erat antara para ulama Alam Melayu dengan Tanah Arab, bahkan hasil dari kemajuan perkapalan, semakin ramai penganut Islam dari Alam Melayu pergi ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebahagiannya pula telah bermastautin di sana untuk mendalami ilmu agama (Ibid). Ini menunjukkan pada tahap ini Islam telah tersebar secara meluas di Alam Melayu sehingga penduduk tempatan mampu berperanan sebagai pengembang dakwah Islam. Selain itu, terdapat juga interaksi secara langsung di antara orang Arab dan Parsi dengan penduduk Alam Melayu. Interaksi ini berlaku sejak zaman pra-Islam dan bertambah kukuh selepas pengislaman masyarakat Melayu.
Selain dari hujah-hujah di atas, terdapat juga catatan sejarah tempatan yang boleh dijadikan sandaran dalam memperkuatkan teori Islam di Alam Melayu berasal dari Tanah Arab dan Parsi. Antaranya, buku Sejarah Melayu menyebut bahawa raja Melaka bernama Parameswara telah diislamkan oleh Sheikh Abd al-Aziz yang merupakan seorang ulama dari Jeddah. Baginda telah menukar namanya kepada Megat Iskandar Syah atau Sultan Muhammad Shah. (Azam Hamzah 1997: 7). Bukti lain ialah persamaan mazhab Shafi’i di kalangan penduduk Alam Melayu dengan penduduk Yaman, tulisan jawi yang berasaskan tulisan Arab/Parsi digunakan dengan meluas, nama-nama gelaran pendakwah seperti Sheikh dan Sharif serta gelaran yang digunakan oleh raja-raja Melayu seperi Malik dan Sultan adalah jelas berunsurkan Arab. Demikian juga nama-nama umum masyarakat Islam di Alam Melayu seperti Saleh, Zahir, Tahir dan sebagainya mempunyai persamaan nama di Yaman dan Mesir. Selain itu, cara pembacaan al-Qur’an masyarakat tempatan juga jelas menampakkan persamaan bacaan di Yaman dan Mesir. Hasil-hasil kesusateraan yang tersebar di Alam Melayu seperti Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Nabi Bercukur dan sebagainya jelas menampakkan pengaruh kesusasteraan Arab. Tidak ketinggalan juga dari sudut bahasa. Bahasa Melayu banyak meminjam perkataan Arab. Semua bukti ini menjadi hujah kuat untuk menegaskan bahawa Islam di rantau ini dibawa oleh para pendakwah dari Arab/Parsi (Ibid; lihat juga S.M. Naquib, 1972: 40-41).
Walau bagaimanapun dakwaan ini tidaklah bermakna menafikan langsung peranan pendakwah dari bangsa lain seperti dari India dan China dalam proses Islamisasi di Alam Melayu ini. Apatah lagi kita maklum bahawa pendakwah Islam dari India dan China juga terdiri dari pedagang-pedagang Arab. Namun peranan mereka ini didahului oleh para pendakwah dari Arab dan Parsi.
Justeru itu dapatlah disimpulkan bahawa penyebaran Islam di rantau ini dilakukan oleh semua pendakwah Islam yang sampai ke Kepulauan Melayu tanpa mengira bangsa, warna kulit, asal usul dan bidang kemahiran; sama ada mereka golongan pedagang, pendakwah atau ahli sufi. Semuanya berganding bahu dan sama-sama merasa bertanggungjawab untuk menyebarkan pesanan Rasulullah SAW berbunyi { ??? ??? ??? ??? } bermaksud: ”Sampaikanlah apa sahaja dariku walau sepotong ayat.”
3.3 ISLAMISASI ALAM MELAYU
Islam telah berperanan mencorakkan masyarakat Melayu di Alam Melayu ke arah yang lebih dinamik dan berdaya maju. Penggerak Islamisasi yang dimulakan oleh mubaligh dari luar Alam Melayu telah disambung kemudiannya oleh mubaligh Melayu tempatan tanpa mengira pangkat, kedudukan dan suku kaum. Semuanya merasa bertanggungjawab menyebar dan memahamkan Islam kepada masyarakat setempat.
Kejayaan peranan Islam ini digariskan pada faktor-faktor pemangkin Islamisasi di Alam Melayu, antaranya seperti berikut;
3.3.1 Keunggulan dan Kemurnian Islam
Ajaran Islam bersifat syumul dan menepati keperluan manusia kerana ia diwahyukan oleh Allah SWT Penerimaan yang terbatas di kalangan penduduk Alam Melayu pada peringkat awal penyebaran Islam bukanlah kerana mereka tidak berminat dengan ajaran Islam tetapi kerana tiada interaksi yang menyeluruh dengan penduduk tempatan. Pada peringkat awal, interaksi hanya berlaku secara langsung di kalangan raja-raja dan para pedagang menyebabkan penyebaran Islam terhad di kalangan golongan ini sahaja.
Setelah pengaruh Islam meluas, Islam diterima baik oleh masyarakat tempatan kerana ajarannya yang bersesuaian dengan fitrah manusia, mudah difahami dan senang dilaksanakan. Ajaran Islam difahami penuh dengan nilai-nilai murni. (Azam Hamzah 1997: 16 ) Islam bukan sebuah agama yang rumit seperti Buddha dan Hindu yang hanya dapat dipelajari oleh golongan tertentu sahaja seperti sami dan pendeta. Konsep keesaan Allah S.W.T. juga menarik minat penduduk tempatan. Mereka merasa puas kerana dapat menyembah Tuhan secara langsung dan tidak mengira tempat. Keyakinan ini jauh berbeza dengan agama anutan masyarakat Alam Melayu sebelum ini. Penjelasan Islam yang turut menggabungkan wahyu dan logik akal berkaitan semua bidang kehidupan sama ada sosial, ekonomi dan politik menambah minat penduduk di rantau Alam Melayu. (Mahayddin Hj. Yahaya 1996: 563-564 )
Ajaran Islam juga menekan konsep persamaan antara sesama manusia. Ajaran ini membebaskan mereka dari belenggu perhambaan. Selain itu, Islam turut menjamin keadilan sosial tanpa mengira kelas dan darjat manusia. Jaminan ini seolah-olah mengembalikan harga diri mereka yang sekian lama dibelenggu dengan fahaman kasta dalam ajaran Hindu. (Azam Hamzah 1997: 16)
3.3.2 Peranan Pembesar/pemimpin
Masyarakat Melayu mempunyai tradisi taat kepada pemerintah. Tradisi warisan ini dikenali sebagai ”daulat” dan ”derhaka”. Tradisi ini lahir daripada konsep pendewaan kepada pemerintah yang merupakan satu doktrin dewaraja dalam agama Hindu. Tradisi taat kepada pemerintah yang telah tertanam dalam jiwa masyarakat Alam Melayu menjadikan masyarakat tempatan mengikut setiap tindakan pemerintah tanpa bantahan dan perdebatan. Hal ini turut terjadi apabila pemerintah Melayu menerima agama Islam, semua lapisan masyarakat mengikut jejak pemerintah atau raja tanpa persoalan.
Contoh yang jelas dapat dilihat pada pengislaman rakyat di Melaka, Kedah dan Patani. Sejarah Melayu mengesahkan bila Raja Kecil Besar memeluk Islam, rakyat pun turut mengikut jejak langkah baginda. Begitu juga cerita Hikayat Merong Mahawangsa mengenai pengislaman Kedah dan Hikayat Patani mengenai pengislaman Patani. (Mahayuddin Hj. Yahaya, 1996: 562)
3.3.3 Perkahwinan.
Faktor perkahwinan turut menyumbang kepada penyebaran Islam di rantau ini. Perkahwinan yang berlaku antara pedagang Islam dengan penduduk tempatan berlaku ketika pedagang Islam menunggu ketibaan musim tiupan angin ke arah yang dituju. Penantian ini mengambil masa beberapa bulan lamanya. Syarat perkahwinan yang dijelaskan oleh pedagang Islam sudah pasti seorang wanita mestilah satu agama dengan anutan pedagang. Justeru itu wanita tempatan mestilah menerima Islam terlebih dahulu. Syarat ini mudah diterima oleh wanita dan keluarga masyarakat tempatan Alam Melayu. Ini kerana para pedagang mampu menjamin kehidupan wanita tempatan yang telah menjadi isteri pedagang Islam dengan perdagangan yang dimiliki. Status pedagang juga merupakan golongan yang dikagumi oleh penduduk tempatan. Pengislaman wanita yang menjadi isteri pedagang Islam mendorong pengislaman ahli keluarga wanita tersebut. Situasi ini memberi satu perkembangan baru ke arah penyebaran Islam secara lebih luas.
Perkahwinan pedagang Islam juga berlaku dengan puteri-puteri pemerintah tempatan. Peristiwa ini memudahkan lagi penyebaran Islam di rantau Alam Melayu. Selain itu, terdapat juga perkahwinan antara wanita Islam dengan lelaki bukan Islam. Contoh yang jelas dapat dilihat pada perkahwinan Megat Iskandar Shah dengan Puteri Pasai. (Ibid) Justru itu jelaslah bahawa Islam faktor perkahwinan ini turut memainkan peranan penting di dalam penyebaran Islam di Alam Melayu.
3.3.4 Politik dan Penaklukan.
Faktor ini diterima oleh kebanyakan sejarawan Barat, walaupun sejarawan Islam menolak faktor ini sebagai faktor perkembangan Islam di Alam Melayu. Penyebaran Islam tidak berlaku melalui peperangan, walaupun seolah-olah kelihatan peristiwa peperangan di satu-satu wilayah baru yang dimiliki oleh tentera Islam. Sebagai contohnya, penaklukan Melaka ke atas Pahang seperti yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu. Penaklukan ini bukanlah bertujuan untuk mengislamkan Pahang, tetapi cenderung kepada matlamat politik dan ekonomi kerana Pahang merupakan sebuah wilayah yang kaya dengan emas. Pengislaman Pahang berlaku kerana usaha dakwah dan perdagangan antara kedua negeri tersebut yang telah berada di bawah satu pemerintahan. Selain itu, konsep taatkan pemerintah juga menjadi sebab mereka mudah menerima Islam.
Contoh lain ialah kejayaan Kerajaan Islam Demak menawan Kerajaan Majapahit dan mengambil alih pemerintahan kerajaan di timur Pulau Jawa. Penawanan ini memberi kesan kepada pengislaman hampir seluruh rakyat di bawah jajahan takluk Kerajaan Majapahit. Hakikat pengislaman bukanlah berlaku kerana peperangan, penaklukan dan penawanan yang menggambarkan paksaan, tetapi faktor kesetiaan terhadap pemerintah yang menjadi dorongan utama tindakan masyarakat rantau Alam Melayu secara beramai-ramai nmenerima Islam sebagaimana yang dilakukan oleh pemerintah mereka (Ibid).
Jelaslah di sini bahawa Islam bukanlah tersebar dengan mata pedang sebagaimana dakwaan para orientalis tetapi didorong oleh faktor lain sebagaimana yang telah dijelaskan.
3.3.5 Perdagangan
Perdagangan yang menjadi sumber rezeki para pedagang Islam telah menyampaikan mereka ke laluan laut di rantau Alam Melayu. Para pedagang berusaha mencari rezeki melalui perdagangan dengan merentasi samudera yang luas hanya untuk memenuhi tuntutan agama Islam yang menegaskan 9/10 daripada rezeki terkandung dalam bidang perniagaan. Dengan berbekal iman dan fahaman agama Islam yang mantap, golongan saudagar belayar ke mana-mana pelabohan yang menjanjikan perniagaan. Bekal iman yang teguh ini menjadi pendorong untuk saudagar muslim turut bertindak sebagai mubaligh Islam. Marco Polo dalam catatan pengembaraannya memberi contoh pengislaman Alam Melayu menerusi faktor ini ialah pengislaman Perlak pada 1292M. Para pedagang Islam telah berjaya menawan hati kebanyakan penduduk Perlak sehingga mereka rela menganuti Islam. (Ibid) Selain itu peranan pegawai perdagangan dalam wilayah-wilayah Islam di Alam Melayu seperti peranan Syahbandar Melaka yang memberi layanan istimewa kepada pedagang Islam turut menyumbang ke arah pengislaman para pedagang lain yang berdagang di pelabuhan-pelabuhan wilayah kerajaan Islam. Sebagai contohnya, pengislaman pedagang dari Brunei, Ternate, Jawa dan Sulawesi terjadi kerana peranan Syahbandar Melaka. (Ibid )
Walaupun pengislaman menerusi faktor ini tidak meluas dan terhad di kalangan pedagang, kota dan pelabuhan sahaja tetapi ia turut mendorong ke arah proses Islamisasi di rantau Alam Melayu ini.
3.3.6. Pendakwahan.
Pendakwahan para ulama dan ahli sufi merupakan faktor penyebaran yang lebih meluas dan berkesan. Curahan bakti mereka diakui dan tidak dapat dinilai dengan material. Para ulama dan ahli sufi telah bertindak sebagai ejen perubahan yang memperkenalkan akidah baru di Alam Melayu. Dakwah mereka dapat dijalankan dengan mudah kerana dibantu oleh akhlak mulia yang dipenuhi dengan sifat-sifat kerohanian. Selain itu, para ulama dan ahli sufi mudah bergaul dengan masyarakat tempatan. Mereka mempunyai keperibadian yang sesuai dengan ajaran Islam. Situasi ini memudahkan lagi proses Islamisasi di rantau ini. (Afifah Abu Yazid, 2003: 10)
Usaha penyebaran dakwah oleh golongan ini begitu cergas pada zaman pemerintahan Khalifah Umar b. Abdul Aziz. Baginda telah menghantar para pendakwah ke seluruh pelosok dunia termasuk rantau Alam Melayu. Sekitar tahun 720 M, utusan baginda telah berjaya mengislamkan kerajaan Suwarnabhumi atau Melayu Jambi ( San-fo-tsi ) dan setelah menerima Islam kerajaan ini dikenali sebagai Sribuza Islam. Pada 820 M pula serombongan pendakwah yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah telah sampai di Perlak dan berjaya mengislamkan pemimpin dan penduduk di situ. (Ibid)
Pergolakan dunia Islam pada abad 10 M di bawah pimpinan kerajaan Bani Abbasiyah yang telah melemahkan empayar Islam telah mendorong sebilangan masyarakat Islam terutama ahli sufi mengasingkan diri dari situasi ini dan keluar dari Semenanjung Tanah Arab. Mereka telah berusaha menyebarkan Islam secara tidak langsung ke mana-mana wilayah yang aman diduduki termasuklah Alam Melayu. Kegiatan mereka begitu rancak pada abad 13M dan selepasnya.
Golongan ini menggunakan pendekatan pendidikan. Melaui pendekatan ini mereka telah menubuhkan institusi pendidikan yang disesuaikan dengan masyarakat setempat. Antara institusi pendidikan yang terkenal di wilayah Afrika Utara ialah zawiyah, khawanik dan rabt. Usaha ahli sufi menjalankan pendidikan formal di rantau Alam Melayu pula banyak berlaku di masjid atau di rumah mereka. Mereka berusaha menyampaikan dan mengajar masyarakat setempat mengenai agama Islam. Pendidikan ini akhirnya berkembang menjadi institusi pendidikan khusus yang dikenali dengan pelbagai nama di Alam Melayu seperti pondok, langgar, pesantren dan dayah. Kesan dakwah menerusi penubuhan institusi pendidikan telah melahirkan ramai alim ulama tempatan atau ulama Melayu. Antara yang terkenal seperti Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf al-Singkeli, Abdul Samad al-Palembani, Wali Songo, Daud Fatani dan lain-lain. (Ibid, lihat juga Azhar Mad Aros, 2002: 273)
3.3.6 Persaingan Penyebaran Agama
Faktor ini merupakan kesan daripada kedatangan kuasa Barat ke Asia dan jelas berlaku pada abad ke-16 hingga 19 M. Faktor ini adalah rentetan peristiwa Perang Salib yang berlaku pada abad 15 -16 M di Turki. Dalam perkembangan ini, sesetengah penguasa agama Kristian di Barat masih mempunyai rasa permusuhan yang berterusan dengan penganut agama Islam. Pada abad 15 dan 16 M kuasa-kuasa Barat seperti Portugis telah memulakan pelayaran ke timur dan mendapati pengaruh Islam telah lama bertapak di sebahagian besar wilayah di Asia. Dengan anggapan Barat lebih kuat, Portugis telah melakukan tindakan drastik dengan melakukan penyerangan secara terbuka ke atas wilayah-wilayah Islam di Asia. Tindakan ini menyebabkan wujudnya pertentangan secara terbuka antara masyarakat Asia, khususnya penganut Islam dengan kuasa tersebut. (Azhar Hj Mad Aros, 2002: 272) Keadaan tersebut merangsang umat Islam melipatgandakan usaha dakwah. Kesannya, Islam bukan sahaja menjadi elemen penting dalam menyatupadukan seluruh umat khususnya di Alam Melayu, tetapi juga sebagai slogan untuk berjihad menentang kuasa penjajah Kristian. (Azam Hamzah, 1997: 18)
Persaingan dalam menyebarkan agama Kristian dan Islam ini berterusan sebagaimana yang digambarkan dalam kes-kes penyebaran Islam di bahagian pedalaman Pulau Maluku, Ternate, Sumatra dan sebagainya. (Azhar Hj Mad Aros, 2002: 272) Dengan adanya ancaman agama ini, usaha dakwah Islamiah lebih giat dijalankan dan memberi kesan kepada penyebaran Islam dengan lebih pantas dan menyeluruh.
Selain faktor-faktor di atas terdapat juga beberapa faktor lain seperti penulisan dan kesusateraan. (Azam Hamzah, 1997: 22) Dari segala perbincangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa penerimaaan dan penyebaran Islam di rantau Alam Melayu didorong oleh pelbagai faktor. Antara yang terpenting dan paling berkesan ialah faktor ajaran Islam. Faktor ini menjadikan masyarakat rantau Alam Melayu mudah menerima Islam dan faham kenapa mereka menerima Islam dan apakah tanggungjawab mereka sebenarnya. Peranan pendakwahan turut membantu mereka lebih memahami tasawur Islam yang sebenar. Di samping itu faktor-faktor lain juga tidak kurang pentingnya kerana ia saling kait mengait di antara satu sama lain.
Islam telah sampai di rantau Alam Melayu sejak zaman pra-Islam lagi dan seterusnya berlanjutan selepas kelahiran Islam. Walaupun terdapat berbagai teori mengenai kedatangannya di rantau ini, teori Islam datang dari Arab/Parsi adalah lebih kukuh. Teori ini bukanlah menafikan peranan yang dimainkan oleh pendakwah dari tempat lain kerana ajaran Islam menyeru semua penganutnya mengembangkan Islam tanpa mengira asal, bangsa dan keturunan. Penyebaran Islam di rantau ini juga telah melalui beberapa tahap hingga ia berjaya tersebar ke seluruh pelusuk rantau ini sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Faktor pemangkin Islamisasi di rantau Alam Melayu juga turut berkembang dan sentiasa muncul dalam bentuk baru sesuai dengan fenomena semasa.
3.4 Pencapaian Tamadun Melayu
Pencapaian Tamadun Melayu menjadikan bukti kegemilangan Melayu pada lembaran sejarah silam. Atas kegemilangan ini Melayu terus membina wawasan dan menetapkan jati diri Melayu. Pencapaian ini dibuktikan dalam bentuk catatan tulisan, peninggalan seni bina dan artifak lain yang boleh disaksikan hingga hari ini. Pencapaian ini juga menggambarkan masyarakat Melayu mampu berdikari, berusaha dan berhadapan dengan segala kemungkinan dan perubahan.
Pencapaian ini akan dilihat dari segala aspek yang boleh dirangkumkan kepada tiga kategori, iaitu pencapaian material (benda), intelektual (ilmu pengetahuan) dan spritual (agama/ kepercayaan).
3.4.1 Kerajaan dan Sistem Pemerintahan
Kerajaan dan sistem pemerintahan menjadi tunggak sebuah masyarakat dan memainkan peranan penting dalam pembinaan tamadun. Sesetengah kerajaan Melayu mengisytiharkan kerajaan dan pemerintahan mereka sebagai Kesultanan, seperti yang diamalkan oleh Kesultanan Melayu Melaka. Ini sempena gelaran yang diguna pakai oleh jawatan pemerintah, iaitu sultan. Selain itu, pengisytiharan ini juga sebagai menunjukkan bahawa sesebuah kerajaan Melayu tersebut berteras kepada ajaran Islam.
Terdapat banyak kerajaan Melayu yang dibina oleh masyarakat Melayu dalam siri kegemilangan Tamadun Melayu. Kerajaan-kerajaan ini dikenal di seluruh Alam Melayu mahupun di luar rantau ini. Antara kerajaan-kerajaan tersebut adalah seperti berikut:
1.1.1 Kerajaan Sribuza Islam, Palembang.
1.1.2 Kerajaan Samudera-Pasai di Pasai, Aceh, Sumatera Utara.
1.1.3 Kerajaan Melayu Melaka.
1.1.4 Kerajaan Islam Demak, Banten, Ceribon di Pulau Jawa.
1.1.5 Kerajaan Aceh Darussalam.
1.1.6 Kerajaan Pattani, Selatan Thailand.
1.1.7 Kerajaan Buton, Ternate di Sulawesi.
1.1.8 Kerajaan Melayu Johor-Riau.
Setiap kerajaan ini mempunyai sistem pemerintahan masing-masing yang berasaskan undang-undang Islam. Sistem pemerintahan yang diguna pakai ditulis pada naskhah-naskhah Melayu dan batu bersurat (prasasti). Sebagai contohnya, Undang-undang Laut Melaka, Hukum Kanun Melaka diguna pakai dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, Kanun Meukuta Alam dilaksanakan dalam Kerajaan Melayu Aceh Darussalam, Undang-undang Kedah dilaksanakan dalam Kerajaan Melayu Kedah, Hukum Kanun Pahang termaktub dalam sistem pemerintahan Kerajaan Melayu Pahang dan Undang-undang 99 diguna pakai dalam Kesultanan Melayu Perak.
3.3.2 Ekonomi
Tamadun Melayu berjaya menggerakkan ekonomi orang Melayu ke persada serantau dan antarabangsa. Walaupun Tamadun Melayu awal belum mengamalkan sistem perindustrian secara besar-besaran, namun kegiatan perekonomian yang berpusat di pelabuhan-pelabuhan Alam Melayu telah berjaya menjadi pusat import eksport yang maju di rantau Asia. Antara pelabuhan-pelabuhan yang muncul dalam Tamadun Melayu ialah Pasai, Melaka, Aceh, Demak, Betawi, Terengganu, Ligor dan Johor. Pelabuhan ini ditadbir urus dengan baik oleh pemerintah Melayu. Sebagai contohnya, Sultan Muzaffar Shah dalam Kesultanan Melayu Melaka telah menubuhkan satu jawatan khas untuk memantau kegiatan di pelabuhan menerusi jawatan Shah bandar.
Kegiatan perdagangan yang rancak di pelabuhan-pelabuhan Alam Melayu memberi kesan kepada kemunculan bandar dan kota yang lengkap dengan prasarana. Masyarakat pedalaman tidak ketinggalan memanfaatkan kemunculan pekan dan bandar. Mereka menuju ke pekan dan bandar untuk memasarkan hasil pertanian, ternakan, hasil tangkapan dan hasil kreatif. Tanpa disedari situasi ini membuktikan masyarakat Melayu telah menuju ke arah masyarakat bandar yang berdaya maju dan berdaya saing.
Kepesatan pelabuhan-pelabuhan di Alam Melayu turut menyemarakkan pertumbuhan kemasyarakatan yang lain seperti budaya dan seni, intelektual, reka cipta dan pemerintahan. Masyarakat Melayu juga telah menerima beberapa budaya luar yang sesuai dengan sifat kemelayuan, seperti dalam pembentukan bentuk bumbung bertingkat yang merupakan unsur seni bina Cina. Malah bumbung bentuk ini digunakan pada masjid masyarakat Melayu. Contoh yang paling jelas dapat dilihat pada masjid Tengkera di Melaka dan masjid Kampong Laut di Kelantan. Demikian juga penggunaan warna merah dalam seni masyarakat Melayu berasal dari budaya Cina. Bahasa Melayu turut berkembang dengan penerimaan bahasa-bahasa asing yang telah disebatikan dengan Bahasa Melayu. Bahasa asing yang paling luas pengaruhnya dalam pembentukan bahasa Melayu ialah Bahasa Arab.
Kegiatan ekonomi dalam Tamadun Melayu telah mencapai tahap cemerlang dengan penggunaan mata wang. Pemerintah Melayu telah berjaya mencipta mata wang yang digunakan dalam perdagangan, terutamanya di pelabuhan. Antara mata wang yang dapat dikesan ialah mata wang Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Aceh Darussalam.
3.4.3 Pendidikan
Pendidikan di kalangan masyarakat Melayu terbahagi kepada dua. Pendidikan formal dan informal. Pendidikan formal melahirkan pelbagai institusi pendidikan yang banyak di Alam Melayu. Pendidikan bentuk ini di awali oleh pendidikan ajaran Islam. Sistem pendidikan dan kurikulum juga berteraskan kepada bidang pengajian Islam seperti tauhid, fiqah, akhlak, tafsir dan sejarah Islam (Mohd Salleh Lebar, 1990).
Pendidikan informal pula merupakan pendidikan yang berlangsung dalam kehidupan bermasyarakat. Masyarakat menjadi pendidik bangsa. Pendidikan ini berbentuk kemahiran berfikir, berusaha, berbudi pekerti, bijak membuat tindakan, penghasilan teknologi, berpolitik dan bergiat cergas dalam ekonomi. Tradisi lisan yang diwarisi turun temurun merupakan satu kaedah pendidikan informal. Melalui tradisi ini, masyarakat dididik melalui pantun, syair, hikayat, gurindam, seloka, nazam dan sebagai. Melalui tradisi ini juga, masyarakat disindir, dihukum dan dinasihatkan melalui perumpamaan, perbidalan, peribahasa dan simpulan bahasa.
Kewujudan pendidikan formal berteraskan pendidikan Islam dan bukan berasaskan kemahiran dan teknologi melahirkan tanggapan negatif kolonialis terhadap pendidikan masyarakat Melayu. Kolonialis tidak mengakui pendidikan yang wujud di Alam Melayu sebagai satu sistem pendidikan, lantas mereka mendakwa masyarakat Melayu adalah masyarakat buta huruf. Tanggapan ini mungkin bertolak dari fahaman terhadap agama yang diterima pakai di Barat. Di Barat, agama Kristian tidak melahirkan sistem pendidikan, malah segala perkembangan tamadun Barat terpisah dari agama, seperti yang terangkum dalam maksud sekularisma. Situasi ini berbeza dengan tamadun Melayu yang berasaskan ajaran Islam.
Pencapaian Tamadun Melayu dalam aspek pendidikan adalah seperti berikut:
* Kewujudan institusi pendidikan agama Islam.
Institusi pendidikan agama Islam dimulai oleh istana dan kemudiannya rumah-rumah ulama. Istana sebagai instutusi pendidikan hanya dikhaskan untuk sultan, keluarga diraja dan ahli istana sahaja. Di samping itu, para ulama turut membuka kelas-kelas pengajian di rumah mereka. Kelas-kelas yang dibuka bersedia menerima masyarakat tanpa kelas. Apabila kecenderungan mempelajari Islam semakin berkembang di kalangan masyarakat awam, maka terbinalah institusi-institusi pendidikan Islam untuk masyarakat awam. Justeru itu, situasi ini melahirkan penubuhan institusi pendidikan Islam di seluruh Alam Melayu.
Kepelbagaian rumpun Melayu telah melahirkan pelbagai nama institusi pendidikan Islam. Walau bagaimanapun semuanya mempunyai peranan yang sama iaitu melahirkan ilmuan yang bertaqwa. Antara panggilan nama institusi tersebut adalah seperti berikut:
* Masjid: Pusat ibadat dan pelbagai kegiatan masyarakat.
* Madrasah/Meunasah: Pusat pembelajaran Islam yang terkenal di Selangor, Perak dan beberapa tempat di Sumatera.
* Langgar: Pusat pembelajaran Islam yang terkenal di Kalimantan.
* Surau: Pusat ibadat dan pelbagai kegiatan masyarakat Islam.
* Pondok: Pusat pembelajaran Islam yang luas di Pattani, selatan Thailand, Perak Utara, Kedah dan Kelantan.
* Pesantren: Pusat pembelajaran agama Islam yang berkembang luas di Pulau Jawa.
* Dayah: Pusat pembelajaran agama Islam yang wujud di Aceh, Sumatera. Dayah merupakan institusi tertinggi dalam pembelajaran Islam dalam masyarakat Aceh. Sebelum sampai ke tahap ini, pendidikan Islam bermula di peringkat meunasah, rangkang dan balee. Contoh Dayah yang paling terkenal ialah Dayah Cot Kala di Aceh. Dayah ini telah melahirkan ramai ilmuwan Aceh seperti Hamzah Fansuri, Shamsuddin Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel.
* Kecenderungan sultan menguasai pendidikan Islam.
Minat ini telah mendorong sultan mengarahkan ulama menulis dan menterjemah kitab agama Islam dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Penterjemahan ini berfungsi untuk menjelaskan ajaran Islam dan menjawab permasalahan masyarakat dari perspektif Islam. Contoh-contoh berikut menggambar secara jelas kecenderungan para sultan:
* Sultan Mansur Shah mempelajari kitab Dur al-Manzum (Sejarah Melayu menulis dengan nama Dar al-Mazlum),
* Sultan Mahmud Shah mempelajari kitab al-Luma’ (dalam Sejarah Melayu ditulis sebagai kitab Maklumat) karya Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi seorang ulama tasawuf.
* Sultanah Safiatuddin di Aceh memohon Abdul Rauf Singkel menjelaskan mengenai konsep kerohanian dalam Islam melalui karyanya Kifayah al-Muhtajin ila Mashrab al-muwahhidin al-qailin bi Wahdat al-Wujud.
* Sultan Alauddin Riayat Shah (Sultan Selangor) menjadi menjadikan barisan ulama sebagai penasihat. Beliau juga menjadi khatib dalam solat jumaat.
* Kemunculan golongan intelektual Melayu.
Penumpuan golongan intelek Melayu zaman awal ialah kepada asas agama dan falsafah kerana bidang ini memantapkan erti kehidupan dan jati diri bangsa Melayu. Penyebaran secara meluas pemahaman dua aspek ini di kalangan masyarakat Melayu menjamin penerusan generasi Melayu yang memahami tugas dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat.
Antara intelek Melayu yang tercatat dalam sejarah ialah :
* Hamzah Fansuri
* Shamsuddin al-Sumatera’i
* Nuruddin al-Raniri
* Abdul Rauf Singkel
* Abdul Samad al-Palembani
* Yusuf Tajul Khalwati Makasar
* Muhamad Nafis al-Banjari
* Muhamad Arsyad al-Banjari
* Daud al-Fatani dan keturunannya.
* Kelahiran naskhah-naskhah Melayu atau manuskrip Melayu.
Naskhah-naskhah Melayu yang dihasilkan oleh golongan intelek Melayu merangkumi segala aspek kehidupan masyarakat seperti perubatan, ilmu falak (astronomi), undang-undang, pemerintahan (ketatanegaraan), pertanian, pengetahuan Islam, sejarah Melayu dan kemasyarakatan. Sebagai contohnya, naskhah perubatan berjudul Kitab Tib, naskhah undang-undang berjudul Hukum Kanun Melaka, naskhah ketatanegaraan berjudul Bustan al-Salatin, naskhah pertanian berjudul Pembukaan Kebun Kelapa di Pulau Kemili, naskhah agama Islam dalam bidang tauhid berjudul Masa’il al-Mubtadi’ li Ikhwan al-Mubtadi’.
Naskhah Melayu mempunyai keunikan yang menampakkan identiti bangsa. Antara keunikannya, ia ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi yang berteraskan aksara Arab dengan beberapa penambahan. Naskhah ini ditulis pada pelbagai bahan seperti pada daun lontar, kepingan buluh, kulit haiwan yang telah disamak, kain dan kertas. Selain itu, naskhah Melayu mempunyai nilai estetika yang tinggi. Penulis dan penyalin memaparkan daya kreatif yang tinggi semasa menghasilkan karya. Ini terbukti dengan adanya ilustrasi dan seni hias pada naskhah-naskhah Melayu. (Lihat gambarpada halaman 118)
3.4.4 Komunikasi
Komunikasi Alam Melayu terjalin melalui hubungan perdagangan, diplomatik dan budaya. Komunikasi harmoni yang berjalan lancar mengukuhkan ikatan Tamadun Melayu di Alam Melayu. Komunikasi ini banyak diasaskan kepada polisi pemerintahan kerajaan dalam Tamadun Melayu. Hasilnya, para pemerintah Melayu telah berjaya menjalin interaksi antara rumpun Melayu di seluruh wilayah Alam Melayu dengan semangat persahabatan yang bermula melalui peluasan wilayah. Sebagai contohnya:
* Kerajaan Melaka meluaskan pengaruh ke negeri-negeri di utara Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Pulau Sumatera yang meliputi Inderagiri, Siak, Kampar, Rokan dan lain-lain. Peluasan wilayah ini memberi laluan kepada masyarakat di Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Sumatera menjalin hubungan perdagangan dan budaya secara aman dan harmoni.
* Kerajaan Melaka mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Kerajaan Majapahit di Pulau Jawa dan Dinasti Ming di Tanah Besar Cina.
* Kerajaan Aceh Darussalam mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Pahang. Hubungan ini dikukuhkan dengan perkahwinan puteri Iskandar Muda Mahkota Alam bernama Puteri Safiatuddin dengan putera Sultan Pahang bernama Raja Ahmad.
* Kerajaan Aceh Darussalam turut mengadakan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.
Para pemerintah Melayu juga telah mengadakan interaksi antara kaum bukan Melayu khususnya dengan kuasa Eropah. Interaksi ini dibuktikan dengan adanya surat-surat sultan Melayu kepada pegawai-pegawai British. Contohnya:
* Surat daripada Sultan Cakra Adiningrat dari negeri Madura kepada Gabenor Ganeral Thomas Stamford Raffles di Betawi bertarikh 14 Muharam 1231 H,
* Surat Sultan Ratu Mahmud Badruddin dari Palembang kepada Thomas Raffles Esquire di Melaka bertarikh 1 Rabiulawal 1226 H (1811 M).
* Surat Sultan Syarif Kasim ibni al-marhum Sultan Syarif Abdul Rahman ibni al-Marhum Habib al-Husin al-Kadri dari Pontianak kepada Thomas Raffles Esquire bertarikh 20 Safar 1226 H.
* Surat Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah dari Kedah kepada Thomas Raffles di Melaka bertarikh 6 Rabiulawal 1226 H.
* Surat Yang Dipertuan Negeri Perak kepada Thomas Raffles Esquire di Melaka bertarikh 28 Rabiulawal 1226 H.
3.4.5 Sastera
Sastera Melayu berbentuk prosa dan puisi. Prosa merupakan karya dalam bentuk esei atau karangan untuk menjelaskan satu perkara. Puisi pula merupakan karya yang memaparkan kemahiran bahasa dan penggunaan bahasa yang indah melalui rima bunyi yang tertentu. Sastera prosa Melayu dapat dilihat pada naskhah Melayu. Penulisannya meliputi pelbagai bidang seperti ketatanegaraan, pemerintahan, perubatan, undang-undang, agama Islam, ilmu falak, petua dll. (Lihat Katalog Manuskrip Melayu Koleksi Perpustakaan Negara Malaysia) Sebagai contohnya:
* Taj al-salatin,
* Bustan al-salatin,
* Sejarah Melayu,
* Hikayat Hang Tuah,
* Mir’at al-Tullab.
Puisi-puisi Melayu terdiri daripada beberapa genre. Antaranya syair, pantun, gurindam, seloka, nazam dan sajak. Syair menghasilkan rima bunyi akhir yang sama: a,a,a,a. Pantun pula menghasilkan rima bunyi rangkap 1 sama dengan rangkap 3 dan rangkap 2 sama dengan rangkap 4: a,b,a,b. Pantun-pantun Melayu terdiri daripada beberapa rangkap. Antaranya pantun dua rangkap. Ia juga dikenali dengan pantun dua kerat. Pantun empat rangkap juga dikenali dengan pantun empat kerat. Pantun enam rangkap juga dikenali dengan pantun enam kerat dan pantun lapan rangkap dikenali dengan pantun lapan kerat. (Lihat Anas Hj. Ahmad)
Contoh pantun 2 kerat: Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri
Contoh pantun 4 kerat: Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan di kandung tanah
Budi yang baik dikenang jua.
3.4.6 Kemahiran Pembuatan
Masyarakat Melayu terkenal dengan pelbagai kemahiran pembuatan barang-barang keperluan. Setiap hasil kemahiran disematkan nilai falsafah Melayu yang berteras kepada agama Islam. Selain itu, hasil-hasil kemahiran masyarakat Melayu juga dipenuhi dengan nilai estetika yang tinggi. Antara kemahiran-kemahiran tersebut adalah seperti berikut:
* Pembuatan rumah. Kemahiran membuat rumah di kalangan masyarakat Melayu menyebabkan tukang-tukang Melayu mampu memberi identiti pada rumah-rumah Melayu (Abdul Halim Nasir,1985). Antara identiti rumah Melayu seperti berikut:
* Bumbung seperti bumbung limas.
* Kepelbagaian ruang: Ruang induk/ ruang ibu, ruang tengah, ruang dapur dan serambi atau beranda.
* Rumah panggung.
* Dilengkapi dengan seni hias pada tingkap, dinding, curu atap dan lain-lain.
* Peralatan kelengkapan rumah. Masyarakat Melayu awal bijak mengolah tanah liat untuk menghasilkan keperluan rumah seperti pinggan, mangkuk, cawan, periuk, kuali dan sebagainya. Masyarakat Melayu di Perak sebagai contohnya terkenal dengan hasil pembuatan Labu Sayung yang merupakan satu bekas air yang dingin tanpa air batu. Semua keperluan ini diusahakan oleh titik peluh sendiri. Demikian juga alat-alat perabot seperti almari, meja, kerusi dan sebagainya. Masyarakat Melayu awal juga mampu menghasilkan sampan, perahu, bot dan kapal untuk meredah lautan mencari rezeki. Mereka bekerjasama dan berganding bahu menghasilkan keperluan harian.
* Pakaian: Masyarakat Melayu juga merupakan pereka fesyen yang mampu bertahan lama. Fesyen-fesyen pereka Melayu jelas memaparkan identiti dan jati diri bangsa Melayu. Contoh yang jelas ialah seperti baju Kurung, baju Melayu, Kebaya, dan Busana Muslim. (Lihat Siti Zainon Ismail.)
* Peralatan menulis: Masyarakat Melayu juga pintar menghasilkan kertas dari bahan yang tersedia di sekeliling mereka. Demikian juga dengan alat-alat tulis daripada buluh dan sebagainya. Walaupun masyarakat Melayu tidak menggunakan teknologi canggih dalam menghasilkan peralatan menulis tetapi mereka mempunyai daya fikir dan inisiatif yang tinggi untuk menghasilkan sesuatu barangan.
Kesimpulan
Tamadun Melayu mempunyai pelbagai pencapaian yang terbukti melalui catatan naskhah, binaan atau bangunan, batu bersurat, karya2 seni dan sastera. Ketinggian tamadunnya memaparkan jati diri dan identiti bangsa Melayu. Kejayaan masyarakat Melayu silam mencorakkan tamadun dan budaya menyebabkan bangsa Melayu menjadi satu rumpun bangsa yang dikenali, dihormati dan disanjung tinggi. Tonggak kejayaan ini terletak pada pembentukan modal insan yang berpegang kuat pada agama, falsafah bangsa, jati diri yang teguh dan budi pekerti yang luhur. Kekuatan modal insan telah berjaya membina kecemerlangan dan kehebatan Tamadun Melayu.
Gambar.1: Naskhah Melayu
3.5 TAMADUN MELAYU TERAS TAMADUN MALAYSIA
Berlatarbelakangkan lembaran sejarah Tamadun Melayu wajar menjadi landasan kepada pembentukan Tamadun Malaysia. Tamadun yang dibentuk berasaskan kepada nilai keagamaan, nilai keunggulan identiti diri, nilai seni dan budaya dan nilai politik dan perundangan. Asas nilai ini mempunyai peranan yang penting dan menjadi teras pembinaan tamadun Malaysia. Asas tersebut juga menjadi corak kepada rangka kerja pembinaan ketamadunan Malaysia.
3.5.1 Pembinaan Agama
Agama Islam memainkan peranan yang penting dalam membina Tamadun Melayu. Hubungan antara agama Islam yang telah memperkenalkan pengetahuan bercorak falsafah, pemikiran yang bercorak rasional dan intelektual dengan Tamadun Melayu yang berpaksikan kepada nilai persekitaran, telah memberi ruang kepada Tamadun Islam mendominasi arah aliran pemikiran masyarakat Melayu. Tamadun Islam telah mengubah corak dan gaya penekanannya daripada unsur-unsur estetika yang bercorak Hindu-Buddha kepada corak akliah yang lebih kompetitif dan sesuai dengan kehendak jiwa dan penerimaan akal.
Dari aspek ajaran kemasyarakatan Islam telah menekankan unsur-unsur persamaan, sosial, keadilan, individu dan keperibadian insan, yang meletakkan manusia adalah mempunyai hak dan tanggungjawab tersendiri dan bersamaan antara satu sama lain. Dengan keserasian ajaran yang diketengahkan oleh Islam dan kesesuaiannya dengan cita rasa dan kehendak manusia, Islam telah menjadi landasan pegangan masyarakat Melayu.
Salah satu pendekatan yang diketengahkan oleh Islam dalam mempamerkan keindahan ajaran dan kemurnian isi kandungannya ialah melalui pendekatan ilmu. Tradisi ilmu pengetahuan yang ditekankan oleh Islam telah mengembangkan tradisi pendidikan dan pengajaran. Setiap orang berhak menerima dan mempelajari ilmu. Fahaman ini memberi ruang kepada masyarakat Melayu untuk lebih banyak berfikir dan berdaya maju. Dorongan belajar yang diketengahkan oleh Islam bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan diselangselikan dengan membaca dan menyelongkar isi kandungan naskhah-naskhah kitab yang telah ditulis oleh ulama terdahulu. Situasi ini telah mencetuskan fenomena baru kepada perkembangan intelektual masyarakat Melayu.
Kecenderungan ini telah membuka ruang ke arah penubuhan pusat-pusat pengajian bermula dari masjid atau surau dan berkembang luas dalam bentuk yang lebih sistematik dan teratur. Sekolah-sekolah seperti madrasah, pondok, pesantren, rangkang dan lain-lain didirikan bagi menampung lebih ramai pelajar yang telah mula sedar betapa pentingnya ilmu dalam membangunkan tamadun sesuatu bangsa. Sejarah memperlihatkan Pasai yang telah memulakan tradisi pendidikan di istana pada abad ke-13 M dan diikuti oleh istana Melaka pada abad ke-15 M dan Aceh abad ke-16 M. Selepas kejatuhan empayar Melayu yang luas jajahan takluknya, pusat-pusat pendidikan berkembang di luar tradisi bangsawan yang berpaut di istana dan tersebar di kalangan rakyat yang merupakan tradisi bawahan. Ini dapat dilihat dengan lahirnya sistem pengajian rangkang di Aceh, sistem pengajian pondok di Patani dan Kelantan, langgar di Kedah dan pesantren di Pulau Jawa.
Melalui sistem pengajian ini lahir golongan cendekiawan dan ulama-ulama Melayu yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli agama. Antara tokoh Melayu yang terkenal seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel dari Aceh, Syeikh Abdul Malik Abdullah di Terengganu pada abad ke-18 M, Syeikh Daud al-Fatani dan Abdul Samad Palembang pada abd ke-1 M dan lain-lain. Penubuhan institusi pengajian Islam ini turut mengubah pandangan dunia orang Melayu daripada mempercayai roh, semangat dan dewa-dewa kepada mempercayai Tuhan Yang Maha Esa (Allah), Nabi-nabi, Rasul-rasul, Malaikat, Kitab-kitab suci seperti Injil, Zabur dan al-Qur’an. Keimanan mereka turut diikuti dengan amal ibadat seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan rukun haji.
Sekalipun Islam telah mencorakkan kehidupan masyarakat Melayu, namun ia tidak menolak amalan agama yang telah menjadi pegangan masyarakat lain, seperti agama Hindu, Buddha, Sikh, dan Kristian. Kepelbagaian pegangan itu tidak menjadi halangan pada masyarakat Melayu untuk menjadikan ajaran agama Islam sebagai dasar dan pegangan kepada Negara. Malah telah berlakunya interaksi antara agama dan saling menerima dan menghormati antara satu sama lain. Dalam membina ketamadunan bangsa dan negara, kerjasama antara kaum dan interaksi antara agama dijadikan asas kepada pembentukan sebuah negara moden. Orang Melayu dan kaum lain diberi ruang untuk sama menyumbang ke arah pembinaan negara moden. Sejarah Malaysia membuktikan, ketika membentuk Perlembagaan Persekutuan 1956, perkara agama tidak dikesampingkan, malah ia menjadi perkara penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 (1) memperuntukkan agama Islam adalah agama bagi persekutuan. Walau bagaimanapun agama-agama lain boleh diamalkan tanpa sebarang halangan atau gangguan daripada mana-mana pihak. Dalam erti kata lain, agama adalah salah satu aspek penting dan perlu diambil kira dalam membentuk dan membangun tamadun negara.
3.5.2 Pembinaan Nilai Jatidiri
Selain daripada peranan agama dalam membangun sesebuah negara, peranan nilai juga tidak boleh dikesampingkan dalam membentuk ketamadunan sesuatu bangsa. Nilai juga menjadi nadi kepada ketamadunan sesebuah bangsa. Jatuh bangun, maju mundur, cemerlang dan gagal sesebuah bangsa dan negara berkait rapat dengan amalan nilai sesuatu bangsa. Kerana itu peranan nilai tidak boleh dipandang remeh dalam menentukan kebangunan dan kelangsungan tamadun sesuatu bangsa.
Kewujudan dan pengiktirafan terhadap beberapa tamadun silam seperti tamadun Islam, India, China, Jepun dan tamadun Melayu berkait rapat dengan nilai yang diamalkan oleh masyarakat tersebut. Islam sebagai agama bagi persekutuan dan agama yang telah berakar umbi menjadi amalan tradisi masyarakat Melayu mempunyai nilai-nilai unik yang sesuai dan dapat diterima pakai oleh bangsa lain. Antara nilai yang diketengahkan dan menjadi asas kepada pembentukan tamadun bangsa Melayu sebagai asas kepada pembentukan Tamadun Malaysia seperti bertanggungjawab, jihad, istiqamah, ihsan, jujur dan ikhlas, adil, bijaksana, bertolak ansur, cekap, produktif, dedikasi dan kerjasama.
Jika diperhatikan secara halus, pembentukan jati diri dan peribadi Melayu bertitik tolak daripada keluarga. Keluarga dilihat sebagai agen sosialisasi utama dalam masyarakat. Apabila keluarga telah menjalankan tanggungjawab, ia telah menyelesaikan sebahagian tuntutan dalam pembinaan ketamadunan bangsa. Oleh kerana masyarakat Melayu telah dipengaruhi oleh Islam sebagai teras kehidupan, mereka telah menjadikan ajaran ini sebagai nadi pembentukan nilai dan peradaban. Pelbagai pantang larang telah diasuh dan perlu diikuti oleh masyarakat Melayu dalam usaha mereka membina satu gagasan jati diri yang lebih baik. Misalnya, ibu yang sedang mengandung diberi peraturan supaya tidak melakukan perbuatan yang buruk dan keji kerana perbuatan tersebut akan memberi kesan kepada nilai dan peradaban anak yang akan dilahirkan kelak. Justeru itu, ibu bapa dikehendaki melakukan perkara yang baik dan tidak meninggalkan suruhan agama agar anak yang dilahirkan mewarisi nilai yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini bermakna orang Melayu percaya terhadap nilai perlakuan ibu dan bapa akan memberi kesan yang mendalam kepada anak yang akan dilahirkan.
Oleh itu, masyarakat Melayu amat prihatin dalam proses mendidik anak. Bagi mereka, proses pendidikan bukan bermula apabila anak itu dilahirkan, namun ia lebih jauh daripada itu, iaitu ketika mereka berusaha hendak mendirikan rumah tangga, dan juga ketika mereka hendak bersatu. Pembinaan jati diri Melayu bukan sahaja ketika terhad semasa ibu sedang mengandung sahaja, tetapi ianya menjangkau pada bayi yang telah dilahirkan. Sebaik sahaja anak dilahirkan, mereka akan berusaha menyerapkan nilai kebesaran dan keagungan Tuhan dengan melafazkan azan agar kalimah tauhid tersebut menjadi dasar pegangan anak yang baru dilahirkan. Mereka akan berusaha memberi nama dengan nama yang boleh melambangkan nilai keperibadian yang baik dan murni. Dengan cara ini, mereka yakin usaha yang dilakukan itu memberi kesan baik kepada pembentukan jati diri anak.
Amalan membelah mulut, bercukur jambul, akidah, berkhatan dan khatam al-Quran adalah amalan yang memperlihatkan gabungan unsur-unsur adat dan Islam dalam proses orang-orang Melayu membentuk jati diri masyarakat mereka bersalut dan bersadurkan nilai-nilai yang sesuai dengan ajaran Islam. Tidak cukup dengan nilai tersebut masyarakat Melayu telah menitipkan asas-asas agama dalam jiwa dan pemikiran anak-anak mereka sejak kecil. Mereka dididik dengan konsep-konsep dosa, pahala, haram, halal, suruhan dan tegahan. Apabila umur semakin meningkat, mereka dilatih dengan amalan-amalan asas agama seperti sembahyang dan puasa sebagai satu latihan yang boleh membentuk nilai peribadi yang baik dan harmoni. Tidak ketinggalan juga, keluarga membawa anak-anak mereka pergi ke surau atau masjid untuk mengerjakan sembahyang berjemaah, terutamanya pada hari Jumaat dan pada bulan puasa untuk mengerjakan solat sunat Tarawih. Di samping itu, mereka juga mengajak anak-anak mereka mengamalkan puasa, sekalipun pada peringkat awal dilakukan secara tidak sepenuhnya. Semua usaha ini telah menjadi tradisi yang terus diamalkan oleh orang Melayu dalam proses mereka membangunkan jiwa di kalangan anak mereka. Ini memberi erti masyarakat Melayu sentiasa mendorong dan mentarbiahkan anak-anak mereka dengan ajaran agama dalam usaha membina jati diri keluarga mereka dengan ajaran Islam.
Orang Melayu mempunyai daya kreativiti dan daya intelektual yang tinggi dalam menghayati persekitaran untuk dijadikan suri teladan dalam mendidik anak-anak. Faktor alam semula jadi dijadikan kias ibarat yang diungkap sebagai peribahasa dan kata perbilangan sebagai analogi dalam mengasuh dan mendidik anak-anak dan masyarakat. Peribahasa telah digunakan sebagai panduan, teladan dan sempadan dalam melaksanakan kehidupan bermasyarakat. Misalnya bulat air kerana pembetung bulat kata kerana muafakat, seperti aur dengan tebing, seperti enau dalam belukar dan lain-lain lagi.
3.5.3 Pembinaan Nilai Seni dan Budaya
Selain daripada pembinaan jati diri Melayu, Tamadun Islam telah banyak mempengaruhi Tamadun Melayu dalam aspek seni. Kesenian Melayu seperti seni lagu, seni tari, seni ukiran, seni bina, seni hias mahupun seni drama banyak dipengaruhi oleh nilai kesenian Islam. Sebagai contohnya, seni bina masjid dalam Tamadun Melayu telah dipengaruhi oleh seni tampak dan seni reka Islam, walaupun dalam pembinaannya terdapat beberapa pengaruh luar seperti reka bentuk masjid dari Asia Barat. Gabungan seni tempatan dan luar telah menjadi lambang kekuatan seni bina Melayu. Antara nilai seni tampak yang diperkenalkan dan ditonjolkan sebagai imej kepada seni bina Islam di Alam Melayu jelas terpapar pada kubah yang bertingkat. Demikian juga ruang-ruang lain seperti bentuk mihrab dan bahan untuk membina masjid.
Selain seni bina masjid, seni ukiran Islam juga dapat dilihat pada seni ukir batu-batu nisan di kawasan perkuburan orang-orang Islam. Seni lukisan pula bercorak benda-benda yang tidak bernyawa menjadi asas kepada seni lukis orang Melayu kerana Islam tidak membenarkan lukisan yang bercorak haiwan atau benda bernyawa. Masyarakat Melayu melihat alam semula jadi sebagai sumber ilham dalam menghasilkan keindahan karya lukisan mereka dengan menerapkan bunga, daun-daun dan segala elemen tumbuhan-tumbuhan. Selain itu, motif geometri turut menjadi objek tata nilai dalam karya orang Melayu. Warisan kesenian Islam ini dapat dilihat dan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk hasil seni orang Melayu seperti pada tenunan, ukiran, dan barang-barang hiasan rumah.
Seni lagu dan muzik di Malaysia juga tidak terkecuali menerima pengaruh Islam. Pada peringkat awal, seni lagu dan muzik di Malaysia bercorak dakwah dengan menatarkan senikata dan anotasinya dalam bentuk yang mampu meningkatkan imej dan keperibadian diri agar mendekatkan diri kepada nilai-nilai murni. Seni lagu dan muzik dalam pengaruh ini lebih dikenali sebagai nasyid, qasidah, sajak, gurindam, syair, seloka dan pantun. Demikian juga dari aspek peralatan muzik yang diperkenalkan dan menjadi amalan masyarakat Melayu, juga dipengaruhi oleh nilai Islam, walaupun peralatan tersebut dibawa dari luar Alam Melayu seperti dari Asia Barat. Antara alat-alat muzik dari Asia Barat yang mendapat tempat dalam muzik tempatan seperti rebana, kompang, kecapi, seruling, gambus, gambang, dan gong.
Seni tulis masyarakat Melayu juga tidak terlepas daripada pengaruh nilai budaya Islam. Ini dapat dilihat daripada seni khat dan kaligrafi Melayu yang menggunakan ayat-ayat al-Qur’an atau hadis-hadis Nabi sebagai sumber ilham bagi menghasilkan ukiran atau tulisan. Karya-karya dalam bentuk ini merupakan kesenian yang paling rapat dengan citarasa seni Islam.
Selain itu, tradisi sastera Melayu juga menampakkan pengaruh Islam yang begitu ketara. Sastera Melayu terbahagi kepada dua jenis iaitu lisan dan tulisan. Sastera lisan dapat dilihat pada dua bentuk, iaitu cerita dan bukan cerita. Menurut Boas, kesusasteraan lisan boleh diibaratkan sebagai autobiografi yang mengisahkan tentang riwayat sesuatu masyarakat. Oleh itu cerita-cerita lisan juga membawa kisah-kisah lampau seperti legenda, mitos, penglipur lara, cerita-cerita binatang dan cerita ghaib. Manakala sastera lisan bukan cerita pula terhasil dalam bentuk peribahasa, pantun, mantera dan sebagainya. Kedua-dua bentuk sastera Melayu mencerminkan falsafah hidup dan nilai-nilai serta sikap masyarakat Melayu pada masa dahulu.
Penyebar-penyebar agama Islam menambah kekayaan ragam sastera Melayu. Mereka memperkenalkan cerita-cerita dan hikayat-hikayat berunsur Islam bagi menggantikan cerita-cerita dan hikayat berunsur Hindu. Antara cerita dan hikayat berunsur Islam seperti Hikayat Mukjizat Nabi, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Mikraj, Hikayat Nabi Sulaiman, Hikayat Zakaria, Hikayat Abu Bakar, Hikayat Hasan dan Husin, Hikayat Amir Hamzah dan sebagainya.
Selain hasil sastera dalam bentuk cerita atau hikayat, terdapat juga pengaruh Islam dalam puisi-puisi Melayu. Winstedt dan Muhammad Naguib al-Attas berpendapat bahawa syair Melayu yang pertama dihasilkan oleh Hamzah Fansuri (1550-1600 M). Hamzah merupakan seorang penulis prosa dan puisi Melayu yang pertama dalam bidang kesusasteraan sufi. Sehingga abad 18 M, syair kekal digunakan dalam semua kategori puisi sastera Melayu, sama ada pada karya bercorak agama, hikayat mahu pun histiografi Melayu.
Selain syair, terdapat juga puisi yang berasal dari sumber Islam seperti ghazal, masnawi, nazam, rubai dan kit’an. Menurut Ali Shahbana, semua bentuk puisi ini berasal dari Arab dan Parsi. Masnawi umpamanya, digunakan untuk memuji-muji kaum bangsawan mahupun untuk tujuan masing-masing. Rubai pula berunsurkan tema sufi dan falsafah Islam yang berbentuk pantun ataupun sajak.
Bertitik tolak daripada pengaruh kebudayaan Islam dalam Kebudayaan Melayu, kerajaan Malaysia telah membuat satu dasar yang menjadi landasan dalam menentukan corak dan nilai budaya masyarakat Malaysia yang lebih dekat dengan nilai dan budaya yang telah melatari nilai budaya Melayu iaitu kebudayaan Islam. Kerajaan telah menetapkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan berpaksikan kepada Islam, kerana Islam telah mendominasi nilai budaya masyarakat Melayu. Sekalipun Islam menjadi landasan kepada nilai budaya Malaysia, nilai budaya setempat daripada etnik-etnik lain seperti Melanau, Iban, Kadazan dan lain-lain tidak dikesampingkan, selagi ia tidak bertentangan dengan nilai budaya yang telah menjadi akar umbi orang-orang Melayu.
3.5.4 Pembinaan Nilai Politik dan Perundangan
Interaksi peradaban Islam dengan Alam Melayu telah bermula kira-kira abad ke-10 M. Namun begitu, proses perubahan akibat interaksi ini berlaku agak perlahan kerana pengaruh Hindu masih mencengkam dalam minda masyarakat Melayu, di samping golongan elit yang masih selesa dengan amalan Hindu-Buddha. Walau bagaimanapun, kehadiran Islam di Alam Melayu akhirnya telah membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat Melayu, sehingga unsur-unsur Hindu-Buddha hampir terhakis dan yang kekal hanyalah aspek yang bersesuaian dengan ajaran Islam.
Islam telah mempengaruhi perundangan Malaysia. Pengaruh ini begitu jelas pada masa pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. Sistem perundangan Islam yang dilaksana oleh Kesultanan Melaka bukan sahaja berkisar dalam bidang kekeluargaan (munakahat) atau jual beli (muamalat), namun ianya menjangkaui bidang-bidang yang berkaitan dengan hukum jenayah dan sivil. Hal ini dibuktikan dengan adanya naskhah Melayu dalam perundangan seperti Hukum Kanun Melaka. Menurut Dr Ph S Ronkel, teks ini mengandungi 27 fasal undang-undang, sementara Undang-undang Melaka yang tercatat pada naskhah yang terdapat dalam koleksi di Muzium British mengandungi 44 fasal (Mahmood Saedon: 219). Menerusi teks ini dapat dibuat kesimpulan bahawa undang-undang Kanun Melaka berdasarkan undang-undang Islam dari aliran mazhab Syafie, namun unsur-unsur adat Melayu tidak dinafikan kewujudan dalam undang-undang Melayu.
Fahaman mazhab Syafie jelas ketara pada kanun ini seperti pada peruntukan hukum qisas dalam fasal 5(1), (3), 8(2),(3), 18(4), dan 39. Peruntukan ini membicarakan tentang pembunuhan yang sengaja dilakukan oleh orang Islam ke atas orang kafir, orang merdeka ke atas hamba dan bapa terhadap anaknya. Undang-undang Kanun Melaka tidak mengenakan qisas bagi kesalahan tersebut .
Undang-undang Kanun Melaka juga mengandungi penjelasan hudud yang meliputi kesalahan zina, qazaf, mencuri, merompak, murtad, dan minum arak. Perkara tersebut diperuntukkan dalam fasal 40(2), 43(5), 36(1),12(3), 7(2), 11(1), 42 dan 43. Undang-undang ini juga memasukkan kesalahan melakukan hubungan jenis sesama lelaki (liwat) dan hubungan jenis dengan binatang seperti diperuntukkan dalam fasal 43(5), yang menepati pendapat mazhab Syafi`e. Para ulama pada mazhab ini berpendapat perkara tersebut termasuk dalam kategori zina. Dalam fasal 36(1) Undang-undang Kanun Melaka turut memperuntukkan hukuman bagi mereka yang murtad. Mereka yang melakukan kesalahan murtad boleh dibunuh, atau dihukum mati dan diminta bertaubat. Bagi kesalahan minum arak, undang-undang Kanun Melaka menetapkan 40 kali sebatan bagi pesalah yang merdeka dan hamba 20 kali sebatan. Sekalipun demikian, imam boleh mengenakan hukuman lebih daripada jumlah yang ditetapkan kepada mereka yang merdeka setelah mengadakan perbincangan dan mengambil kira budi bicara Perdana Menteri.
Selanjutnya, undang-undang Malaysia masih dipengaruhi oleh undang-undang Islam. Ini dapat dilihat pada kedudukan Agama Islam, bidang kuasa dan pentadbirannya dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam adalah agama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Demikian juga dalam Perkara 3 ( 2 ) menjelaskan kedudukan raja pada setiap negeri (melainkan negeri yang tidak mempunyai raja) sebagai ketua agama Islam dalam negerinya setakat yang diakui dan diisytiharkan oleh perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan Yang Dipertuan Agong adalah ketua agama Islam dalam negeri di wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan. Bagi maksud ini, Parlimen boleh meluluskan undang-undang untuk menetapkan peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal agama Islam. Parlimen juga boleh meluluskan undang-undang bagi menubuhkan suatu majlis untuk menasihat Yang Di Perutan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan agama Islam.
Peruntukan ini turut memberi jaminan kepada penganut agama Islam bahawa kerajaan negeri akan mengawal dan menyekat perkembangan apa juga akidah dan kepercayaan agama di kalangan masyarakat Islam. Kerajaan juga berhak mengadakan bantuan kewangan khas untuk menubuh atau menyelenggara institusi Islam atau mengembangkan agama Islam seperti yang dapat dilihat pada peruntukan 12(2). Peruntukan ini menyatakan “Tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak menubuh dan menyelenggarakan institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada perbezaan semata-mata oleh sebab agama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan institusi itu....”
Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan kuasa mentadbir undang-undang Islam pada pihak berkuasa negeri selaku ketua agama di sesebuah negeri atau wilayah. Ketua agama di negeri masing-masing dipertanggungjawab melaksanakan tugas dengan nasihat Majlis Agama Islam yang mempunyai kuasa seperti berikut:
a. Mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu isu undang-undang Islam yang dirujukkan kepadanya.
b. Mentadbir harta-harta wakaf.
c. Membuat peraturan pungutan dan pembahagian zakat fitrah.
d. Melantik jawatankuasa syariah, kariah dan Maulud Nabi.
e. Mentadbirkan masjid dan sekolah-sekolah agama.
f. Mendaftarkan orang-orang yang memeluk Islam.
Majlis Agama Islam dibantu oleh Jabatan Hal-ehwal Agama Islam dalam menjalankan tugas-tugas bersabit dengan perkara berikut:
a. Pentadbiran undang-undang zakat
b. Pemungutan zakat dan fitrah
c. Pengurusan baitulmal.
Undang-undang Islam di negeri-negeri di Malaysia ditadbirkan menurut Enakmen atau Ordinan Pentadbiran Agama negeri masing-masing. Enakmen atau ordinan tersebut memberi peruntukan mengenai penubuhan Majlis Agama Islam, penubuhan Mahkamah Syariah, sumber kewangan, perkahwinan dan perceraian, nafkah tanggungan, kesalahan-kesalahan sivil dan jenayah serta mualaf.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia pula memperuntukkan peranan Yang Di-Pertuan Agong untuk menjamin kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak. Selain itu, Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan menegaskan takrif orang Melayu, iaitu:
i. Menganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
ii. Lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura.
iii. Ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau Singapura.
iv. Bermastautin di Persekutuan atau Singapura pada hari Merdeka.
3.5.5 Pembinaan Atas Dasar Ekonomi
Peranan Islam dalam aspek pembangunan ekonomi umat Melayu di zaman awal pertapakan Islam jelas dapat ditelusuri melalui kemunculan dan perkembangan kawasan dagangan umat Melayu. Jika sebelum pertapakan Islam di Alam Melayu, kawasan operasi ekonomi Melayu hanya terbatas pada wilayah-wilayah di India sahaja tetapi setelah penerimaan Islam oleh masyarakat Melayu, kawasan perdagangan umat Melayu telah berkembang hingga ke Semenanjung Tanah Arab. Sehubungan itu banyaklah hasil-hasil dagangan luar mula masuk ke wilayah Alam Melayu dan serentak itu hasil-hasil ekonomi Alam Melayu mula dikenali oleh masyarakat luar.
Agama Islam juga telah mempengaruhi kaedah dan transaksi ekonomi masyarakat Alam Melayu. Sistem ekonomi yang berdasarkan syariat Islam mula diperkenalkan. Kegiatan ekonomi masyarakat Islam yang rancak telah menjana pembangunan dan kepentingan umat dengan cara memberi sumbangan dan memenuhi kewajipan agama Islam seperti berzakat dan bersedekah. Keadaan ini berterusan sehingga kedatangan pihak penjajah yang mula memperkenalkan sistem ekonomi moden (acuan Barat) yang tidak bertitik tolak dari syariat Islam.
Perkembangan pesat ekonomi Semenanjung Tanah Melayu telah mencetuskan keperluan tenaga kerja di sektor-sektor perladangan dan perlombongan. Sebagai mengatasi kemelut ini, penjajah Inggeris telah membawa buruh-buruh asing dari luar Tanah Melayu khususnya dari India dan Cina untuk memenuhi keperluan tenaga buruh. Dalam perkembangan seterusnya, kegiatan dan aktiviti ekonomi pada dua sektor ini membawa kesan yang kurang sihat kepada keharmonian masyarakat di Malaysia/ Tanah Melayu. Kehadiran dua bangsa asing secara berterusan dan bermustautin di negara ini telah membentuk masyarakat dominan di Malaysia yang dikenali dengan masyarakat makmuk. Tiga bangsa tersebut ialah Melayu, Cina dan India. Tiga kelompok bangsa ini mudah dikenali menerusi kegiatan ekonomi yang mereka usahakan dan penempatan warisan mereka. Keadaan ini berterusan sehingga Malaysia/Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan berusaha membawa masyarakat Melayu berkecimpung dalam bidang ekonomi moden kerana kaum Melayu terpaksa bersaing dengan kaum Cina yang lebih dahulu menguasai sektor ini. Penguasaan sektor ekonomi oleh kaum Cina berterusan selepas era kemerdekaan. Peristiwa 13 Mei 1959, telah menjadi titik tolak penting dalam sejarah perkembangan ekonomi Tanah Melayu. Peristiwa tersebut membawa perubahan besar dalam sosio-ekonomi Malaysia. Usaha yang lebih pro-aktif telah dilakukan dalam menentukan peristiwa ini tidak berulang kembali. Justru itu kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970. Dasar ini bertujuan merapatkan jurang perbezaan ekonomi kalangan masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina. Dasar ini berjalan selama 10 tahun dengan matlamat utama untuk mencapai 30 peratus ekuiti bumiputera dalam sektor ekonomi.
Sungguhpun belum mencapai kejayaan sepenuhnya dalam pemilikan 30% ekuiti bumiputera di sektor ekonomi, namun dasar ini tetap menjadi landasan penting dalam menggalakkan penglibatan langsung golongan bumiputera dalam bidang ekonomi. Dasar ini telah meningkatkan usaha bumiputera Melayu sehingga melahirkan golongan usahawan Melayu-Muslim yang berjaya. Kejayaan ini menjadi penyumbang kepada negara dalam usaha Malaysia membina kekuatan ekonomi, mengembeling kesetiaan dan perpaduan bangsa demi mempertahankan kedaulatan negara. Kejayaan ini juga meliputi kemampuan mengurus sumber asli di negara ini. Sumber petroleum telah berjaya diurus dengan penuh cemerlang oleh Syarikat Petronas yang telah memaksimumkan kepentingan Malaysia, di samping menjadikan Petronas antara gergasi korporat global. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1970 telah memungkinkan pegangan ekuiti Melayu-Muslim ditambah daripada paras paling rendah iaitu dari 2.4 peratus pada tahun 1970 kepada tahap pencapaian 19.3 peratus pada tahun 1990.
Namun setelah tamat tempoh rasmi pelaksanaan DEB pada tahun 1990 dan setelah Dasar Penswastaan dilaksanakan, pencapaian ekonomi Melayu kelihatan telah merosot kepada 18.9 peratus pada tahun 2000 dan bertambah menurun pada tahun 2002 sebanyak 18.7 peratus. Hakisan ini berlaku apabila krisis ekonomi melanda negara ini pada tahun 1997. Keadaan ini perlu ditangani dalam usaha mengembalikan maruah umat dan agama di tempat yang sebenarnya demi memelihara martabat umat Islam. Fenomena ini menuntut satu gagasan strategi baru yang lebih berkesan dan perkasa dalam menyatupadukan semula seluruh tenaga bangsa dan umat Melayu Islam. Dengan kata lain, bangsa Melayu dan umat Islam tiada pilihan lain, selain menerima gagasan Agenda Ekonomi Hadhari yang mensasarkan usaha perniagaan di monopoli oleh anak bangsa sebagai perjuangan bertaraf Jihad. Pendekatan ini merupakan strategi yang berkesan dan menepati situasi cabaran semasa dan realiti ekonomi global hari ini.
3.5.6 Pengaruh Islam dalam institusi kewangan
Agama Islam turut mempengaruhi aktiviti ekonomi masyarakat Islam. Masyarakat Melayu mempunyai azam dan cita-cita untuk melaksanakan Islam dalam aspek ekonomi. Justeru itu, usaha ini telah membawa kepada penggubalan dasar dan perubahan dalam perundangan ekonomi sehingga membawa kepada penubuhan institusi-institusi Islam yang memainkan peranan penting dalam ekonomi dan perniagaan Islam di Malaysia.
Praktis ini semakin serius dilakukan dalam amalan institusi kewangan. Era 1980an menampilkan satu perkembangan yang memberangsangkan di mana usaha pemerintah menjadikan wawasan ekonomi berteraskan Islam dapat dilaksanakan. Akta perbankan telah dirombak bagi membolehkan pihak kerajaan menubuhkan satu institusi yang menjalankan amalan perniagaan berdasarkan syariat Islam. Justeru melalui perubahan terhadap akta perbankan, penubuhan institusi kewangan Islam telah diluluskan. Ekoran itu, wujud Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang menjadi pelopor perbankan Islam. Penubuhan institusi ini dilanjutkan dengan wujudnya Bank Muamalat yang juga menjalankan operasi berdasar sistem muamalat Islam. Pengurusan perbankan yang berpandukan kaedah syarak dan ditadbir urus oleh golongan profesional Islam telah memberi sinar baru kepada institusi kewangan Islam di Malaysia. Ini dapat digambarkan melalui sokongan berterusan kerajaan dan umat Islam dengan menjadi ahli perbankan Islam serta terlibat dalam aktiviti perniagaan yang diperkenalkan oleh pihak bank. Kejayaan ini ditambah dengan adanya dokongan pihak berkuasa melalui agensi-agensi di bawahnya. Minat dan keyakinan pihak pelabur dari kalangan bukan Islam juga menjadi faktor pembantu ke arah pencapaian cemerlang Bank Islam hingga kini. Malahan bank-bank konvensional cuba menerapkan elemen perniagaan mengikut kaedah Islam dalam operasi bank mereka. Ini menjadi petanda kejayaan operasi perbankan yang berteraskan syariah Islam dan menjadi alternatif penting dalam menangani cabaran ekonomi konvensional yang ternyata menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat dan masyarakat.
Kewujudan institusi perniagaan Islam ini telah memberi pilihan kepada umat Melayu untuk memberi sumbangan dan turut sama dalam usaha memajukan ekonomi umat Melayu. Institusi kewangan Islam ini juga tidak menghalang masyarakat bukan Islam sama-sama menganggotai institusi kewangan ini. Oleh itu terdapat sebahagian masyarakat bukan Islam yang menaruh penuh kepercayaan kepada institusi kewangan yang dilaksanakan oleh umat Islam sehingga mereka tidak ragu-ragu menanam modal dalam institusi kewangan yang dikendalikan oleh umat Islam.
3.5.7 Pembinaan Institusi Pendidikan (Bahasa, ilmu dan intelektual).
Menurut Winstedt, bahasa Melayu sebelum kewujudan Islam di Alam Melayu ditulis dengan menggunakan huruf Kawi dan Nagari yang berasal dari Pallava, India. Manakala tulisan Jawi mulai terkenal dalam Tamadun Melayu selepas kedatangan Islam. Huruf Arab yang berasal dari al-Qur’an telah menggantikan huruf Kawi dan Nagari. Oleh itu, kedatangan Islam ke Alam Melayu ini telah melahirkan satu bentuk tulisan baru bagi masyarakat rantau ini yang dikenali sebagai tulisan jawi. Ia merupakan satu bentuk tulisan baru yang dicipta oleh sekumpulan masyarakat Islam keturunan Parsi yang menetap di bahagian utara Sumatera. Tulisan ini menggabungkan huruf Arab-Parsi yang kemudian dikenali sebagai tulisan Jawi. Tulisan ini kemudiannya telah digunakan secara meluas dalam bidang penulisan kitab-kitab agama Islam yang menjadi medium utama penyebaran ajaran Islam di daerah Nusantara ini.
Perkembangan dan penggunaan tulisan jawi telah mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu. Sejajar itu istilah-istilah agama Islam telah diserap menjadi sebahagian istilah bahasa Melayu. Sebagai contohnya, perkataan akidah, iman, ihsan, sedekah, zakat, wajib dan lain-lain adalah perkataan bahasa Arab untuk menjelaskan ajaran Islam yang telah menjadi sebahagian perkataan bahasa Melayu.
Agama Islam turut berjaya mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Lingua Franca atau bahasa perantaraan dalam menjalin hubungan dengan masyarakat luar. Bahasa Melayu yang diucapkan oleh seluruh masyarakat Melayu di wilayah Alam Melayu telah menjadi bahasa pengantar agama Islam di Gugusan Kepulauan Melayu di samping menjadi bahasa ilmu, sosio-politiik serta sosio-ekonomi. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara telah memungkinkan wilayah ini menjadi “emporium besar” yang berjaya menarik minat masyarakat di luar wilayah gugusan Melayu ini.
Penggunaan bahasa Melayu bertambah kukuh dengan terhasilnya karya-karya kesusasteraan Melayu sama ada berbentuk karya saduran dari sastera Timur Tengah dan Asia Barat atau karya asli ilmuwan dan sasterawan Melayu. Melalui penghasilan karya yang menggunakan tulisan jawi, bahasa Melayu telah berjaya menjadi perantara segala ilmu dan maklumat Islam. Perkembangan Islam melalui medium penting ini telah membawa manfaat besar kepada masyarakat Alam Melayu untuk memahami ajaran Islam. Ini menjadi pendorong kukuh kepada para pendakwah dan ilmuwan Islam untuk memperbanyakkan hsil penulisan berkaitan Islam demi mencapai hasrat dakwah Islam. Penggunaan tulisan jawi yang diasaskan kepada huruf-huruf Arab dengan penambahan lima huruf baru (Nya - ?, Ca -? , Ga -? , Pa -? dan Nga - ?) telah menambah nilai kekuatan bahasa Melayu. Hasilnya perbendaharaan kata dan istilah Melayu dikembangkan melalui pengaruh bahasa Arab dan bahasa Parsi di samping pemakaian huruf Arab sedia ada.
Selain itu, Islam telah memperkenalkan pengetahuan bercorak falsafah, pemikiran yang bercorak rasional dan intelektual di rantau Alam Melayu. Melalui pemikiran rasional, Islam menekankan unsur-unsur persamaan sosial, keadilan dan keperibadian mulia dalam mewujudkan masyarakat harmoni di rantau ini. Perkembangan ini telah mengubah penekanan unsur-unsur estetika yang bercorak fahaman Hindu-Buddha kepada bercorak akliah Islamiah.
Ilmu pengetahuan yang ditekankan oleh Islam telah mengembangkan tradisi pendidikan dan pengajaran. Dorongan belajar bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan kitab-kitab mengenai ajaran Islam. Pusat pengajian mulai tumbuh di masjid atau surau. Selanjutnya, sekolah-sekolah seperti madrasah, pondok, pesantren, rangkeng dan lain-lain didirikan bagi menampung para pelajar yang semakin ramai. Pasai sebagai contohnya, telah memulakan tradisi pendidikan di istana pada abad 13 M. Demikian juga istana Melaka pada abad 15 M dan Kesultanan Aceh abad 16 M. Selepas kejatuhan empayar Melayu, pusat-pusat pendidikan telah berkembang di luar tradisi tinggi yang berpusat di istana berpindah di kalangan rakyat jelata yang mewakili tradisi rendah. Ini dibuktikan dengan lahirnya sistem pengajian rangkeng di Aceh, sistem pengajian pondok di Patani, Kelantan dan Kedah dan seterusnya pesantren di Pulau Jawa.
Melalui sistem pengajian tersebut lahirlah para cendekiawan dan ilmuan Melayu yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru, ulama dan ahli agama. Antara tokoh Melayu yang terkenal pada peringkat awal seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel dari Aceh, Syeikh Abdul Malik Abdullah Terengganu, Syeikh Daud al-Fatani, Abdul Samad al-Palembangi dan ramai lagi. Tokoh-tokoh dari kalangan ulama ini telah memainkan peranan yang besar dalam menyampai dan menyebarkan ilmu-ilmu berkaitan akidah dan syariat Islam dalam pelbagai genre sastra Melayu seperti puisi, pantun, syair, gurindam, seloka, perbidalan, peribahasa mahupun bentuk prosa kepada masyarakat Melayu di seluruh wilayah Nusantara. Kekuatan pengaruh Islam pada tahap awal ini yang telah melahirkan kerajaan atau pusat pemerintahan Islam di wilayah ini dan mempunyai tokoh-tokoh ulama’ yang mendapat pengiktirafan daripada ulama besar di Asia Barat atau Semenanjung Tanah Arab telah menyebabkan wilayah ini menjadi tumpuan masyarakat Islam dari luar daerah Nusantara untuk berkunjung dan mendalami ilmu pengetahuan di wilayah ini.
Perkembangan pendidikan pasca penjajahan dan kemerdekaan menunjukkan kemajuan yang pesat. Bidang pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda negara dan memperoleh dana yang tinggi dalam program pembangunan melalui rancangan jangka pendek dan jangka panjang yang diperkenalkan oleh pihak Kerajaan Malaysia. Institusi pendidikan tinggi yang berorientasikan keislaman tetap tumbuh dan berkembang secara terancang sama ada didirikan oleh pihak pemerintah atau badan-badan NGO. Sebagai contoh, wujud Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Institut Iqra’, Institut Ibnu Sina dan banyak lagi. Kewujudan institusi ini membuktikan kepesatan perkembangan pendidikan di wilayah ini. Demikian juga kemunculan pusat-pusat pengajian keislaman tradisional serantau yang berwibawa seperti Ikatan Cendiakawan Muslim Indonesia (ICMI), Majlis Ilmu Patani, Thailand dan sebagainya turut membuktikan pengaruh Islam yang kukuh dalam bidang pendidikan dan keilmuan. Situasi ini semua memantapkan lagi kewibawaan umat Islam di rantau ini.
Menelusur era pendidikan agama Islam pada zaman penjajahan Inggeris di Malaysia, memperlihatkan perkembangan pendidikan agama melalui zaman kemalapan. Ini disebabkan pengamalan dasar “Divide and role” oleh pemerintah Inggeris dalam persoalan agama. Menerusi dasar ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat Melayu sendiri menguruskan hal-hal berkaitan agama. Kesannya, pendidikan agama terpinggir dalam arus pembangunan negara dan hal agama adalah bersifat individu. Oleh itu, tidak hairan mengapa di zaman penguasaan penjajah pendidikan agama mulai terkeluar dalam program pembangunan pemerintahan secara keseluruhannya. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna pendidikan agama langsung tidak mendapat tempat, sebaliknya ia terus berkembang dalam ruang lain melalui usaha berterusan para alim ulama’ yang mahukan pendidikan Islam terus dapat diterima oleh masyarakatr Islam di wilayah ini.
Perlembagaan Malaysia melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan telah memperuntukkan hak kepada semua rakyat untuk mendapat pendidikan formal semenjak di peringkat awal lagi. Golongan pendidik Islam telah mempergunakan ruang ini dengan menubuhkan institusi pendidikan dan pusat-pusat keilmuan Islam. Institusi ini menjadi tempat umat Islam mendalami pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Penubuhan institusi ini memberi kesan kepada perkembangan pendidikan agama di Malaysia. Pada era tahun 80an pendidikan agama mengalami perubahan pesat, di mana sebahagian besar sekolah-sekolah agama rakyat mula di kendalikan oleh Kementerian Pelajaran dengan bantuan dan sokongan pemerintah. Kesan pengambilalihan ini, ramai di kalangan pelajar-pelajar Melayu Islam yang telah berjaya meneruskan pengajian mereka hingga ke peringkat universiti sama ada di dalam mahupun luar negara. Pengisian kurikulum yang bersifat semasa dan penerapan asas-asas ajaran Islam telah menarik minat ramai kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah aliran agama di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran. Ini agak berbeza dengan tanggapan awal masyarakat Islam yang melihat prospek lulusan agama adalah tidak menentu. Pada hari ini rata-rata ibu bapa yakin dengan kemampuan dan peluang yang disediakan oleh pemerintah di sekolah-sekolah agama. Lulusan aliran ini bukan sahaja dapat menguasai ilmu agama, malah anak-anak mereka turut menguasai ilmu-ilmu sains dan teknologi di samping pelbagai kemahiran.
Berdasarkan analisis di atas, jelas memperlihatkan Tamadun Melayu adalah paksi kepada pembinaan Tamadun Malaysia. Sebagai masyarakat peribumi yang telah lama menetap di wilayah ini, tatacara hidup mereka tidak boleh dikesampingkan dalam menentukan corak nilai budaya dan tamadun bangsa Malaysia pada masa akan datang. Islam yang merupakan agama universal, anutan generasi Melayu, teras pegangan rakyat peribumi serta agama bagi negara ini, harus dilihat sebagai satu nilai tradisi yang turut menyumbang kepada pembinaan tamadun Malaysia.
Beberapa aspek yang perlu dilihat dalam kita menentukan peranan Tamadun Melayu dalam membina Tamadun Malaysia adalah bersandarkan kepada latar belakang asas pembinaan Tamadun Melayu. Tamadun Melayu telah menjadi landasan perkembangan tamadun Malaysia yang bertunjangkan kepada nilai keagamaan, nilai identiti diri, nilai seni dan budaya dan nilai politik dan perundangan. Kesemua nilai ini mempunyai peranan penting dan dijadikan asas pembinaan Tamadun Malaysia. Asas-asas ini menjadi acuan kepada rangka kerja pembinaan Tamadun Malaysia.
3.6 PARADIGMA ISLAM HADHARI
Era kegemilangan umat Islam bermula dengan kejayaan Rasulullah SAW menggubal Piagam Madinah dan mengisytiharkan Madinah al-Munawwarah sebagai sebuah negara Islam. Bertitik tolak daripada kejayaan ini, Negara Islam terus berkembang dengan pesat pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, diikuti pula dengan zaman pemerintahan Bani Umaiyyah dan Abbasiyyah. Kejayaan demi kejayaan ditempa umat Islam sehingga berjaya melebarkan kegemilangannya ke benua Eropah, melalui kemunculan Tamadun Islam di Andalusia. Kegemilangan ini turut dirasakan oleh Dunia Timur termasuk India, China dan Asia Tenggara.
Bagaimanapun kejatuhan Kota Baghdad ke tangan tentera Moghul pada tahun 1258 M meninggalkan kesan yang amat mendalam. Faktor dalaman memainkan peranan penting. Kelemahan umat Islam berpunca daripada pergaduhan antara umat Islam sendiri, terutama antara puak Sunni dan Syi`ah. Ini diikuti oleh semangat dan perkauman keterlaluan mengakibatkan berlakunya perpecahan negara Islam kepada kerajaan-kerajaan kecil yang berselerak di seluruh Dunia Islam. Akibatnya khilafah Islamiyyah menjadi lemah dan tidak dapat diselamatkan lagi.
Kini imej Islam dan umatnya telah luntur. Kehebatan umat Islam yang pada suatu ketika dulu digeruni, kini dicemuh dan diperlekehkan, bukan lagi oleh musuh-musuh tetapi juga oleh sebahagian umat Islam. Persepsi umat Islam terhadap agamanya juga terbatas kepada aspek-aspek ibadah khusus semata-mata. Sebahagian lain pula hanya sekadar menampilkan dalam bentuk slogan dan retorik semata-mata. Sedangkan Islam perlu diketengahkan sebagai satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh meliputi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Ia berkemampuan menyelesaikan bukan hanya permasalahan peribadi, tetapi juga menggarap persoalan keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Sebab itu, agenda pembangunan ummah, peradaban bangsa dan keutuhan bangsa perlu digarap dalam agenda perjuangan.
Umat Melayu sebagai satu generasi Muslim mampu menjadi juara mengubah haluan dunia dan memartabatkan kembali sistem khilafah yang hilang dengan beberapa persiapan. Antaranya kita amat yakin bahawa melalui proses pemantapan jati diri dengan iman dan takwa, mengubah halatuju minda dengan ilmu dan pengalaman, menghias sikap dan perilaku dengan akhlak terpuji, menggiatkan segala potensi yang ada. Lantaran itu Islam harus didefinisikan kembali agar ia menjadi jelas dan dapat difahami oleh seluruh umat Islam akan hakikat sebenarnya yang terkandung dalam perkataan al-Islam itu.
3.6.1 Tasawwur Islam
Secara umumnya Islam boleh didefinisikan dalam dua persepsi berikut:
Pertama: “Kepatuhan, ketundukan dan ketaatan terhadap syari`at yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW secara zahir dan batin dengan penuh keikhlasan lahir daripada kesedaran diri bukan kerana terpaksa”.
Kedua: “Suatu peraturan umum dan undang-undang yang bersifat sempurna dan menyeluruh merangkumi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia dalam mengatur perancangan dan sistem hidup mereka, orang yang mentaatinya diberikan pahala orang yang mengingkarinya dikenakan dosa.
Dari persepsi ini dapat difaham Islam adalah satu agama syumul dan kamil. Takrif Islam yang lebih menyeluruh dapat disimpulkan sebagai “Suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna, membicarakan seluruh permasalahan hidup manusia; berkaitan dengan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan ummah, mendasari tiga persoalan utama; `aqidah, syari`ah dan akhlak. Berasaskan tiga dasar inilah seluruh sistem kehidupan masyarakat manusia ditegakkan. Oleh itu Islam adalah gambaran yang menyeluruh dan global terangkum dalam aspek berikut:
1. Aqidah: Keimanan kepada semua perkara yang terkandung dalam aspek-aspek ketuhanan, kenabian, al-ruhaniyyat (perkara ghaib) dan al-sam`iyyat al-Ghaybiyyat (alam akhirat). Semua perkara ini terikat kukuh dalam sanubari seorang mukmin. Rukun-rukun iman iaitu, keimanan kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan ketentuan buruk-baik (qada’-qadar) daripada Allah SWT adalah terangkum di dalam aspek-aspek ini.
2. Syari`ah: Suatu peraturan khusus dan umum berasaskan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT dan ditafsirkan melalui sunnah Rasulullah SAW merangkumi hal ibadat, mu`amalat, munakahat dan jinayat. Demikan juga segala permasalahan yang berkaitan dengan sistem-sistem kenegaraan seperti, ekonomi, politik, pendidikan, kehakiman, perundangan, kebudayaan, kesihatan, ketenteraan, keamanan dan keselamatan.
3. Akhlak: Suatu sifat yang tertanam dan sebati dalam sanubari seseorang. Ia tercerna melalui perkataan dan tingkah laku spontan. Pelaku akhlak menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai tonggaknya. Jika baik menurut al-Qur’an dan al-Sunnah baiklah tingkahlaku tersebut. Jika baik menurut al-Qur’an dan al-Sunnah bermakna baiklah dan jika buruk menurut pertimbangan al-Qur’an dan al-Sunnah bermakna buruklah. Akhlak dalam Islam merangkumi hubungan seseorang dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Sebagai contoh, akhlak terpuji (mahmudah) dengan Allah ialah takwa, ikhlas, syukur, sabar, reda, tawakkal, zuhud dan wara`. Manakala yang membabitkan hubungan sesama manusia ialah seperti; amanah, penyayang, pemaaf, pemurah, adil dan toleransi. Sementara yang membabitkan hubungan dengan alam pula ialah seperti; adil dan penyayang.
Ketiga-tiga perkara di atas menjadi asas pembinaan seluruh sistem hidup manusia. Justeru itu, perbezaan antara Tamadun Islam dengan bukan Islam terletak kepada asas-asas tamadun di atas. Sekiranya asas-asas tersebut menjadi titik tolak untuk membangunkan sesebuah peradaban masyarakat, bererti peradaban yang dibina adalah Tamadun Islam. Sekiranya membelakangkan tiga asas ini bererti peradaban yang terbina bukan peradaban Tamadun Islam, walaupun ia didirikan oleh umat yang bergelar peradaban Muslim.
3.6.1 Definisi Islam Hadhari
Hadhari berasal daripada kata hadharah yang bermaksud, tamadun, peradaban, masyarakat yang maju dan membangun. Islam hadhari atau disebut juga sebagai al-Manhaj al-Islam al-Hadhari ialah suatu pendekatan menyeluruh untuk membangunkan individu, keluarga, masyarakat dan negara, melalui pembangunan insan dan material secara sepadu dan menyeluruh dari segi spiritual (keimanan), emosional (akhlak), intelektual (keilmuan) dan material (kebendaan) yang membawa manusia mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, berinovatif, serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, objektif dan praktikal. ( JAKIM, 2005)
Oleh itu, Islam tidak boleh difahami secara juz’i atau terpisah daripada aspek kehidupan yang lain seperti ekonomi, politik, pendidikan, kehakiman, perundangan, kebudayaan, keselamatan dan kesihatan. Ini kerana setiap bidang kehidupan yang diceburi oleh seorang Muslim telah ada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Islam untuk dipatuhi. Islam adalah ajaran untuk meningkatkan kualiti hidup ke arah peradaban unggul terutama ketika berhadapan dengan cabaran di alaf baru, seperti ledakan teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi global, krisis identiti dan penjajahan pemikiran.
Sehubungan itu, Islam Hadhari mempunyai visi dan misi untuk membina tamadun umat Melayu. Visinya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh iaitu sebuah negara maju, aman, harmoni serta mendapat keampunan, rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT (JAKIM, 2005) Misinya pula untuk melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang bersifat universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang. ( JAKIM, 2005). Islam Hadharai jelas mempunyai objektif untuk melahirkan individu dan masyarakat Islam yang memiliki jati diri mantap dengan kekuatan spiritual, emosional, intelektual, material, berdikari, berdaya saing, berfikiran ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai.( JAKIM, 2005)
3.6.2 Asas-Asas Pembentukan Masyarakat Islam Hadhari
Para sarjana Islam memadukan aspek material, spiritual dan moral dalam memahami tamadun atau hadharah. Ibn Khaldun umpamanya, meletakkan pegangan kuat kepada agama yang diwahyukan oleh Allah SWT sebagai syarat utama. Ia mestilah diasaskan kepada tiga perkara utama iaitu aqidah, syariah dan akhlak. Segala bentuk penyusunan pentadbiran dalam sesebuah masyarakat dari segi politik, ekonomi, sosial, keilmuan, muamalah dan sebagainya mestilah berasaskan kepada acuan di atas (al-sibghah al-diniyyah). Pembinaan tamadun yang tidak diasaskan kepada asas ini akan bertukar kepada kehidupan al-badawah yang menuju kehancuran tamadun (Ibn Khaldun, 1967).
Sayid Qutb (1986) dalam bukunya Ma`alim fi al-tariq juga meletakkan asas-asas penting kepada kelahiran Tamadun Islam adalah melalui acuan keagamaan. Asas-asas yang dimaksudkan ialah:
Pengabdian diri kepada Allah
Organisasi atas dasar akidah.
Keagungan dan keluhuran nilai kemanusiaan berbanding nilai kebendaan.
Nilai-nilai kemanusiaan berfungsi menghambat sifat kebinatangan.
Kesucian keluarga.
Melaksanakan tugas khilafah di bumi dengan mengikut panduan wahyu.
Mematuhi syariat dalam semua urusan khilafah di bumi.
Berdasarkan pandangan dua orang sarjana Muslim di atas dapatlah dirumuskan bahawa asas masyarakat Islam Hadhari adalah melengkapi perkara-perkara berikut:
1. Aqidah
Kepentingan akidah sebagai asas utama Tamadun Islam amat jelas sekali, kerana segala bentuk pembangunan yang hendak dibina oleh manusia haruslah bermula dari dalam diri, kemudian barulah dilebarkan kepada yang lain. Pembina tamadun yang memiliki kesatuan jiwa, berfikir dan bertindak akan melahirkan tamadun yang bertahan lama dan harmoni serta mendapat keberkatan dan rahmat serta keampunan daripada Allah SWT.
Akidah menjadi asas dan amat penting dalam pembinaan masyarakat hadhari. Kepincangan akidah bererti musnahlah segala-galanya kerana akidah adalah ibarat nadi kepada jasad manusia, asas kepada sebuah binaan atau akar kepada sebatang pokok. Oleh itu, apabila rosak bererti binasalah badan, binaan dan pokok tersebut. Asas ini menjadi dasar seluruh sistem dan dimensi kehidupan manusia. Akidah ialah keimanan dan keyakinan kepada seluruh aspek yang membabitkan persoalan al-Ilahiyyat (ketuhanan Allah SWT), al-nubuwwat (kenabian dan kerasulan Muhammad SAW dan para nabi yang diutuskan), al-ruhaniyyat (makhluk-makhluk hidup yang ghaib daripada pandangan manusia) dan al-ghaibiyyat (alam ghaib seperti Barzakh, Mahsyar, Sirat, Mizan, al-Jannah dan al-Nar). Keimanan dan keyakinan terhadap semua perkara khususnya rukun-rukun Iman (beriman dengan Allah, para malaikat, kitab, para rasul, hari akhirat, qada’ dan qadar) yang disebutkan disematkan dalam sanubari seseorang mukmin.
Intipati kepada seluruh persoalan akidah ialah keimanan dan keyakinan kepada ketauhidan Allah SWT. Ketauhidan Allah merangkumi aspek-aspek al-uluhiyyah, al-rububiyyah, al-asma’ dan al-sifat. (al-Maududi, 1980)
a. al-Uluhiyyah : Meyakini bahawa Allah SWT Esa sebagai Tuhan yang disembah, dipuja, dipuji, tempat memohon, tempat bertawakal dan sebagainya. Ini bererti orang-orang yang memuja dan menyembah selain Allah dianggap melakukan perbuatan syirik dan tidak mentauhidkan Allah SWT.
b. al-Rububiyyah : Meyakini bahawa Allah SWT Esa sebagai Tuhan yang mencipta, mentadbir, menguasai, memiliki, mengurus seluruh alam termasuk makhluk yang bernama manusia dan jin. Ini bermaksud seseorang yang membelakangkan perintah dan larangan-Nya dan tidak mengakui bahawa alam ini dicipta oleh Allah SWT, bererti telah menyengutukan Allah SWT dari sudut rububiyyah-Nya.
c. al-Asma’ dan al-Sifat : Seseorang yang beriman wajib meyakini dengan sepenuhnya bahawa Allah SWT mempunyai nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha sempurna (sifat-sifat kamalat) dan Maha Agung dan Maha Mulia (sifat-sifat jalal). Nama-nama Allah yang Maha Indah itu tersenarai jelas dalam al-Asma’ al-Husna sebanyak 99 nama. Manakala sifat-sifat-Nya terdapat dalam maksud di sebalik al-Asma’ al-Husna. Sesetengah ulama Usuluddin pula menegaskan sifat-sifat Allah terletak pada sifat 20 yang wajib ada bagi Allah SWT.
2. Syariah
Syariah ialah hukum-hakam perundangan dan peraturan yang diturunkan oleh Allah SWT melalui wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad SAW yang bertujuan mengatur kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Hukum ini merangkum hal ibadah, muamalah, kekeluargaan dan jenayah. Hal ibadah yang dimaksudkan adalah membabitkan hubungan seseorang hamba dengan Pencipta seperti solat, puasa, zakat dan haji. Manakala muamalah pula bermaksud segala urusan yang membabitkan hubungan sesama manusia dalam perkara urusan perekonomian (jual-beli, sewa-menyewa, hutang-piutang, saham dan pajak gadai). Termasuk di bawah syariat juga ialah perkara yang menyentuh persoalan politik seperti pentadbiran, keselamatan, keamanan, pendidikan, kekeluargaan, kebudayaan, kesihatan dan sebagainya). Keseluruhan perjalanan syariat yang disebutkan adalah berjalan berasaskan kepada tuntutan wahyu berpaksikan kepada ajaran tauhid.
Syariat dalam Islam sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Ia mungkin mengalami beberapa perubahan mengikut ketentuan ulama mujtahid semasa dalam perkara-perkara cabang dan ranting yang tidak dinaskan secara qat`i dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Bagaimanapun ia tidak berlaku kepada perkara-perkara yang membabitkan akidah dan dasar-dasar ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji.
Syariat berada di tahap kedua selepas akidah. Semua aspek yang terkandung dalam ciri-ciri sesebuah tamadun, mestilah berdiri dan tegak atas syariah. Dalam erti kata lain, sesuatu yang menjadi unsur tamadun mestilah bergerak dan berkembang mengikut hukum dan ketentuan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Jika tidak, secara automatik ia bukan lagi Tamadun Islam. Sebagai contoh, persoalan ekonomi dan politik dianggap dua perkara penting dan amat menentukan dalam pengukuran kejayaan sesebuah tamadun. Namun sekiranya kedua-duanya bergerak dan berkembang tanpa mengambil kira kehendak syariat, halal-haram dan sebagainya, pasti ia terkeluar dari perspektif masyarakat hadhari dalam Tamadun Islam.
3. Akhlak
Akhlak menurut al-Imam al-Ghazali dan Ibn Maskawaih ialah:
“Suatu sifat yang tertanam dan sebati dalam jiwa seseorang yang mendorongnya untuk melakukan sesuatu perbuatan dengan mudah tanpa melalui pertimbangan akal fikiran. Sekiranya baik menurut pertimbangan al-Qur’an dan al-Sunnah, bererti baiklah dan sekiranya buruk mengikut al-Qur’an dan al-Sunnah bererti buruklah”.4
Akhlak terhasil daripada iman yang kental dalam sanubari seseorang. Ia ibarat buah yang terhasil dari sebatang pokok yang subur. Kecemerlangan sesebuah tamadun atau umat amat dipengaruhi oleh akhlak yang baik. Keruntuhan sosial dalam masyarakat adalah disebabkan kedangkalan akhlak di kalangan para anggotanya. Jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan tamadun amat bergantung kepada akhlak. Kewujudannya bererti kekallah bangsa dan tamadun, ketiadaannya bererti musnahlah segala-galanya. Ahmad Syauqi, seorang penyair Arab yang terkenal pernah menyebut dalam bait-bait syairnya:
“Sesungguhnya kekalnya sesuatu bangsa itu bergantung kepada akhlak para anggotanya, sekiranya akhlak mereka musnah, bererti lenyaplah bangsa tersebut”.
Oleh sebab itu, tanggungjawab melahirkan generasi yang berakhlak adalah suatu amanah yang sangat mulia. Amanah telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada semua rasul-Nya. Kenyataan ini amat bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
“Sesungguhnya aku di utusan untuk memperbaiki dan mengharmonikan akhlak manusia.”
Fungsi akhlak sebagai asas ketiga tamadun Islam dapat dilihat pada kaitannya dengan hubungan manusia dengan Pencipta, manusia sesama manusia dan manusia dengan alam dan haiwan. Kemurnian hubungan manusia dengan Pencipta boleh menyebabkan jiwa manusia terbina dengan sifat-sifat ikhlas, sabar dalam menempuh halangan, berpada dengan yang ada, bersyukur dan berterima kasih atas segala nikmat yang diterima. Demikian juga kemurnian hubungan manusia sesama manusia akan lahir kecenderungan untuk bertindak dengan adil, keinginan untuk bekerjasama, bertolak ansur, penyayang, pemurah dan sebagainya. Begitu jugalah jika dikaitkan dengan keharmonian hubungan manusia dengan selain manusia. Sebagai contoh, kesuburan flora dan fauna akan berfungsi sebagai pengimbang suhu bumi, sekali gus mengharmonikan kehidupan manusia. Kejernihan air sungai dan laut serta kebersihan pantai boleh membawa keselesaan kepada seluruh hidupan air dan sekali gus memberi manfaat besar kepada manusia dan alam seluruhnya. Semua ini menjadi alasan yang kuat kepada para sarjana Muslim untuk meletakkan tiga asas di atas menjadi asas-asas utama Tamadun Islam.
3.6.3 Ciri-ciri Pembentukan Masyarakat Islam Hadhari
Berdasarkan kepada asas penting yang diletakkan sebagai teras pembinaan sesebuah Tamadun Islam, sudah tentu dapat dirasakan bahawa ciri-ciri dan sifat-sifat Masyarakat Islam Hadhari suatu yang sempurna dan menyeluruh, bukan sahaja boleh dilihat kepada perspektif dalamannya, tetapi juga perspektif luarannya yang harus dibangunkan secara sepadu. Kepincangan sesebuah tamadun boleh berlaku apabila ianya dibangunkan tanpa mengambilkira antara dua perspektif tersebut, iaitu ciri-ciri dalaman dan ciri-ciri luaran.
a. Ciri-ciri Dalaman
Ciri-ciri dalaman yang dimaksudkan adalah merangkumi unsur yang menyentuh tuntutan diri dalaman masyarakat. Antara ciri-ciri tersebut adalah sebagai berikut:
i. Penghayatan Terhadap Tuntutan Agama.
Ciri ini dapat dilihat kepada penekanan yang diberikan oleh Tamadun Islam kepada asas utamanya ialah tauhid (Mengimani dan meyakini keesaan Allah SWT sebagai Tuhan yang berkuasa Mencipta, Menguasai, Mentadbir dan Mengatur perjalanan alam seluruhnya. Manusia sebagai sebahagian unsur alam saghir yang diciptakan dikehendaki menerima ketentuan serta wajib tunduk dan patuh kepada segala arahan wahyu yang disampaikan melalui lidah Rasul-Nya SAW.
ii. Menjadikan Ajaran Wahyu Sebagai Sumber Rujukan Utama Program Pembangunan Masyarakat.
Ciri ini merujuk kepada sumber mutlak Masyarakat Islam Hadhari bukan kepada pemikiran manusia atau beralaskan mana-mana kepercayaan dan pengalaman tamadun di dunia, tetapi bersumberkan wahyu Allah SWT. Adapun ijtihad dan pengalaman tamadun asing hanyalah sebagai sumber tafsiran yang tidak boleh lari daripada garis panduan asal yang termaktub dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Dalam pada itu juga semua bentuk pencapaian dan kemajuan dalam Tamadun Islam bernaung di bawah kesatuan akidah, keyakinan dan kefahaman yang sama melalui ajaran tauhid.
iii. Tidak Terpesong Dari Landasan Fitrah Manusia.
Ciri ini pula memperlihatkan bahawa tuntutan pembangunan dan kemajuan Tamadun Islam adalah bertepatan dengan kehendak naluri manusia yang menitikberatkan spiritual, emosional dan moral berbanding fizikal dan material. Tamadun yang dibangunkan secara pincang dan menitikberatkan aspek material berbanding spiritual hanya dapat memenuhi tuntutan hawa nafsu dan tidak berlandaskan ilmu dan iman. Sebab itu Tamadun Islam menjadikan takwa dan keredaan Allah SWT sebagai tujuan pembinaannya, bukan sebaliknya.
iv. Mementingkan Kesejagatan, Bersifat Mutlak dan Tetap Tanpa Dipengaruhi Hawa Nafsu.
Ciri ini menjelaskan bahawa Masyarakat Islam Hadhari tidak mungkin berubah garis panduannya. Pertukaran zaman, perubahan geografi dan sebagainya tidak mungkin mengubah haluan matlamat dan paradigmanya. Ini disebabkan sumber mutlaknya bukan pemikiran manusia yang sering mengalami kebuntuan dan kecelaruan, tetapi wahyu Allah yang sentiasa segar dan bertenaga walaupun mengalami perubahan masa dan geografi. Inilah rahsia di sebalik kenyataan tegas yang terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Setelah jelas kesesatan dan syirik itu), maka hadapkanlah dirimu (dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ”agama Allah” iaitu agama yang Allah ciptakan untuk manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah SWT itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”.
(al-Rum: 30)
v. Menilai Kecemerlangan Tamadun Secara Sepadu Dan Seimbang Antara Spiritual, Intelektual, Emosional Dan Material.
Ciri ini membuktikan bahawa agama menjadi acuan (sibghah) bagi Tamadun Islam. Kenyataan ini amat menepati firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah:), acuan Allah (yang telah mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik acuannya (berbanding acuan Allah yang kami beriman dengan-Nya)? Dan kepada-Nyalah kami beribadat”.
(al-Baqarah: 138)
vi. Terbuka dan Toleransi.
Keterbukaan dan toleransi yang dimaksudkan ialah menerima apa sahaja pandangan dan sumbangan yang dikemukakan walaupun daripada individu atau negara bukan Islam yang tidak bertentangan dengan nilai-nilai yang ditetapkan oleh syariat Islam. Dalam pada itu juga ia boleh bertoleransi terhadap penghayatan kepercayaan atau kebudayaan oleh masyarakat bukan Islam terhadap tuntutan agama mereka. Dalam hal ini al-Qur’an merakamkan penghargaan terhadap sesiapa sahaja yang memiliki sifat terbuka mendengar segala perkataan yang sampai kepadanya tetapi menerima yang terbaik, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan orang-orang yang menjauhi dirinya daripada menyembah atau memuja taghut, serta mereka rujuk kembali taat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik sahaja mereka meninggal dunia). Oleh itu gembirakanlah hamba-hamba-Ku yang mendengar segala perkataan yang sampai kepadanya, lalu mereka memilih yang terbaik. Mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah oleh Allah dan merekalah yang berakal sempurna”.
(al-Zumar: 17-18)
b. Ciri-ciri Luaran
Sesebuah Masyarakat Hadhari tidak mungkin dapat direalisasikan dengan cemerlang tanpa dibangunkan secara sepadu dan seimbang antara pembangunan spiritual dan fizikal. Beberapa aspek lain seperti kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi yang mapan dan keharmonian sosial amat berperanan dalam melahirkan sebuah masyarakat dan negara yang gemilang dan terbilang. Antara ciri-ciri luaran adalah seperti berikut:
i. Kestabilan politik
Kejayaan yang dicapai oleh sesebuah tamadun amat bergantung kepada peranan para pemimpin dalam menentukan corak dan arah perjalanan politik sesebuah negara. Kepintaran dan sifat amanah pemimpin memikul tanggungjawab serta adil dalam memerintah merupakan pra-syarat utama dalam menentukan kestabilan perjalanan politik negara. Pada kebiasaannya, pemerintah yang mengamalkan perluasan kuasa dan membentuk wilayah takluknya kepada beberapa buah negara kota, dilengkapkan pula dengan undang-undang bertulis yang kemas merupakan petanda kepada munculnya sebuah kuasa yang kuat dan bertahan lama. Dalam pada itu pula, keadilan para pemimpin mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat secara adil dan saksama pula sebagai penentu kejayaan untuk mengelak daripada berlakunya pemberontakan di kalangan rakyat bawahan. Sekiranya asas-asas ini dipenuhi dan dipelihara sudah tentu kejayaan sesebuah tamadun akan dapat dinikmati secara berpanjangan dan bertahan lebih lama. Dalam hal ini al-Qur’an merakamkan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman…”.
(al-Nahl 90)
Islam amat membenci perbuatan zalim yang dilakukan oleh seseorang walaupun kepada dirinya sendiri, lebih-lebih lagi kepada orang lain. Sebab itu Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya dalam sebuah hadith Qudsi:
“Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman berlaku pada diri-Ku dan Aku haramkan perbuatan itu berlaku antara kamu. Oleh itu janganlah kamu berlaku zalim antara kamu. ”
Demikian juga firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah menghukum dengan adil ”
(al-Nisa’: 58)
Rasulullah SAW ketika menjadi pemimpin Negara Islam Madinah pernah membuat perisytiharan ketika datang satu rombongan untuk meminta jasa baik Rasulullah melepaskan pemimpin mereka yang dijatuhkan hukuman oleh baginda SAW. Bagaimanapun permohonan itu ditolak oleh baginda dengan sabdanya:
“Demi Tuhan yang jiwaku di tangan-Nya, sekiranya anakku Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan potong juga tangannya”.
(Hadith riwayat al-Bukhari)
Keperihatinan baginda SAW dalam menjalankan keadilan di mahkamah menunjukkan Islam begitu serius dalam perkara yang membabitkan hak dan kepentingan untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab.
ii. Pertumbuhan Ekonomi Yang Subur
Ekonomi juga amat berperanan dalam menentukan pembangunan bukan sahaja dari aspek kualiti fizikalnya, tetapi juga membabitkan kualiti spiritual, intelektual dan emotional seseorang yang bertindak sebagai pemikir, pembina dan penggerak kepada pembangunan sesebuah tamadun. Berfikir secara sepontan pun sudah dapat dirasakan betapa perlunya ekonomi kepada perkembangan fizikal sesebuah kawasan yang didiami penduduk secara menetap dan menjadi sebuah bandar yang maju.
Pra syarat untuk menjadi bandar mestilah dilengkapi dengan pelbagai prasarana seperti masjid (bagi umat Islam), istana, pejabat-pejabat kerajaan, institusi pendidikan, perpustakaan awam, pusat membeli-belah, hospital, taman rekreasi dan sebagainya. Semua pra syarat ini mempunyai objektif, iaitu bertujuan membangunkan individu dan masyarakat secara sepadu antara keempat-empat kualiti yang disebutkan. Tanpa ekonomi yang teguh semua pra-syarat di atas tidak dapat dibangunkan.
Oleh itu dapat dikatakan bahawa kerosakan jiwa, minda dan emotional masyarakat amat berkait rapat dengan kemiskinan dan kemerosotan ekonomi negara. Jika situasi ini berlarutan lambat laun negara akan menghadapi kekacauan dan pertelingkahan sesama sendiri. Barangkali inilah yang menjadi alasan kuat mengapa baginda Rasulullah SAW menegaskan dalam sebuah sabdanya:
??? ????? ?? ???? ????
Maksudnya:
“Hampir-hampir kefakiran seseorang boleh membawa kekufuran”.
Walaupun kefakiran bukan menjadi penyebab utama manusia kufur, kerana ramai juga manusia yang kaya juga kufur kepada Allah, namun amat salah sekiranya dikatakan bahawa kekayaanlah yang membawa manusia kufur kepada Allah. Sedangkan kaya atau fakir bukan penyebab utama. Penyebab utama manusia kufur adalah kerana tidak mendapat pendidikan yang sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Inilah punca kebejatan akidah dan akhlak masyarakat. Oleh itu jika pendidikan yang salah atau terhalang mendapat pendidikan disebabkan oleh masalah kewangan menjadi punca, maka bekerja keras untuk mendapat kekayaan adalah wajib, malah jika diniatkan untuk bukan setakat membiayai ahli keluarga tetapi juga orang lain demi kejayaan bersama membangunkan ummah adalah menjadi ibadah malah mendapat ganjaran pahala jihad fi sabili’Llah. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Perumpamaan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka pada jalan Allah sepertilah sebiji bijian tumbuh tujuh tangkai dan setiap tangkai terdapat seratus biji, dan Allah bersedia menggandakan pahala bagi sesiapa sahaja yang Dia kehendaki…”.
(al-Baqarah 2:261)
Ayat ini jelas memperlihatkan kepada umat Islam bahawa tuntutan supaya membelanjakan harta pada jalan Allah mempunyai maksud tersirat yang amat besar ertinya kepada umat Islam. Umat Islam dituntut mencari kekayaan agar dapat membantu mereka yang memerlukan, bukan mencari kekayaan tetapi bakhil untuk menderma atau mencari kekayaan dengan jalan salah dan dibelanjakan ke jalan yang salah, kerana tabiat ini sama dengan tindakan Qarun, Haman dan Ubay bin Khalaf.
iii. Keharmonian Sosial
Keharmonian sosial amat bergantung kepada pendidikan yang diterima oleh masyarakat. Pendidikan adalah elemen penting kepada pembentukan sesebuah masyarakat cemerlang. Hanya anggota masyarakat yang terdidik dan terasuh jiwanya mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan negara. Lantaran itu pembangunan negara tidak mungkin dapat direalisasikan sekiranya proses pendidikan tidak diberikan perhatian sebaik mungkin. Pendidikan bukanlah hanya proses meningkatkan kemahiran hidup atau meningkatkan kualiti intelektual semata-mata, malah lebih jauh dari itu bertujuan menghasilkan insan yang sempurna dan seimbang dari segi kualiti fizikal, spiritual, intelek dan emosi, yang nantinya akan berfungsi sebagai suatu tenaga yang mampu membangunkan diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.
Pendidikan Islam adalah suatu proses untuk melahirkan insan beradab dan berakhlak mulia. Adab yang ditakrifkan sebagai perlakuan baik sesama manusia dan alam akan menjamin kelangsungan keadilan dalam sesebuah negara. Manakala akhlak mulia adalah proses pemupukan dan peresapan sistem nilai murni yang berasaskan tanggungjawab kepada Allah, sesama insan dan alam sejagat. Islam dan pendidikan bukanlah sesuatu yang baru (Hasan Langgulung, 1979). Dalam konteks Malaysia, pendidikan Islam cuba dilaksanakan sebaik mungkin dan cuba diterapkan dalam sistem pendidikan dengan penuh terancang agar manusia yang dihasilkan mempunyai kekuatan dan wibawa diri yang tinggi (Wan Mohd. Zahid Mohd Nordin, 1993).
Resolusi Seminar Pendidikan Tinggi Sains: Ke Arah Reformasi Pendidikan telah membuat pernyataan tentang Falsafah Pendidikan Tinggi Sains seperti berikut (Mohd Yusuf Hj. Othman dan Khalijah Mohd Salleh, ed., 1992):
“Pendidikan sains adalah usaha untuk melahirkan siswazah sains yang berilmu, berketrampilan dan mempunyai sahsiah yang sempurna membolehkan ia mencari dan menegakkan kebenaran dan mendekatkan diri kepada Tuhan melalui ciptaan-Nya serta menyempurnakan amanah sebagai hamba dan khalifah Allah supaya ilmu dan ketrampilan yang diperoleh dapat digunakan sebaik-baiknya ke arah membina satu tamadun bangsa yang berdaya saintifik dengan cara seimbang dan harmonis dengan alam persekitaran”.
Melihat kepada falsafah ini, pendidikan sains juga kelihatan berusaha untuk menghasilkan insan seimbang yang selari dengan ajaran wahyu. Menurut Mohd Kamal Hassan (1988) matlamat pendidikan Islam adalah tidak terkeluar daripada tujuan asal manusia dijadikan iaitu sebagai khalifah yang bermatlamat untuk melakukan hasanah fi al-dunya dan hasanah fi al-akhirah. Ini memberi makna usaha mendidik insan adalah suatu usaha yang bermatlamat murni bagi mencapai erti kejayaan dalam semua lapangan hidup iaitu bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1988) pula menambah: “Unsur-unsur asas dalam sistem pendidikan Islam didasarkan kepada konsep agama (al-Din), konsep manusia (al-insan), konsep ilmu (`ilm wa al-ma`rifah), konsep kebijaksanaan (al-hikmah), konsep keadilan (al-`adl), konsep amal (`amal sebagai adab) dan konsep universiti (kulliyyah jami`ah). Jelas sekali bahawa dengan memahami tuntutan agama dan amanah serta tanggungjawab seseorang manusia berasaskan kepada konsep keilmuan dan kebijaksanaan akan membuahkan natijah insan dan masyarakat yang adil.
Senario masyarakat Malaysia kini menampakkan gejala kebejatan sosial yang semakin hari semakin membimbangkan. Data-data dan maklumat yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar menunjukkan kadar jenayah yang berpunca daripada pembangunan sosial yang tidak seimbang amat mengecewakan. Gejala seperti penyalahgunaan dadah, ragut, rogol, bunuh, lumba haram dan pembuangan bayi semakin berleluasa. Laporan akhbar-akhbar tempatan tentang suatu kajian yang dibuat oleh kementerian Belia dan Sukan 10 tahun yang lalu (Berita Harian, 1hb. Jun 1994; New Straits Times, 25hb. Mei 1994; Berita Harian 16hb Nov. 1994) mendapati, daripada 5860 anak remaja yang dikaji, 71% menghisap rokok, 40% melihat video lucah, 28% berjudi, 25% minum arak, dan 14% terlibat dengan pengambilan dadah, manakala kes zina pula banyak melibatkan golongan remaja antara 15 – 18 tahun (Mohd Yusuf Hj. Othman, 1995). Berdasarkan perangkaan ini, walaupun telah berlalu sepuluh tahun silam, ia tetap menunjukkan suatu petanda bahawa gejala kebejatan sosial di Malaysia amat membimbangkan.
Di Barat, gejala seperti di atas berlaku lebih hebat hingga menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli politik dan golongan pendidik. Mereka sedar puncanya ialah kepincangan sistem pendidikan yang memisahkan manusia daripada agama dan nilai moral. Justeru itu mereka terpaksa mengambil langkah positif bagi mengatasi masalah ini. John Mejar, semasa menjadi Perdana Menteri Britain, terpaksa mengemukakan polisi “return to the back” untuk mengembali semula nilai-nilai murni dalam kehidupan. Demikian juga Bill Clinton semasa menjadi Perdana Menteri Amerika Syarikat, melahirkan rasa cemas terhadap fenomena keganasan generasi muda di Amerika Syarikat, sehingga dirasakan Amerika bukan lagi tempat selamat untuk hidup bagi generasi muda kerana bilangan belia yang mati di negara sendiri lebih ramai daripada jumlah tentera yang mati di medan perang. Begitu juga Eropah. Para sarjana daripada pelbagai bidang di Eropah merumuskan bahawa sistem pendidikan kini tidak mampu lagi menanam nilai-nilai kemanusiaan dan moral dalam kehidupan manusia. Oleh itu dalam perancangan pendidikan di negara-negara Eropah masa akan datang perlu ditekankan dua aspek ini (Abdul Halim Muhammadi, 1994).
Berdasarkan kepada huraian di atas, dapatlah dirumuskan bahawa penekanan kepada pendidikan Islam yang seimbang dan bersepadu perlu diambil perhatian. Ketahanan sesuatu ummah dan penerusan sesebuah tamadun tidak cukup dengan kemajuan kebendaan semata-mata. Justeru itu dalam menghadapi dekad-dekad yang mendatang, perlu dipertingkatkan ketahanan kerohanian dan kejiwaan, di samping mempertingkatkan keupayaan sains dan teknologi. Perancangan yang imaginatif dan tindakan segera amat diperlukan bagi mengekalkan sistem pendidikan yang bermakna. Sistem pendidikan masa depan haruslah dibentuk secara sedar dan sistematik supaya ia sesuai dengan perubahan semasa. Jika tidak ia akan menjadi mangsa kepada perubahan masa.
3.6.4 Sumber Manhaj Islam Hadhari
Sebagai sebuah tamadun yang sifatnya adalah tetap mutlak dan tidak didasari oleh pemikiran manusia, sudah tentu ia menunjukkan bahawa sumbernya adalah merujuk kepada apa yang termaktub dalam wahyu Allah SWT sebagai sumber asasi iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Manakala Ijtihad dan tamadun asing yang tidak bertentangan dengan semangat al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber tafsiran. Penjelasan lanjut mengenai hal ini bolehlah dilihat kepada huraian berikut:
1. al-Qur’an
al-Qur’an ialah firman atau kata-kata Allah (lafaz dan maknanya) yang diturunkan dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur melalui perantaraan Jibril AS, bersifat mukjizat5, dipindahkan secara mutawatir dan menjadi ibadah bagi orang-orang yang membacanya.
Keistimewaan sumber ini terletak pada kewajipannya daripada Allah Pencipta Alam. Buktinya amat jelas apabila sumber ini tidak pernah menerima pengubahsuaian lafaz dan maksud dari sesiapa sahaja di kalangan manusia dan jin. Keindahan bahasa dan kesusasteraan al-Qur’an amat terbukti apabila tidak ada orang yang boleh menandinginya sehingga hari ini. Beberapa percubaan di kalangan pakar bahasa Arab yang cuba mencipta beberapa ayat dengan tujuan menandingi dan memalsukan kandungan al-Qur’an menemui kegagalan. Kenyataan al-Qur’an berhubung dengan astronomi, perubatan, anatomi dan sebagainya tidak pernah bercanggah dengan kajian saintifik di kalangan pakar astronomi dan perubatan zaman dahulu dan kini.
Di zaman Khalifah al-Ma’mun, seorang Yahudi yang terkenal dengan ketajaman lidahnya telah mengkritik al-Qur’an dan Islam dalam beberapa majlis yang diadakan di istana khalifah. Kedatangannya dalam beberapa majlis bertujuan untuk mengelirukan para hadirin dalam majlis berkenaan. Beliau adalah penulis kitab Injil dan Talmut. Mengikut pengakuannya beliau pernah mengubah kitab-kitab berkenaan pada beratus-ratus tempat mengikut kehendaknya. Kemudian kitab itu dijual dengan harga yang tinggi, namun tidak seorang pun yang memberi reaksi menolak usaha ini. Hal ini tidak sama dengan al-Qur’an yang cuba diubah hanya pada tiga tempat, tetapi ketiga-tiga tempat tersebut semuanya ditemui oleh tiga orang pembaca yang berakhir dengan kitab tersebut tidak terjual. Beliau akhirnya menganut Islam apabila teringatkan kenyataan al-Qur’an bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Dhikr (salah satu nama al-Qur’an) dan Kamilah yang akan memeliharanya daripada sebarang kerosakan”.
(al-Hijr : 9)
Sebagai sebuah kitab yang penuh hidayah, al-Qur’an tidak meninggalkan sesuatu pun permasalahan hidup manusia. Sekiranya wujud sesuatu yang tidak diketahui dan tidak ditemui jawapan dalam al-Qur’an, bukanlah bermakna Allah SWT lupa tetapi manusia yang tidak mengetahui tempat letaknya hukum dan permasalahan yang dibincangkan dalam al-Qur’an. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tiada Kami tinggalkan sesuatupun di dalam kitab al-Qur’an ini”.
(al-An`am: 38)
al-Qur’an yang mengandungi lebih daripada 6,200 ayat dalam 114 surah membicarakan seluruh aspek yang dikehendaki oleh tamadun manusia; bukan sahaja yang berhubung dengan perkara asas dan dasar seperti akidah, syariah dan akhlak, tetapi juga merangkum persoalan ekonomi, politik, pendidikan, kehakiman, perundangan, perubatan, keselamatan, pertahanan negara dan sebagainya. Bagaimanapun al-Qur’an tidaklah menyentuhnya secara terperinci dalam sesuatu perkara kerana ia boleh dilihat kepada al-Sunnah sebagai pentafsir utama kepada al-Qur’an dan juga ijtihad para ulama semasa sebagai orang yang layak mentafsirkan al-Quran selepas al-Sunnah.
2. al-Sunnah
Secara umumnya al-Sunnah bermaksud “Sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada dari aspek perbuatan, perkataan, pengakuannya/sifat keperibadian atau perangainya.” Kedudukan al-Sunnah dalam pembahagian sumber pemikiran umat Islam berada di tempat yang kedua selepas al-Qur’an. al-Sunnah termasuk di bawah kategori sumber asas Tamadun Islam. Ia juga bertindak sebagai pentafsir al-Qur’an yang utama dan sekaligus sebagai sumber wahyu kerana baginda SAW tidak berkata-kata melainkan ianya wahyu daripada Allah SWT Kenyataan ini selari dengan firman Allah dalam al-Qur’an:
“Dan dialah (Muhammad) tidak menurturkan sesuatu (yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan nafsu, segala yang diperkatakan tidak lain, melainkan berlandaskan kepada wahyu yang diwahyukan”.
(al-Najm : 3-4)
Dalil yang menjelaskan tentang sumber pemikiran umat Islam ialah al-Qur’an dan al-Sunnah, antara lain ialah:
“...Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya, maka patuhilah larangan ...”.
(al-Hasyr : 7)
Sabda Rasulullah SAW:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu; Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya”.
Kedudukan al-Sunnah sebagai tempat kedua dan salah satu sumber mutlak dan asas Tamadun Islam tidak mungkin dipertikaikan, kerana baginda merupakan orang yang dilantik sebagai Rasul dan sentiasa mendapat bimbingan wahyu daripada Allah SWT. Dalam pada itu pula baginda sentiasa mendapat didikan dan bimbingan yang berterusan sehingga melayakkan baginda sebagai salah seorang ulu al-`Azmi6 dan ma`sum7.
3. al-Ijtihad
al-Ijtihad bermaksud “Suatu usaha yang bersungguh-sungguh di kalangan ulama mujtahid bagi meletakkan sesuatu hukum terhadap permasalahan semasa yang timbul dan masih belum ada hukumnya dalam al-Qur’an mahupun al-Sunnah secara qat`i (putus).” Dalam erti kata lain, pandangan ulama berhubung dengan hukum sesuatu perkara yang belum diputuskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.
Mekanisma yang dilakukan oleh para mujtahidin ialah melalui kaedah qiyas, iaitu meletakkan hukum ke atas sesuatu perkara yang masih belum ada hukumnya berdasarkan perkara yang telah jelas hukumnya dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan persamaan dari segi sebab dan alasannya. Sebagai contoh, meletakkan hukum wajib zakat pada padi kerana terdapat persamaan antara padi dan gandum dari segi makanan asasi penduduk di sesebuah negara. Antara dalil yang menjadi sumber hukum ini ialah firman Allah SWT yang bermaksud:
“... Maka jadikanlah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran wahai orang-orang yang memiliki pandangan”.
(al-Hasyr: 2)
Dalam ayat lain pula Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:
“... Kemudian jika kamu berbantah-bantah (perselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.
(al-Nisa’: 59)
Dalam sejarah Tamadun Islam, para mujtahidin pada zaman awal akan memutuskan sesuatu perkara berdasarkan kehendak dan persetujuan ramai, bukan kepada kelompok minoriti dan pandangan perseorangan. Keputusan ini kemudiannya diguna pakai oleh masyarakat dan negara untuk mengambil sesuatu tindakan.
4. Pengalaman Tamadun-tamadun Asing
Selain daripada sumber-sumber di atas, Tamadun Islam juga mengambil kira segala kebaikan yang terdapat dalam tamadun asing. Pernyataan ini menunjukkan bahawa Tamadun Islam bersifat terbuka, tidak terikat dan statik kepada pandangan serta pemikiran yang datang daripada wahyu dan pemikiran ijtihad para ilmuwan sahaja. Apa yang berlaku dalam sejarah, umat Islam digesa agar mencari ilmu di mana sahaja walaupun di negara bukan Islam. Melalui sifat toleransi seperti inilah menyebabkan berlakunya proses asimilasi budaya secara sihat dan mengizinkan berlakunya perkembangan ilmu pengetahuan dalam negara Islam dan mengeksport budaya hidup Islam ke negara luar. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Hikmah itu adalah barangan hilang kepunyaan orang beriman. Oleh itu di mana sahaja ia temui dialah yang paling layak memilikinya”.
“Ambillah hikmah itu di mana sahaja engkau temui, jangan engkau pedulikan daripada mana sumbernya”.
Barangkali berasaskan hadis inilah Sayidina `Umar RA pernah mengeluarkan kenyataan berbunyi “Tuntutlah ilmu walaupun di negeri China”.
Implikasi positif daripada sifat terbuka Tamadun Islam itu telah menyebabkan Islam mudah difahami dan diterima oleh seluruh bangsa manusia di dunia ini walaupun berlainan budaya dan kedudukan geografi. Sebagai contoh, penerimaan syariat Islam terhadap budaya berpakaian di kalangan masyarakat Melayu adalah kerana tidak bertentangan dengan Islam. Penerimaan ini juga kerana syarat yang ditetapkan oleh Islam bukan fesyennya tetapi prinsip menutup aurat. Bangsa diberi kebebasan memilih fesyen pakaian yang di suka selagi fesyen pakaian tersebut masih berada dalam kawalan syariat. Demikian juga dengan perkembangan ilmu pengetahuan sains dan teknologi serta lain-lainnya yang banyak memberi manfaat kepada umat dan negara Islam tetap diterima setelah melalui penyaringan terlebih dahulu mengikut piawaian perundangan Islam.
3.6.5 Matlamat Pembentukan Masyarakat Islam Hadhari
Tamadun Islam bukan sebuah tamadun yang tegak atas dasar tuntutan hawa nafsu yang bermatlamatkan kemewahan dan kesenangan hidup dunia semata-mata, tetapi lebih jauh daripada itu ialah kebahagiaan dan kesenangan hidup di akhirat. Berdasarkan pernyataan tersebut, matlamat Tamadun Islam boleh dibahagikan kepada dua iaitu kebahagiaan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. Ini amat bersesuaian dengan kenyataan al-Qur’an yang merakamkan ucapan doa umat Islam yang telah menyelesaikan ibadah Haji sebagai menyambut perintah Allah SWT agar mereka mengingati Allah sebanyak-banyaknya:
“... Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka”.
(al-Baqarah: 201)
Bagi mencapai hasrat dan cita-cita tersebut, matlamat tamadun Islam boleh digariskan seperti berikut:
1. Melahirkan manusia yang mentauhidkan Allah SWT dan mengabdikan diri kepada-Nya dalam seluruh kehidupan. Pernyataan ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tidak Aku (Allah) ciptakan manusia melainkan supaya mereka tunduk mengabdikan diri kepada-Ku”.
(al-Dhariyat: 56)
2. Melahirkan insan salih di sisi Allah, manusia dan alam. Pernyataan ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang salih”.
(al-Anbiya’: 105)
3. Melahirkan manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab terhadap perintah dan larangan Allah SWT di samping melaksanakan amanah yang berkaitan dengan manusia dan alam. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil...”.
(al-Nisa’: 58)
4. Melahirkan masyarakat yang hidup di dunia secara harmoni dan mendapat keampunan Ilahi. Pernyataan ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya bagi penduduk Saba’ satu tanda (kemurahan Allah) terdapat di tempat tinggal mereka dua kebun (yang luas dan subur) di kiri kanan tempat tinggal mereka, (lalu dikatakan kepada mereka) makanlah rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya (atas kurniaan) sebuah negeri yang aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah)”
(Saba’ 34:15)
Keempat-empat matlamat Tamadun Islam ini hanya akan dapat dicapai sekiranya manusia bersedia tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah SWT. Jika manusia masih menurut kehendak hawa nafsu selama itulah dunia ini tidak akan mampu didamaikan dan diharmonikan untuk mencapai keredaan dan keampunan Ilahi.
3.6.6. Realiti Penghayatan Islam Di Kalangan Masyarakat Muslim Kini
Perkembangan yang berlaku di seluruh dunia Islam hari ini memperlihatkan penghayatan umat Islam yang menyimpang dari landasan ajaran agama. Kebanyakan penganut Islam kini menjadi seorang Muslim disebabkan oleh keturunan. Hasil daripada senario ini ialah umat Islam percaya agama hanya warisan peninggalan datuk-nenek, bukan atas dasar kesedaran dan pilihan sendiri yang boleh melahirkan rasa tanggungjawab beragama. Sebahagian faktor kemunculan gejala ini ialah kesan penjajahan Barat yang sebati dengan masyarakat Islam. Asimilasi budaya Barat dan Timur terlalu mesra dan sukar untuk dibezakan antara tuntutan akidah Islamiah dan ideologi moden Barat, antara tuntutan syariat Islam dan budaya hidup jahiliah dan juga antara tuntutan akhlak Islamiah dan moral jahiliah. Kehidupan seperti ini sudah tentu menjadi keliru. Barangkali inilah suasana yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai zaman fitnah dalam suatu sabdanya yang bermaksud :
“Segeralah kamu mengerjakan amal-amal kebajikan, sesungguhnya fitnah akan datang menimpa kamu seperti kedatangan potongan malam yang gelap, di mana pada waktu itu kamu akan dapati seseorang beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur kembali pada waktu pagi, mereka sanggup menjual agama dengan kebendaan dunia”.
Demikian juga sabda baginda SAW :
“Akan datang kepada manusia suatu zaman, di mana al-Qur’an hanya tinggal tulisan, Islam hanya tinggal nama, masjid-masjid dihias indah tetapi jauh daripada hidayah Allah, sementara ulama mereka pula banyak yang jahat menjadi makhluk perosak yang berada di bawah langit”.
Adakah zaman yang dimaksudkan Baginda Rasulullah SAW telah tiba sekarang atau masih belum? Barangkali ada yang sanggup mengatakan masih belum, kerana masih ramai yang suka membaca al-Qur’an malah ada juga yang menghafalnya. Namun bagaimana pula dengan sabda Baginda SAW yang menjelaskan :
“Sesungguhnya Ikatan Islam akan terungkai daripada diri seseorang Muslim satu demi satu. Setiap kali berlakunya rungkaian itu, dia akan berpegang kepada ikatan yang masih ada sehingga tidak ada lagi ikatan yang tinggal. Ikatan yang paling awal terungkai ialah al-hukm (hukum-hakam/halal-haram) dan yang paling akhirnya ialah solat”.
Kalau solat yang paling akhir terungkai dari diri seseorang Muslim, bukankah ini bererti orang yang meninggalkan solat dengan sengaja telah terpisah antara dirinya dengan Islam yang didakwa sebagai agamanya? Kalau situasi ini wujud dalam masyarakat Islam hari ini, bukankah ia telah menyamai maksud sabda baginda di atas? Suatu lagi pernyataan yang jelas daripada baginda SAW :
“Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia telah melakukan kekufuran dengan nyata”.
Kalau inilah landasannya yang mesti dipegang, bermakna adalah zaman kita hari ini zaman fitnah yang menyukarkan seseorang yang cetek ilmu agama, jauh dari al-Qur’an dan tidak kuat berpegang kepada perintah agama untuk melihat Islam dalam erti yang sebenarnya. Barangkali antara punca fitnah ini ialah umat Islam yang jahil tentang maksud jahiliah yang disebutkan oleh Allah dalam al-Qur’an. Oleh kerana tidak kenal apakah jahiliah maka seseorang itu tidak merasa bahawa amalan yang dilakukan selama ini telah pun berbaur dengan maksud jahiliah. Antara contoh yang paling nyata ialah budaya berpakaian dan berhias diri. Pernahkah kita bertanya kepada syariat sebelum mengenakan pakaian atau solekan pada tubuh kita? Bagaimana sebenarnya pakaian yang diharuskan dan perhiasan yang dibolehkan dalam Islam? Dalam perkara ini sahaja pun sudah cukup untuk memberi jawab tidak. Kalau jawapannya ialah tidak bagaimana pula dengan urusan lain yang kelihatannya lebih penting dan utama? Sayidina `Umar RA dalam suatu kenyataannya menyebutkan :
“Sesungguhnya ikatan Islam akan terungkai satu demi satu pada diri seseorang Muslim yang hidup dan dibesarkan dalam masyarakat Islam, tetapi tidak mengenal erti jahiliah.”
Dalam pada itu terdapat juga sekelompok umat Islam yang menghayati Islam dalam bentuk serpihan (juz’i), tidak dalam bentuk global. Sebagai contoh, penghayatan orang-orang yang berminat dalam bidang tarekat sufi semata-mata, mereka suka hidup secara bersunyi-sunyi dan terpisah dari masyarakat. Kelompok ini biasanya suka mengasingkan diri, dan membelakangkan tanggungjawab sebagai pendidik dan pembangun masyarakat. Mereka kelihatan terlalu asyik dengan amalan kerohanian sehingga lupa tanggungjawab sebagai khalifah di bumi yang diberi amanah untuk dibangunkan. Lantaran itu terdapat sebahagian yang tidak menyempurnakan tanggungjawab sebagai suami, bapa dalam rumah tangga dan peranan sebagai sebahagian anggota masyarakat, lebih-lebih lagi tanggungjawab dakwah dan jihad. Sayidina `Umar pernah menghalau seorang yang sedang beribadah dalam masjid, sedangkan makan dan minumnya ditanggung oleh anggota keluarganya, sambil berkata :
“Orang yang menguruskan makan minum kamu lebih baik daripada kamu.”.
Selain itu juga ada yang memahami Islam secara siasah (politik) dalam pengertian yang terbatas. Bentuk kefahaman yang begini menyebabkan lahirnya pelbagai ideologi dan pemikiran dalam masyarakat Islam. Semuanya ini memungkinkan timbulnya konflik dan pertelagahan secara berterusan. sejak awal-awal lagi Islam telah menyelesaikan perkara ini dengan cara mengajak umat Islam berjuang atas dasar akidah, bukan `asabiyyah (perkauman sempit), berasaskan politik Islam (siyasah Islamiyyah) dan bukan politik kepuakan (siyasah hizbiyyah). Islam menerima kepelbagaian orientasi jamaah dan organisasi, tetapi mestilah bersatu ke arah matlamat yang sama, tidak harus berlaku pertelagahan kerana matlamat adalah sama. Bagaikan satu bahtera di mana setiap anggota bersungguh-sungguh mendayung untuk sampai ke destinasi, bukan saling menyimbah antara satu dengan lain sehingga menyebabkan sebahagiannya tenggelam dan yang masih timbul pun lambat untuk sampai ke destinasi. Senario wujudnya pelbagai kumpulan dan puak dalam masyarakat Islam bukan satu fenomena baru. Sejarah Islam mencatatkan kepelbagaian kumpulan berlaku bukan atas nama perpaduan, tetapi pertelagahan dan peperangan. Peristiwa ini berlaku semenjak zaman pemerintahan Khulafa` al-Rasyidin yang bermula dengan pertelagahan antara Sayidina `Ali dan Sayidina Mu`awiyah. Peristiwa yang sama terus berulang di penghujung pemerintahan Kerajaan `Abbasiyyah yang mengakibatkan munculnya pelbagai kerajaan kecil yang semakin sukar untuk disatukan. Akhirnya semua negara Islam hancur dimusnahkan oleh penjajah Barat dengan jatuhnya Kerajaan Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924M.
Dalam menyelesaikan masalah ini Islam mengingatkan umatnya agar sentiasa berada dalam satu jemaah. Kalaupun ada pertelagahan, biarlah ia berlaku dalam perkara-perkara fiqhi8 yang tidak menimbulkan permusuhan, bukan dalam perkara asas dan dasar membabitkan permasalahan i`tiqadi (keimanan dan akidah). Rasulullah SAW memperingatkan:
“Umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga puak, semuanya masuk neraka, melainkan satu. Para sahabat bertanya: ”Siapakah puak yang satu itu wahai Rasulullah? Sabda baginda SAW: ”Mereka ialah orang-orang yang menjalani kehidupannya seperti aku dan sahabat-sahabatku”.
3.6.7 Pendekatan Islam Hadhari
Memandangkan Islam Hadhari bukan ajaran baru dan bukan juga mazhab baru, bererti ia adalah ajaran yang sama dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ini bererti umat Islam tidak harus mentafsirkan Islam Hadhari terkeluar daripada landasan wahyu (al-Qur’an dan al-Sunnah). Oleh itu penyelewengan umat Islam dalam menghayati Islam hari ini mesti diperbetulkan. Memahami Islam secara liberalisme barat, mendahulukan akal dan pemikiran logik berbanding dua sumber di atas, adalah punca umat Islam menjadi sesat. Memahami Islam secara fahaman ahli tasawuf dan ahli tarekat juga punca umat Islam tertindas dan terkebelakang dalam arena pembangunan dunia.
Pendekatan Islam Hadhari adalah untuk mengembalikan umat Islam kepada asas dan prinsip selari dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ia juga berupa suatu pendekatan ke arah anjakan paradigma untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam yang telah semakin luntur akibat penjajahan Barat ke atas Dunia Islam, sekali gus memberi penekanan kepada ajaran Islam yang bersifat lengkap dan mampu membawa umat Islam ke arah kemajuan dan kejayaan dunia dan akhirat. Sehubungan itu, pendekatan dalam usaha mempertingkatkan mutu kehidupan juga mesti diusahakan melalui penguasaan ilmu pengetahuan, pembinaan sahsiah insaniah serta pembangunan material. Semua itu perlu digarap secara sepadu dan menyeluruh.
Selain itu, perpaduan umat Islam harus diusahakan kembali. Perjuangan umat Islam bagi mencapai cita-cita tersebut mesti disatukan. Semangat `asabiyyah yang melampaui batas-batas syariat mestilah dijauhi agar ia sejajar dengan konsep hidup sebagai hamba Allah, segala kerja menjadi ibadah, tanggungjawab khalifah di bumi dapat disempurnakan dan kemakmuran serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat dapat dicapai.
3.6.7 Tujuan Syari`at Islam Diwahyukan (Maqasid al-Syari`ah)
Tujuan utama syariat Islam diwahyukan (maqasid al-Syari`ah) oleh Allah SWT ialah untuk memelihara, memartabat dan memperkasakan kepentingan lima perkara utama (dharuriyat al-Khams) iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta.
1. Agama
Agama dalam maqasid al-syari`ah berada pada kedudukan yang paling atas. Ia menjadi tujuan utama syari`at Islam. Untuk itu umat Islam ditegah keras melakukan sesuatu amalan yang bercanggah dengan prinsip keimanannya atau disebut sebagai perbuatan bidaah dan khurafat, atau apa sahaja yang boleh membawa seseorang gugur syahadahnya dan terbatal akidahnya; sama ada melalui iktikad, lidah atau melalui tingkah laku perbuatan. Untuk membendung kegiatan inilah, Sayidina Abu Bakar R.A. bertindak memerangi golongan murtad; sama ada yang meninggalkan Islam secara keseluruhannya, atau sekadar enggan membayar zakat.
2. Nyawa
Nyawa berada pada kedudukan yang kedua selepas agama. Memandangkan nyawa manusia tidak boleh dipandang remeh, Islam sejak awal-awal lagi mengharamkan apa sahaja bentuk pembunuhan melainkan musuh dalam peperangan. Al-Qur’an menukilkan firman Allah SWT berhubung pembalasan di akhirat ke atas orang-orang yang membunuh seorang beriman dengan sengaja ialah azab neraka Jahanam dan mereka kekal di dalamnya. Dalam pada itu pula balasan di dunia ini ialah dikenakan hukuman Qisas9 jika sabit kesalahan atau diat bagi perbuatan membunuh tanpa sengaja sama ada yang dibunuh itu Muslim atau dhimmi. Selain itu juga umat Islam diperintah menjauhi perkara yang mendedahkan diri daripada sebarang bentuk bahaya yang boleh mengancam nyawa, lebih-lebih lagi membunuh diri dan sebagainya.
3. Akal
Akal adalah anugerah yang amat berharga untuk manusia. Tanggungjawab sebagai Muslim (taklif rabbani) diberi kepada manusia kerana akalnya. Oleh itu akal perlu dipelihara dan dipupuk agar sentiasa sempurna dan sihat. Sehubungan itu Islam melarang umatnya meminum atau memakan sesuatu yang boleh membawa kerosakan pada akal. Pengharaman arak dan penggunaan dadah secara salah adalah amat berkait dengan tujuan pemeliharaan akal manusia. Bagi memastikan umat Islam tidak terlibat dengan gejala ini, Islam meletakkan hukuman hudud dengan mengenakan hukuman sebat antara 40 hingga 80 kali sebatan kepada sesiapa sahaja yang sabit kesalahannya.
4. Harta
Ia adalah keperluan hidup manusia di dunia ini. Tidak ada orang yang tidak sayang harta kepunyaannya, malah ada yang sanggup mati kerana mempertahankan harta. Dalam pada itu pula Islam memberi penghormatan tinggi dengan gelaran syahid (syahid sughra) kepada mereka yang mati kerana mempertahankan harta, sebab harta adalah amanah Allah kepada manusia yang wajib dipelihara. Lantaran itu syariat Islam mengharamkan umatnya mencuri dan mengenakan hukuman hudud10 jika disabitkan kesalahan mencuri.
5. Keturunan (Institusi keluarga) dan maruah
Kehidupan berkeluarga adalah suatu tuntutan naluri bukan sahaja manusia tetapi juga haiwan. Bagaimanapun, oleh kerana manusia sebagai makhluk yang dianugerahi akal dan berpotensi membangunkan alam dan memakmurkannya, Islam meletakkan peraturan khusus pada manusia agar dapat dibezakan antara manusia dan makhluk lain yang tidak berakal. Perkahwinan secara sah mengikut ketentuan syariat adalah ketetapan yang dipaksakan pada manusia agar zuriat yang bakal dilahirkan mempunyai susur galur keturunan yang betul dan sah, maruah mereka juga terpelihara, kedudukan mereka sebagai insan juga tidak tergugat. Pengharaman mendekati perbuatan zina dan segala perkara yang boleh mendorong kepada perbuatan tersebut. Kegiatan-kegiatan maksiat yang boleh menjatuhkan maruah seseorang, menunjukkan betapa seriusnya Islam menghalang umatnya mendekati perbuatan terkutuk itu. Oleh itu amat wajar hukuman di dunia dikenakan ke atas pelaku zina dengan hukuman sebat 100 kali bagi mereka yang belum berkahwin dan rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin.
3.6.8 Cabaran-cabaran Yang Terpaksa Dihadapi.
Umat Islam di negara ini terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha membawa perubahan dalam sesebuah masyarakat, lebih-lebih lagi di peringkat negara dan ummah. Antara cabaran-cabaran yang dimaksudkan ialah:
1. Peristiwa 11 September 2001.
Peristiwa ini telah membawa ancaman besar ke atas Dunia Islam apabila kuasa Barat di ketuai oleh Amerika Syarikat menuding jari kepada umat Islam. Akibat itu, bumi Afghanistan menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat yang dituduh menjadi pengekalan pertubuhan Al-Qaeda Sedunia. Rentetan daripada itu, bumi Iraq pula menjadi sasaran Amerika Syarikat. Tindakan Amerika nampaknya bukan meredakan keamanan dunia tetapi senario menjadi bertambah konflik apabila berlaku beberapa letupan bom di beberapa wilayah, bukan sahaja di bumi Afghanistan dan Iraq tetapi juga negara-negara sekutu Amerika seperti Britain dan Australia. Akibat daripada itu, timbul beberapa ugutan dan ancaman serta perbuatan khianat yang terpaksa diterima oleh umat Islam yang tinggal di negara-negara berkenaan. Lebih dahsyat lagi apabila umat Islam sendiri memandang serong dan phobia terhadap agama mereka sendiri.
2. Tamadun Barat yang menolak agama
Anggapan Barat terhadap agama sebagai pengancam kepada tamadun dunia juga menjadi sebahagian daripada cabaran besar yang terpaksa di hadapi oleh umat Islam. Penolakan ini berlaku secara berleluasa terhadap apa sahaja yang disifatkan sebagai tradisional dan fundamental. Apa yang dikehendaki Barat ialah liberalisme ala-Barat dalam beragama. Senario ini telah merebak ke seluruh Dunia Islam yang sekali gus mengancam akidah dan keyakinan umat Islam terhadap agama mereka. Senario ini sudah tentu melemahkan umat Islam untuk kembali bangun menegakkan tamadun Islam lebih-lebih lagi untuk membina semula negara dan sistem khilafah yang telah hilang.
3. Globalisasi dan penjajahan bentuk baru.
Satu lagi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam ialah serangan globalisasi yang disebut juga sebagai “Dunia tanpa sempadan”. Kecanggihan teknologi maklumat yang dipelopori oleh Barat menyebabkan mereka mampu menguasai segala-segalanya. Bukan sahaja dari segi ekonomi dan politik, tetapi juga termasuk sosio-budaya. Sebagai contoh, budaya berpakaian yang mendedahkan aurat terutama di kalangan kaum wanita. Kalau sebelum ini, wanita Jepun dengan Kimononya, Cina dengan Ceongsam, India dengan Sari dan Melayu dengan Baju Kurung, tetapi kini setelah budaya Barat menguasai dunia, kelihatan semuanya bertukar kepada pakaian ala barat yang mendedahkan aurat. Remaja wanita lebih gemar mengenakan baju T dan seluar jeans yang ketat dan menampakkan susuk badan. Akibatnya kerosakan akhlak di kalangan remaja semakin menjadi-jadi. Jenayah zina dan rogol semakin bertambah sehingga melibatkan sumbang mahram dan seumpamanya.
5. Budaya Hiburan (Hedonisme) dan Filem Lucah.
Gelagat generasi muda yang terlalu minat dengan hiburan dan tersebarnya filem-filem lucah yang dijual di pasaran gelap secara berleluasa juga amat membimbangkan. Kebimbangan ini ditambah lagi dengan penghantaran gambar porno melalui e-mail. Seandainya budaya ini tidak dibendung ia menjadi masalah besar kepada negara dan tamadun Islam. Seorang penyair Arab terkenal Ahmad Syauqi dalam syair menyatakan:
“Sesungguhnya sesebuah bangsa itu akan terus kekal berdaulat selama akhlak bangsanya masih ada. Sekiranya akhlak bangsanya musnah bererti kedaulatan bangsanya juga akan turut musnah”.
3.6.9 Sepuluh Prinsip Islam Hadhari
Usaha membangunkan, negara dan ummah bukan suatu usaha yang mudah. Ia memerlukan kesungguhan dan komitmen yang padu di segenap peringkat dan lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi yang bergelar ulama dan pemimpin. Ulama dan para pemimpin harus dipertanggungjawabkan terhadap baik buruknya sesebuah masyarakat dan jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Pernyataan ini amat menepati dengan sabda Rasulullah SAW:
“Dua golongan manusia, apabila rosak mereka rosaklah seluruh manusia, apabila baik mereka maka baiklah seluruh manusia. Mereka yang dimaksudkan ialah para ulama dan umara’ (para ilmuwan dan para pemimpin)”.
Bagi memastikan kejayaan ini, sepuluh prinsip yang digagaskan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia menjadi penggerak utama dalam mengatur strategi dan perancangan membangun anak bangsa secara bersepadu antara kualiti intelektual, spiritual, emosional dan material. Sepuluh Prinsip yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
1. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah.
Iman boleh diibaratkan sebagai akar kepada sebatang pokok. Biji benih tidak akan mengeluarkan tunas tanpa didahului oleh akar yang menjunam ke bumi. Pokok yang tumbuh tanpa akar yang menjunam ke dasar bumi akan tumbang pada bila-bila masa. Manakala takwa pula adalah buah lazat yang terhasil daripada sebatang pokok yang subur dan indah menjadi tujuan utama para penanamnya. Demikian juga dengan iman dan takwa pada diri seseorang mukmin, tanpanya bererti Muslim hanya pada nama sahaja. Rasulullah SAW bersabda:
“Bukanlah keimanan itu sesuatu yang boleh dicita-cita dan dihias-hias, tetapi ia adalah sesuatu yang mantap dalam sanubari dan dibuktikan dengan amalan”.
Sayidina Ali RA ketika menjelaskan takwa pula menyebut takwa ialah:
“Takut kepada Rab al-Jalil, beramal dengan wahyu yang diturunkan dan menyediakan bekal untuk perjalanan yang jauh ke negeri akhirat”.
Oleh itu iman dan takwa mestilah diletakkan sebagai asas kepada binaan tamadun manusia. Sesebuah pembangunan yang tidak diasaskan kepada asas iman dan takwa dikhuatiri akan terjebak kepada penyelewengan terhadap peraturan Allah dan syariat-Nya serta mencerobohi alam tanpa batas dan kawalan. Sebab itu, al-Qur’an sejak awal-awal lagi menegaskan:
“Adakah mereka yang mengasaskan binaannya (masjid Dhirar) berasaskan takwa dan Mardati’Llah itu lebih baik ataukah mereka yang mengasaskannya di tepi jurang yang dalam, lalu jatuh tersungkur bersama yang membinanya ke dalam neraka jahanam (itu yang lebih baik)? …”.
(al-Taubah: 109)
Kepentingan iman dan takwa kepada sesebuah tamadun memang tidak dapat dinafikan lagi; bukan sahaja kepentingan dari segi fizikal dan materialnya dengan mendapat keamanan, keharmonian dan kemakmuran dengan rezeki yang halal dan baik untuk kesihatan fizikal, tetapi juga yang lebih penting ialah dari segi menagih kasih sayang Allah dan kemurahan-Nya. Dalam hal ini banyak firman Allah yang membicarakan kebaikan-kebaikan yang bakal terima oleh insan yang bertakwa kepada Allah SWT Antaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud.:
“Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu-pintu keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa dengan sebab usaha perbuatan mereka”.
(Al-A`raf : 96)
Takwa adalah bekal sepanjang perjalanan manusia di dunia. Takwa tidak boleh ditinggalkan sama sekali walaupun sekadar beberapa waktu, kerana dengan adanya takwa semua pekerjaan seseorang akan menjadi ibadah. Tanpa takwa, syaitan akan menyelit dalam jiwa manusia dan memusnahkannya. Tanpa takwa juga sesuatu perbuatan yang dilakukan akan menjadi hambar dan sia-sia malah mungkin juga akan terjebak dengan perlakuan lagha dan mungkar. Sebab itu Rasulullah memperingatkan:
“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah amal buruk yang kamu telah lakukan dengan amalan yang baik supaya ia menghapuskannya serta berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang terpuji”.
Sabdanya lagi:
“Bertakwalah kepada Allah walaupun dengan seulas buah tamar”.
Hadis ini membawa maksud, jikalau hanya dengan menderma seulas tamar, seseorang boleh terlepas dari azab neraka, hendaklah ia melakukannya, kerana seksaan api neraka tidak tertanggung oleh sesiapa pun. Oleh itu, takwa dan iman amat diperlukan dalam proses pembinaan jati diri seseorang dan juga sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.
Bagaimana takwa boleh diusahakan
Al-Imam al-Nawawi ketika menghuraikan sifat Ihsan mengatakan: “Seseorang hamba tidak akan dapat mencapai tingkat takwa selagi tidak mencapai tingkat Ihsan”. Sabda Rasulullah SAW menegaskan insan:
“Ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat Allah, sekiranya engkau tidak melihat Allah, yakinlah bahawa Allah sedang memerhati kamu”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sifat muraqabatu’Llah11 mempunyai hubung kait yang amat erat dengan keimanan yang sebati dalam jiwa manusia. Keimanan kepada Allah yang memiliki sifat al-Sami` (Maha Mendengar) dan al-Basir (Maha Melihat) terhadap apa sahaja perlakuan hamba-Nya. Mustahil bagi Allah memiliki sifat-sifat lemah sebagaimana yang ada pada makhluk seperti tidur, lalai, leka dan sebagainya. Dalam pada itu juga Allah SWT memiliki sifat-sifat al-Muntaqim.12 Keyakinan terhadap sifat-sifat Allah di atas membawa seseorang hamba malu dan gerun untuk melakukan sesuatu yang dimurkai-Nya. Di sinilah munculnya ihsan dan takwa.
Peranan iman dan takwa dalam kehidupan masyarakat pelbagai etnik dan agama juga amat jelas apabila baginda Rasulullah SAW menghubungkan perintah berbuat baik kepada jiran dengan keimanan terhadap Allah dan hari akhirat. Sebagaimana sabda baginda SAW:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan jirannya...”.
Perkataan jiran dalam hadis ini, tidak dibatasi oleh agama dan warna kulit, tetapi merangkumi makna yang luas iaitu siapa sahaja yang menjadi jiran kepada seseorang Muslim dan mukmin ia mestilah dimuliakan. Demikian juga dengan amaran Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menyakiti dhimmiku (orang bukan Islam yang mendiami negara Islam dan membayar cukai jizyah) bermakna dia menyakiti ku”.
Dalam pada itu pula Rasulullah SAW memberikan kebebasan penuh kepada bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka semasa baginda memerintah Madinah.
2. Kerajaan Adil Dan Beramanah
Adil bermaksud: meletakkan sesuatu kena pada tempatnya atau dengan kata lain memberikan sesuatu hak kepada yang berhak menerima menurut kadarnya). Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman…”.
(al-Nahl: 90)
Islam amat mengambil berat perbuatan zalim yang dilakukan oleh seseorang walaupun kepada dirinya sendiri, lebih-lebih lagi kepada orang lain. Sebab itu Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya yang bermaksud:
“…Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa…”.
(al-Maidah: 8)
“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah menghukum dengan adil …”.
(al-Nisa’ 58)
“Sekiranya anakku Fatimah binti Muhammad mencuri aku akan potong tangannya”.
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
3. Rakyat Yang Berjiwa Merdeka
Naluri semula jadi manusia inginkan hidup bebas dan merdeka. Bagaimanapun kadang-kadang keinginan itu tersekat oleh belenggu yang dipaksakan. Senario ini menjadi fenomena biasa ke atas masyarakat yang dijajah. Pada kebiasaannya penjajahan bukan sahaja berlaku dari sudut fizikal atau materialnya tetapi termasuk juga pemikiran dan sosio-budaya. Sebab itu rakyat yang mendiami sesebuah negara yang dijajah akan menghadapi masalah untuk bangun sebagai bangsa yang maju dan berdaulat kerana perasaan, pemikiran dan tindakan masih terbelenggu oleh faham penjajah walaupun negara mereka telah merdeka. Lantaran itu tidak hairanlah jika terdapat masyarakat yang dilihat bagaikan katak yang terlalu lama berada di bawah tempurung menyebabkan pemikiran, sikap dan perilaku masih terasa berada di bawahnya walaupun tempurung sudah lama di buang.
Oleh itu, perasaan kagum dan kecenderungan bergantung kepada Barat, menjadikan Barat sebagai model dan bench marking dalam mencapai kemajuan harus dikikis agar kita berkeupayaan membentuk cita rasa yang lebih kental, bermakna, jati diri dapat diperkukuhkan, harga diri dapat dipertahankan dan hala tuju pembangunan menepati wawasan Negara iaitu pembangunan yang mapan dan seimbang. (Dr. Sisek Baba, JAKIM)
Prinsip ini bermaksud rakyat yang memiliki pemikiran kreatif dan inovatif; mampu melahirkan idea dan buah fikiran baru, dinamik dan positif memberi faedah kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam pada itu dihiasi pula dengan ciri-ciri keimanan, kejujuran, semangat dan bertindak, tidak jumud, tidak suka berpoya-poya, jauhi lagha dan segala sifat negatif yang tidak sepatutnya ada pada seseorang yang memiliki jiwa merdeka. Oleh itu kemerdekaan haruslah berjalan atas landasan tauhid. Dalam hal ini, Allah SWT menjelaskan melalui firman-Nya:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah berikan mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah berikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami lebihkan (darjat dan kedudukan serta keindahan ciptaan) mereka atas segala makhluk yang Kami ciptakan”.
(al-Isra’: 70)
Rub`i bin Amir seorang sahabat Rasulullah SAW yang telah dilantik oleh Baginda SAW sebagai ketua rombongan untuk bertemu dengan Rustam, Panglima Tentera Parsi bagi memberi penjelasan tentang tujuan kedatangan umat Islam ke Parsi mengatakan:
“Sesungguhnya kami telah dibangkitkan oleh Allah untuk mengeluarkan sesiapa sahaja di kalangan kamu daripada mengabdikan diri kepada sesama hamba, kepada mengabdikan diri hanya terhadap Alah, daripada hidup bernaung di bawah kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup dunia dan akhirat”.
Oleh itu kemerdekaan dalam Islam memberi fokus kepada kemerdekaan aqidah kerana penghayatan ajaran tauhid menjadi tunjang dalam hubungan dengan Pencipta dan mempertautkan hubungan sesama manusia dan alam. Di situlah munculnya sumber kemerdekaan sebenar sebagai unsur menyempurnakan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.
4. Penguasaan Ilmu Pengetahuan
Prinsip ini pula membawa maksud penguasaan ilmu duniawi dan ukhrawi termasuklah ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah bagi tujuan melahirkan individu dan masyarakat yang cemerlang spiritual, intelektual, emosional dan materialnya selari dengan kehendak dan inspirasi dasar pendidikan negara. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“… Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat…”.
(al-Mujadalah: 11)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesesiapa yang mahukan kecemerlangan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan kecemerlangan akhirat hendaklah dengan ilmu sesiapa yang inginkan kedua-duanya hendaklah dengan ilmu”.
Nabi Suleiman AS pernah ditawarkan dengan salah satu daripada tiga perkara: takhta, harta dan ilmu. Baginda AS memilih ilmu. Akhirnya baginda memiliki segalanya. Sejarah kejayaan Baghdad dan Andalusia sebagai dua buah pusat ketamadunan Islam yang hebat dalam lipatan sejarah Tamadun Islam juga kerana ilmu pengetahuan. Barat hari ini muncul sebagai Kuasa Besar Dunia pun kerana mereka memiliki ilmu dunia.
Demikian juga ketika berhadapan dengan cabaran globalisasi dalam dunia moden kini, pendekatan ilmu secara bersepadu antara naqli dan aqli mesti dijadikan agenda utama bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang mampu menghadapi rintangan. Bekalan ini sekali gus boleh menyumbang kepada pembangunan bukan sahaja untuk tanah air sendiri tetapi juga kepada pembinaan tamadun ummah seluruhnya. Oleh yang demikian usaha untuk memerhati, mengkaji, menyelidiki segala khazanah kekayaan bumi ini mestilah diusahakan dan dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh umat Islam. Kenyataan ini amat selari dengan penggunaan istilah oleh al-Qur’an seperti; iafala ta`qilun (mengapa kamu tidak menggunakan akal), iafala yatadabbarun (mengapa kamu tidak memerhati) dan iafala tatafakkarun (mengapa kamu tidak menggunakan fikiran) untuk membuat kajian terhadap segala makhluk yang diciptakan oleh Allah.
Penguasaan ilmu pengetahuan bersumberkan hikmah yang bermaksud al-Qur’an terbukti mengangkat martabat umat. Apabila faktor hikmah mula dilupakan, kemajuan berfikir sudah hilang dayanya, krisis ulama’-umara’ mula berlaku, tradisi pengkaryaan mula kuncup, tamadun Islam mula meleset dan kebangkitan kuasa Eropah suatu yang tidak dapat dielak lagi kerana minat mereka yang besar untuk menguasai ilmu pengetahuan. (Sidek Baba, JAKIM)
5. Pembangunan Ekonomi Seimbang Dan Komprehensif
Pembangunan ekonomi yang diasaskan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan selesa. Ia bukan sahaja bermanfaat untuk dunia tetapi juga akhirat. Seimbang dan komprehensif bermaksud kemampuan menyesuai dan memantapkan segala kegiatan ekonomi secara berakhlak antara kerajaan dan swasta secara bersepadu dan berkesan selari dengan konsep persyarikatan Malaysia bagi mewujudkan kestabilan ekonomi dan pembasmian kemiskinan. Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Setelah selesai mengerjakan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi Allah (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa-apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah kepada Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”.
(al-Jumu`ah: 10)
Umat Islam diminta merebut peluang dalam usaha meningkatkan ekonomi, bekerjasama secara bersepadu antara kerajaan dan swasta dalam usaha membasmi kemiskinan, mencapai guna tenaga penuh, pertumbuhan ekonomi mapan dan mewujudkan kestabilan ekonomi. Bagaimanapun dalam usaha menuju ke arah pencapaian kualiti tersebut, umat Islam diingatkan agar tidak lalai daripada mengingati Allah SWT dan mengikuti syariat yang dibawa oleh Rasul-Nya.
6. Kehidupan Berkualiti
Kehidupan berkualiti boleh dicapai sekiranya Dharuriyat al-Khams yang terkandung dalam Maqasid al-Syari`ah dipelihara & diperkasakan iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta benda. Kiranya semua ini dapat dipelihara dan diperkasa, secara tidak langsung akan memberi jawapan bahawa jiwa masyarakat terbangun dalam keadaan sepadu; melengkapi aspek spiritual, emosional, intelektual dan material dengan segala macam pra-sarana hidup yang sempurna dan menjamin kehidupan selesa. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
(al-Qasas: 77)
Kehidupan berkualiti bermula dengan peningkatan ilmu dan pencapaian taraf pendidikan yang sempurna, kestabilan politik dan sosio-budaya masyarakat sebagai jaminan pencapaian masyarakat cemerlang. Oleh itu, kehidupan berkualiti haruslah dimulai dengan pendidikan individu dan institusi kekeluargaan sebagai asas kepada pembentukan masyarakat dan ummah secara yang lebih luas lagi. Dengan cara begini, institusi keluarga akan dapat berfungsi dengan baik dan sekali gus gejala kebejatan sosial dalam masyarakat dapat dikurangkan.
Sebagai pemangkin kepada pencapaian di atas, kemudahan fizikal seperti masjid dan surau bagi umat Islam mestilah disediakan. Umat Islam juga wajar diberi galakan untuk memakmurkan masjid. Dalam pada itu pula kebebasan beragama kepada penganut agama lain mestilah diberikan. Di samping itu, perpustakaan-perpustakaan awam perlu dipertingkatkan untuk menggalakkan kegiatan membaca di kalangan semua anggota masyarakat.
Selain itu, persekitaran tempat tinggal hendaklah diberikan perhatian. Tempat-tempat rekreasi dan riadah wajar disediakan agar kualiti kehidupan masyarakat dapat dibangunkan secara sepadu dan seimbang.
7. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti Dan Wanita
Pembelaan ke atas kumpulan minoriti dan wanita dapat dilakukan kiranya golongan yang bertanggungjawab bersikap adil dan amanah, terutama golongan kaya dan berkedudukan. Islam meletakkan status yang tinggi kepada golongan pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan amanah. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Tujuh golongan manusia yang akan mendapat tempat di bawah bayangan (`arasy Allah di Mahsyar) pada masa tidak ada bayangan melainkan bayangannya: Pertama ialah pemimpin yang berlaku adil…”
Sabdanya lagi yang bermaksud:
“Mana-mana pemimpin yang rakyatnya terdiri di kalangan umat Islam, tiba-tiba mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya dia akan diharamkan oleh Allah memasuki syurga”.
Pendekatan pendidikan Islam menolak segala unsur diskriminasi sama ada sebagai kumpulan majoriti atau minoriti. Hak-hak mereka dikawal oleh undang-undang negara, meliputi segala aspek yang terkandung di bawah Maqasid al-Syariah. Oleh itu tidak mungkin berlaku penindasan ke atas kumpulan kecil dan yang berlainan jantina. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan wanita, dan kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang-orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
(al-Hujurat 13)
Sabda Rasulullah SAW semasa mengerjakan Hajjatul Wada`:
“Maka bertakwalah kamu kepada Allah terhadap wanita, kerana sesungguhnya kamu mengambil mereka adalah kerana Allah dan Allah menghalalkan kepadamu mencampuri mereka dengan ijab kabul yang sah sesuai dengan aturan Allah dan hak suami terhadap isterinya ialah agar mereka tidak membiarkan orang-orang luar yang dibenci oleh suami berkunjung ke rumahnya. Sekiranya mereka melakukan demikian ajarlah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Manakala bagi mereka (wanita) ke atas kamu (lelaki) pula ialah memberikan mereka rezeki (makanan dan perhiasan/pakaian) dengan cara yang baik. Dan telah aku tinggalkan kamu sesuatu yang tidak akan menyesatkan kamu selama-lamanya, sekiranya kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu, kitab Allah dan sunnahku”.
8. Keutuhan Budaya Dan Moral
Keutuhan budaya dan moral adalah antara prinsip terpenting dalam membina ketamadunan sesebuah bangsa dan negara. Budaya hidup dan nilai moral yang baik tidak bercanggah dengan syariat perlu dipertahankan. Berasaskan kaedah fiqhiyyah; “`Adah Muhakkamah”13 dan “Al-Ma`ruf `Urfan ka al-Masyrut Syartan”.14 Bagaimanapun tidak semua budaya yang berjalan dalam masyarakat boleh diterima kerana ia memerlukan banyak penyaringan disebabkan berbaur dengan unsur-unsur yang mengelirukan dari sudut perundangan Islam.
Dalam hal ini, Allah SWT banyak menggariskan banyak amalan yang membabitkan hubungan dengan Allah dan sesama manusia yang perlu dibudayakan dalam kehidupan muslim. Antara lainnya ialah, firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (iaitu); Mereka yang khusyu` dalam solat mereka, perkara lagha mereka tak layan, zakat mereka tunaikan, memelihara kemaluan mereka melainkan kepada isteri-isteri atau hamba yang mereka miliki. Maka sesungguhnya perbuatan yang sedemikian tidak akan dicela, sesiapa yang mencari selain daripada itu, mereka adalah orang-orang yang melampaui batas, dan orang yang diberikan amanah (tanggungjawab) dan janji mereka pelihara dengan baik, dan orang-orang yang memelihara solat-solat mereka (dengan sempurna). Merekalah yang akan mewarisi syurga al-Firdaus dan kekal di dalamnya”.
(al-Mu’minun 23:1-11)
Demikian juga firman-Nya yang bermaksud:
“(Mereka yang mendapat kejayaan itu ialah), orang-orang (menyedari kesalahan dan bertaubat.), memperhambakan diri kepada Allah, memuji (dan bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah), mengembara (dengan tujuan menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), ruku`, sujud, menyuruh berbuat kebaikan, mencegah berbuat kejahatan dan memelihara batas-batas hukum Allah .... ”.
(al-Taubah 112)
Selain itu terdapat beberapa ayat dalam Firman-Nya, menggariskan beberapa sifat insan berkualiti di sisi Allah SWT sebagaimana yang tercatat dalam al-Qur’an pada surah al-Furqan ayat 63-77. Sifat insan berkualiti yang dimaksudkan boleh dirumuskan seperti berikut:
1. Berjalan di muka bumi dalam keadaan sopan.
2. Bercakap dengan orang yang jahil dengan cara selamat daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini.
3. Tekun mengerjakan ibadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri (solat).
4. Berdoa agar dijauhi azab neraka Jahanam yang mengerikan.
5. Berbelanja tidak boros dan tidak bakhil.
6. Tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain dan tidak membunuh, tidak berzina kecuali mereka bertaubat.
7. Tidak menyaksikan perkara yang dilarang, apabila bertembung.
8. Apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat al-Qur’an, mendengar dengan cara baik, bukan seperti orang pekak dan buta.
9. Berdoa agar dikurniakan pasangan dan zuriat keturunan yang baik dan menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertakwa.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sebarkanlah salam, hubungilah silaturrahim dan kerjakanlah solat pada waktu malam, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat sejahtera”.
Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna dalam risalahnya Wasaya al-`asyarah menampilkan beberapa pesanan kepada umat Islam agar dibudayakan dalam kehidupan mereka. Pesanan tersebut boleh dirumuskan sebagai berikut:
1. Bersegeralah menunaikan solat apabila seruan azan dilaungkan.
2. Bacalah al-Qur’an, buatlah kajian, dengarlah ilmu, berzikirlah dan janganlah anda membiarkan waktu berlalu tanpa diisi dengan perkara berfaedah.
3. Berusahalah untuk bercakap bahasa Arab fasahah kerana ia sebahagian daripada syiar Islam.
4. Jangan anda banyak bertengkar dalam melaksanakan apa sahaja urusan kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan.
5. Jangan banyak ketawa, kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah sentiasa tenang tenteram.
6. Jangan banyak bergurau. Sesungguhnya umat yang sedang berjihad, sentiasa dalam keadaan bersungguh-sungguh.
7. Jauhi mengumpat, mengeji dan mencaci pertubuhan lain dan jangan berkata sesuatu melainkan kebaikan.
8. Berkenalanlah dengan sesiapa sahaja yang anda temui di kalangan rakan-rakan anda sekalipun dia tidak menuntut anda berbuat demikian, kerana asas dakwah kita adalah berkasih sayang dan tolong menolong.
9. Kewajipan anda lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah orang lain supaya mereka memanfaatkan masanya. Kalau anda berurusan, singkatkanlah masa menunaikannya.
Berdasarkan penjelasan beberapa ayat al-Qur’an, al-Hadis dan pesanan ulama di atas jelas memperlihatkan bahawa penghayatan nilai-nilai murni sedemikian mampu memupuk jiwa manusia agar sentiasa berada dalam suasana harmoni bukan sahaja yang membabitkan hubungan seseorang dengan Penciptanya, tetapi juga hubungan sesama manusia. Nilai-nilai murni seperti inilah yang sukar ditemui oleh pembangun tamadun kecuali mereka yang benar-benar berjiwa bersih dan inginkan kedamaian yang hakiki dan abadi.
9. Pemuliharaan Alam Semulajadi
Manusia dan alam adalah saling memerlukan. Alam tidak akan terurus tanpa manusia. Manusia tanpa unsur alam saghir yang lain juga tidak mungkin hidup selesa. Sebab itu manusia dan alam perlu saling bermesra agar keharmonian sejagat dapat dijelmakan. Dalam usaha manusia memajukan alam, sering kali ditemui mereka yang terbabas mengeksploitasi alam tabii secara berlebihan. Lebih-lebih lagi pemodenan teknologi terkini dan tidak terkawal ditambah oleh kerakusan nafsu serakah manusia membuatkan alam menjadi musnah. Barangkali inilah yang disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab perlakuan dua tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
(al-Rum: 41)
Kemusnahan muka bumi mempunyai sebab-sebab yang sangat berkait dengan pembalasan Tuhan ke atas manusia disebabkan dosa-dosa perbuatan mereka. Kerakusan hawa nafsu sebahagian manusia yang tidak terkawal menyebabkan datangnya azab Allah menimpa mereka. Akibat daripada hilangnya keseimbangan alam semulajadi pelbagai bencana alam telah berlaku seperti tanah runtuh, banjir kilat, kepanasan global, gempa bumi, ombak besar, hujan asid dan pencemaran alam sekitar dan sebagainya berlaku.
Berasaskan kesedaran inilah, lahirnya beberapa deklarasi mengenai alam sekitar yang dilaksanakan oleh UNDP (United Nation Development Programe) untuk memastikan wujudnya pembangunan lestari. Deklarasi Reo De Janerio dan Protokol Kyoto (1997) merupakan antara deklarasi yang melibatkan Malaysia. Malaysia sendiri turut menganjurkan Deklarasi Langkawi bagi memastikan pembangunan negara secara lestari dan mesra alam. (JAKIM)
Sehubungan itu, kewajipan mengurus alam sekitar dengan bijak dan adil serta bersifat mesra alam perlu dikuatkuasakan dan diberikan kesedaran menyeluruh di segenap peringkat. Kewajipan memelihara alam sekitar dan mengendalikan pembangunan secara harmoni perlu diberikan perhatian oleh seluruh pengusaha terutama yang terlibat secara langsung mengenainya. Larangan membuat gangguan di jalanan dan kebersihan yang dikaitkan dengan keimanan oleh Rasulullah SAW mempunyai pengertian yang sangat besar ertinya kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat.
10. Kekuatan Pertahanan
Kekuatan pertahanan dalam sesebuah tamadun tidak harus terpisah antara kekuatan fizikal dan spiritual. Malah kekuatan fizikal mestilah didasari oleh kekuatan rohani, minda dan akhlak para anggota yang mendiaminya. Inilah keunikan dan kesempurnaan Islam sebagaimana yang dapat difahami daripada firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain daripada mereka yang kamu tidak ketahui sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.”
(al-Anfal: 60)
Kekuatan yang dibina untuk pertahanan bukanlah bertujuan untuk menceroboh dan menguasai bangsa lain, tetapi lebih kepada tujuan untuk mempertahankan diri dari dicerobohi musuh. Kekuatan pertahanan adalah jaminan kepada survival politik, ekonomi dan sosio-budaya umat dalam sesebuah tamadun.
Senario dunia moden hari ini yang banyak berkisar pada perlumbaan penyediaan senjata yang serba canggih, mendesak kita agar turut terlibat dengan persediaan pertahanan yang mampu menangkis serangan musuh yang mungkin tiba secara mengejut. Tanggungjawab menjaga dan mempertahankan agama, nyawa, akal, maruah dan harta benda adalah merupakan tujuan hakiki yang terkandung dalam maqasid al-syariah. Semua kepentingan yang disebutkan tidak mungkin dapat diperkasa sekiranya tanah air terancam oleh serangan musuh.
Ringkasnya, Islam dan kemajuan adalah sinonim. Kemajuan haruslah dibangunkan secara bersepadu antara kekuatan spiritual, intelektual, emosional dan material. Agama dan negara akan menjadi kuat, hebat, cemerlang, gemilang dan terbilang apabila umatnya mencapai tahap gemilang dari segenap aspek. Sebab itu, kejatuhan sesebuah tamadun termasuk Tamadun Islam yang pernah muncul pada suatu ketika dahulu adalah disebabkan umatnya yang bersifat pasif, tidak beradab, tidak berilmu, dayus, tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Oleh itu, kesedaran dan keinginan untuk menjadi bangsa yang maju perlulah digilap kembali agar kemilaunya dapat menyinar dan dinikmati oleh seluruh bangsa di dunia. Renunglah firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan apakah yang menghalang kamu (untuk) tidak menyertai perjuangan pada jalan Allah (untuk menegakkan agamanya) dan (untukl menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang penduduknya (kaum musyrikin) melakukan kezaliman (terhadap kami) dan jadikanlah kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang mampu membela kami (daripada ancaman musuh).
(al-Nisa’ 75)
Wassalam